Isnin, 31 Ogos 2009
Wenger ke Old Trafford buka buku baru
__________________________________________________
MANCHESTER: Arsenal berkunjung ke Old Trafford untuk berdepan Manchester United tengah malam ini bagi memenuhi jadual yang mungkin mampu menghidupkan semula memori perseteruan paling sengit dalam kancah bola sepak Inggeris.
Selepas sedekad bertarung sengit merebut kejuaraan utama, imej perbalahan Roy Keane dan Patrick Vieira di terowong pemain, sambutan melampau Martin Keown selepas Ruud van Nistelrooy gagal menyempurnakan sepakan penalti dan cerita-cerita sebalik tabir yang diraikan United selepas kemenangan ke atas Gunners, semuanya terpahat dalam memori.
Persengketaan di antara dua kelab itu semakin mengendur sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila permainan Arsenal agak hambar.
Tetapi pertemuan dua pasukan yang bersaing di separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu - saingan yang mudah dimenangi United - dan permulaan cemerlang Arsenal dalam kempen musim ini meletakkan perlawanan kali ini cukup mendebarkan.
Ramai pemerhati bola sepak memberitahu pengurus Gunners, Arsene Wenger bahawa tempoh paling cemerlang kelab itu sudah lama berlalu - ketika barisan ‘kebal’ musim 2003-2004 - tetapi pengendali berbangsa Perancis itu cuba meyakinkan skuad kali ini juga mampu merebut kejuaraan Liga Perdana.
Sekalipun gagal memenangi sebarang kejuaraan sejak 2005, Wenger enggan mengalah dan memberi sokongan terhadap barisan muda kali ini yang dirasakannya mampu menjulang Arsenal.
“Sebuah pasukan dengan purata umur 28 dan 29 mungkin boleh meningkat sebanyak lima peratus tetapi pasukan kami yang dengan purata 22 tahun, ia boleh meningkat sehingga 30 peratus,” katanya.
Sir Alex Ferguson adalah antara nama yang disebut-sebut cuba menghalang impian Wenger untuk memenangi kejuaraan liga tetapi kempen United setakat musim ini tidak bermula dengan baik menjelang kunjungan Arsenal itu, apabila tewas 1-0 kepada skuad kerdil, Burnley. - AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan