Rabu, 19 Ogos 2009

United masih belum panas


BURNLEY, England - Manchester United secara tradisinya akan mula menguasai saingan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana England apabila memasuki pertengahan musim saingan.

Musim lalu, mereka terpaksa menunggu sehingga pulang dari kejohanan Kelab Piala Dunia untuk memintas Liverpool dalam laluan untuk memenangi kejuaraan tiga kali berturut-turut.

Namun, hanya mengalahkan Birmingham 1-0 pada perlawanan pembukaan di Old Trafford, pemain pertahanan John O'Shea menegaskan, United merancang untuk mengemudi liga mulai awal musim.

United akan berdepan satu lagi kelab yang dinaikkan ke Liga Perdana di Turf Moor untuk berdepan Burnley, yang kembali ke saingan liga utama selepas 33 tahun.

Dan O'Shea yakin United akan terus memperlihatkan hasrat mereka itu pada minggu pembukaan musim ini, walaupun pasukan itu bergelut dengan masalah kecederaan pemain.

Pemain antarabangsa Republik Ireland itu gembira kerana United bermula dengan kemenangan dan berazam untuk meneruskannya apabila berdepan skuad Claret.

Katanya: "Kami tidak mahu menjadi pasukan yang menghambat pasukan lain, walaupun hanya selepas satu perlawanan.

"Lain-lain pasukan kelihatan semakin kuat ketika ini, jadi adalah penting untuk kami mengukuhkan penguasaan di awal musim.

"Kami memulakan kempen dua musim sebelum ini dengan keputusan seri, jadi kami amat gembira kerana meraih tiga mata ke atas Birmingham. Kini kami berdepan satu lagi perlawanan sukar di Burnley."

United diramal akan menguatkan lagi bahagian pertahanan apabila beraksi di Turf Moor esok kerana Jonny Evans dijangka tidak beraksi akibat kecederaan pergelangan kaki.

Dengan Nemanja Vidic juga dijangka tidak akan kembali beraksi sehinggalah perlawanan di tempat lawan dengan Wigan pada Sabtu ini, Rio Ferdinand tidak beraksi selama dua minggu, Wes Brown dijangka akan beraksi.

''Saya pasti Michael (Owen) akan mendapatkan semula sentuhan gol tidak lama lagi, seperti mana Wayne (Rooney), yang telah pun menjaringkan gol.

"Bagi Wayne, saya rasa persediaan pramusim amat penting untuk dia mendapat penyudah tajam yang diperlukannya," kata O'Shea lagi. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan