Memaparkan catatan dengan label Pengurus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengurus. Papar semua catatan

Isnin, 5 Oktober 2009

'Pengadil tak cukup cergas' : Ferguson


MANCHESTER: Sir Alex Ferguson melancarkan serangan luar biasa terhadap pengadil, Alan Wiley selepas Manchester United seri 2-2 dengan Sunderland apabila mendakwa pegawai perlawanan itu tidak cukup cergas untuk mengadili pada tahap aksi tertinggi.

United perlukan bola terbias daripada cubaan Patrice Evra pada minit ke-93 untuk meraih satu mata daripada aksi menentang Sunderland yang hampir mencipta kejutan terbesar setakat ini.

Gol Darren Bent pada minit ketujuh untuk Sunderland dihapuskan jaringan cantik Dimitar Berbatov pada awal babak kedua sebelum Kenwyne Jones sekali lagi menjelmakan kelebihan untuk pelawat menerusi sumbangannya.

Skuad kendalian Steve Bruce tampak sudah melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan tiga mata sebelum cubaan Evra berhampiran kawasan penalti terbias badan Anton Ferdinand untuk masuk selaku gol penyamaan.

Ferguson tidak gembira dengan aksi United tetapi dia menyimpan berang terbesar kepada pengadil dalam kecaman selama 60 saat apabila memberi alasan mengapa pasukannya harus diberi lebih masa selepas gol penyamaan untuk mencari jaringan kemenangan.

Saya harus akui bahawa saya amat kecewa dengan pengadil. Dia tidak langsung tambah masa untuk gol yang kami jaringkan. Dia tiup wisel selepas empat minit dan dua saat ketika masih ada lagi 30 saat.

Dia sebenarnya berjalan selepas gol kedua, untuk berehat. Dia tidak cukup cergas untuk tahap aksi sebegini. Rentak aksi menuntut pengadil yang cergas dan saya tidak fikir dia cergas.

Kecaman Ferguson mungkin percaturannya untuk mengubah perhatian daripada hakikat betapa tanpa Ryan Giggs dan tahap aksi terbaik Paul Scholes yang dikeluarkan pada rehat selepas persembahan mengecewakan United tampak jauh daripada wibawa selaku juara dalam pembikinan.

Daripada mana sudut sekalipun, dia jelas tidak gembira biarpun meraih satu mata berbanding kemungkinan langsung tidak memiliki sebarang mata.

Kami kerap hilang penguasaan bola. Dan saya fikir kami pada tahap baik kerana asakan selain sokongan penonton, tetapi kami kemudiannya melepaskan gol kedua yang amat mudah.

Namun pujian juga untuk pemain kerana mereka tidak pernah mengalah kualiti yang memang saya tahu memang kami miliki, katanya. - AFP

Isnin, 14 September 2009

Ferguson tidak puas hati, kecam pengadil


Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengecam pengadil, Andre Marriner dan mempertahankan Paul Scholes tidak sewajarnya diperintah keluar padang dalam aksi perlawanan menentang Tottenham Hotspur.

Pemain veteran itu dan pemain Spurs, Tom Huddlestone berlaga semasa sendiri apabila cuba berebut bola, namun Scholes menerima padah apabila usahanya membuatkannya menerima kad kuning kedua.

“Ia keputusan yang teruk. Dia dibuang padang kerana namanya ialah Paul Scholes. Saya menonton ulang tayang itu sebanyak dua kali dan saya fikir pemain Spurs (Huddlestone) lebih cenderung menerjahnya.

“Saya tidak nampak mengapa dia perlu dibuang padang kerana tindakannya,” katanya.

Tottenham menunjukkan aksi garang dan mendahului gol perlawanan pada minit pertama hasil daripada sepakan gunting Jermain Defoe.

“Ianya perlawanan yang sukar. Tottenham berada di tahap terbaik dan memulakan dari awal permainan lagi.

Penyudah Defoe begitu menakjubkan tetapi ianya masih awal dan mempunyai 90 minit lagi untuk diharungi. Kami perlu memperkemaskan permainan kami dan memberi mereka tekanan,” katanya lagi.

Red Devils bagaimanapun berjaya merakamkan kemenangan 3-1 hasil jaringan Ryan Giggs, Anderson dan Wayne Rooney.

United tetap hebat - Fergie


LONDON - Alex Ferguson yakin Manchester United akan menutup mulut pengkritiknya dan memenangi kejuaraan Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut musim ini.

United dilihat semakin lemah tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez musim ini dan mula dikritik hebat selepas mempamer prestasi hambar pada awal saingan termasuk kekalahan 0-1 kepada pendatang baru, Burnley.

Begitupun, anak buah Ferguson itu sudah mula menemui rentak dan selepas membelasah Wigan 5-0 dua minggu lepas, mereka sekali lagi membuktikan kualiti sebenar apabila mencalar rekod tanpa kalah Tottenham Hotspur dengan kemenangan 3-1 di White Hart Lane kelmarin.

"Saingan musim ini baru bermula dan masih terlalu awal untuk memperkatakannya, tapi saya rasa kami akan berada pada tahap terbaik," kata Ferguson.

"Kami telah katakan sebelum musim ini bahawa kami memiliki pemain yang hebat dan mereka semakin menunjukkan peningkatan setiap masa.

"Cuba lihat Darren Fletcher sekarang dan cara dia bermain dan kami juga ada tiga pemain berpengalaman, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Gary Neville.

"Tiada sebab mengapa kami gagal memenangi gelaran dengan memiliki pemain seperti ini. Saya meletakkan kepercayaan kepada mereka, tapi jelas sekali cabaran musim ini bukanlah mudah."

Spurs mendahului 1-0 selepas 52 saat permainan dimulakan menerusi jaringan Jermain Defoe, namun respons yang dipamerkan oleh United lebih hebat.

Giggs menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada minit ke-24, sebelum Anderson dan Wayne Rooney menambah gol kedua dan ketiga buat Red Devils. - AFP

Sabtu, 12 September 2009

Firasat Ferguson


LONDON: Sir Alex Ferguson percaya Tottenham adalah antara empat pencabar terkuat musim ini dan pasukannya akan diuji Spurs di White Hart Lane.

Skuad bimbingan Harry Redknapp itu memulakan musim ini dengan empat kemenangan berturut-turut serta mempamerkan aksi membanggakan.

Sementara itu, United pula mencatat kemenangan kurang meyakinkan ke atas Arsenal, Birmingham serta Wigan dan mereka tewas mengejut di tangan Burnley.

Banyak diperkatakan mengenai peluang Manchester City untuk layak ke Liga Juara-Juara tetapi ketika Ferguson berasakan Everton dan Aston Villa akan sekali lagi memberikan saingan, beliau berasakan pembelian yang dilakukan Redknapp baru-baru ini mampu membawa Tottenham ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata: “Mereka memulakan musim dengan baik dan selepas melihat dua rakaman aksi pasukan itu, ia pasti memberikan kami pengetahuan yang berguna.

“Memulakan aksi dengan baik amat penting bagi setiap pasukan. Harry membawa masuk beberapa pemain berkualiti dan pemain yang biasa dengannya seperti (Peter) Crouch dan (Jermain) Defoe.

“Dia kini membeli (Nico) Kranjcar dari Portsmouth dan (Wilson) Palacios dari Wigan dan saya berasakan ia adalah pembelian yang baik untuk menguatkan bahagian tengah.

“Mereka benar-benar dapat membuktikan keupayaan sejak awal musim dan mereka mempunyai pemain yang berpengalaman dan mereka berpeluang untuk mencelah masuk ke dalam empat pasukan teratas.

“Mereka dan Manchester City dilihat sebagai pencabar terkuat dan keupayaan mereka melebihi pasukan lain ketika ini.

“Everton memulakan aksi dengan sedikit hambar tetapi mereka akan bangkit dan David (Moyes) akan menjadi pencabar kuat. Aston Villa juga sering dilabel sebagai pasukan yang mampu mencabar. Saya tidak melihat ada pasukan lain yang mampu mengatasi pasukan berkenaan.” - AFP

Rabu, 9 September 2009

Fergie percaya Rooney


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya Wayne Rooney (gambar) mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada- nya musim ini.

Ferguson kini terpaksa menyandarkan harapan kepada Rooney selepas ayam tambatannya, Cristiano Ronaldo berhijrah ke Real Madrid awal musim ini.

Sebelum ini, timbul pertanyaan sama ada Rooney mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo yang merekodkan 84 gol dalam 196 perlawanan bersama The Red Devils.

Namun, Ferguson optimis penyerang sensasinya berusia 23 tahun itu mampu memikul tanggungjawab yang diberi dalam misi United memburu gelaran Liga Perdana England buat kali ke-19 musim ini.

"Wayne sentiasa mahukan yang terbaik dan dia telah membuktikannya. Dia sentiasa berazam untuk menampilkan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Ferguson kepada majalah Inside United.

"Kadangkala dia memiliki tenaga yang cukup luar biasa. Dia boleh bergerakdi setiap penjuru padang, baik di atas mahupun di bahagian bawah.

"Tetapi dia masih muda dan pemain muda kadangkala perlu lebih banyak bersabar.

"Jika dia mampu mengekalkan konsentrasi seperti yang ditunjukkan ketika menentang Wigan, dia mampu menjaringkan lebih banyak gol."

Ferguson juga tidak menolak kemungkinan bahawa Rooney mampu mengatasi rekod legenda, Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak United.

Untuk rekod, Rooney telah merekodkan 102 gol dalam 243 perlawanan sejak berhijrah dari Everton pada 2004.

"Sir Bobby menjaringkan 249 gol, jadi pada peringkat ini, saya yakin Wayne yang masih muda mampu mengatasi rekod itu suatu hari nanti," tambah Ferguson. - Agensi

Rabu, 2 September 2009

Ferguson yakin tak perlu beli pemain baru


LONDON: Penyokong Manchester United yang mengharapkan Sir Alex Ferguson mungkin memasuki pasaran perpindahan pemain pada saat-saat akhir, pastinya akan berasa kecewa.

Permulaan sederhana juara bola sepak Liga Perdana Inggeris itu musim ini mungkin mengukuhkan kepercayaan kepada segelintir peminat bahawa Ferguson perlu melabur ke atas pemain bertaraf dunia daripada sejumlah besar 80 juta pound (RM472 juta) yang diterima atas penjualan Cristiano Ronaldo, tetapi pengurus itu sekali lagi menolak gesaan untuk berbelanja dan menegaskan bahawa keyakinannya terhadap barisan pemain tidak berubah.

"Saya tahu kami mempunyai skuad yang sempurna dan saya percaya pada mereka," katanya. "Ia satu penghinaan jika mencadangkan saya tidak yakin terhadap pemain dengan cepat."

Selepas gagal dalam usaha mendapatkan Karim Benzema, penyerang Perancis, dan memilih untuk tidak meneruskan minat mendapatkan Franck Ribéry dan David Silva - pemain sayap Bayern Munich dan Valencia - pasaran perpindahan United musim ini agak hambar.

United memberi tindak balas terhadap kekalahan 1-0 di tempat lawan di Burnley dengan membelasah Wigan Athletic, sebelum menang nasib ketika mengatasi Arsenal 2-1 di Old Trafford, Sabtu lalu, walaupun ia musim penting bagi pemain seperti Dimitar Berbatov, Anderson dan Nani, tidak seorang daripada mereka meyakinkan ketika menyarung jersi merah United.

"Kami dibidas selepas perlawanan Burnley, timbul banyak cadangan mengenai apa yang harus saya lakukan - sebagai contoh, mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli nama besar," kata Ferguson.
Sir Alex Ferguson

"Tetapi kita tidak harus secara tiba-tiba mengubah dasar perpindahan hanya kerana satu kekalahan, sekalipun ia sangat buruk. Saya sudah jelaskan strategi kami, berdasarkan kepada keyakinan terhadap beberapa pemain baru, pemain sedia ada semakin matang dan pemain muda semakin meningkat naik.

"Dan saya tidak berhasrat untuk mengubahnya," kata jurulatih berbangsa Scotland itu.

Owen Hargreaves, pemain tengah United, akhirnya dijangka kembali ke kelab itu dari Amerika Syarikat pada 23 September ini tetapi dia harus meningkatkan kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut yang menghalangnya beraksi selama 10 bulan. - Agensi

Isnin, 31 Ogos 2009

Ferguson jangka saingan getir


United diundi bersama Besiktas, CSKA Moscow dan Wolfsburg dalam Kumpulan B
________________________________________________
MANCHESTER: Sir Alex Ferguson percaya kunjungan sukar Manchester United dalam Liga Juara-Juara ke kelab juara Turki, Besiktas dan wakil Russia, CSKA Moscow menjadikan kumpulan itu antara yang paling sukar.

United digandingkan bersama Besiktas, CSKA Moscow dan juara Jerman, Wolfsburg dalam undian peringkat kumpulan kejohanan elit Eropah itu.

Besiktas menjuarai gelaran Turki buat pertama kali dalam tempoh enam tahun. musim lalu manakala CSKA adalah penyandang juara liga dan Piala Russia.

Ketika tiada pasukan memiliki pengalaman bertemu United dalam Liga Juara-Juara, naib juara 2009 itu tidak resah menanti dua perjalanan jauh dan berdepan pula saingan peringkat domestik selepas masih lesu dari perjalanan pulang.

“Ini ialah pertembungan yang sukar terutama kunjungan ke Russia dan Turki,” kata Ferguson dalam laman web United.

United yang tewas 2-0 kepada Barcelona dalam saingan final musim lalu, berjaya mengelak dari bertemu semula dengan Cristiano Ronaldo, yang meninggalkan Old Trafford ke Real Madrid dengan rekod dunia 80 juta pound (RM464 juta) Jun lalu.

Namun Ferguson tidak memandang rendah setiap pasukan dalam kumpulan berkenaan dengan Wolfsburg, yang menjuarai gelaran Jerman buat pertama kali musim lalu, menjadi kebimbangan utama juara Liga Perdana Inggeris itu. - AFP

Sabtu, 1 Ogos 2009

Percaturan Ferguson


SETIAP tahun ketika sesi jelajah pra-musim, Alex Ferguson akan meluangkan masa bercakap mengenai pelbagai isu termasuk harapan terhadap pasukannya, Manchester United.

Ikuti sebahagian temubual Ferguson dengan sebuah akhbar Britain, baru-baru ini.

SOALAN (S): Musim panas kali ini tampak menarik. Bagaimana anda lihat perkembangan bola sepak dunia setakat ini?

ALEX FERGUSON (AF): Apa yang berlaku sekarang menolak dakwaan awal bahawa bola sepak dunia akan terjejas teruk akibat masalah kewangan global. Kita jangkakan banyak kelab akan mengamalkan pendekatan berbelanja secara berhati-hati, tapi hakikatnya tidak. Paling ketara membabitkan beberapa kelab terutamanya Real Madrid dan Manchester City.

S: Adakah anda bimbang dengan ancaman Manchester City?

AF: Tahap kebimbangan kami terhadap City sama sahaja dengan pasukan lain. Kami, Chelsea, Liverpool dan Arsenal dilihat sebagai empat pasukan utama sejak lima atau enam tahun lalu. Jika anda buat analisis terhadap City, anda akan dapati mereka berhempas pulas cuba menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik sebelum ini. Tapi, saya fikir memang sukar untuk mereka menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik.

S: Apa yang membezakan antara perbelanjaan besar Chelsea dalam usaha mereka menjuarai liga beberapa tahun lalu dan City kali ini? Adakah kerana Chelsea ketika itu sudahpun berada dalam kelompok pasukan utama?

AF: Saya fikir Chelsea lebih baik dalam aspek ini. Mereka membuat pembelian bijak ketika dibimbing Claudio Ranieri dengan mendapatkan Frank Lampard, Joe Cole, Arjen Robben dan beberapa pemain lain. John Terry dibawa masuk dari sistem belia kelab dan mereka juga membeli Petr Cech yang ketika itu berusia 21 tahun dengan harga amat murah. Kami sebenarnya mahukan Cech, saya sendiri menontonnya bermain sebanyak dua kali dan ketika itu saya fikir, ‘19 tahun, dia terlalu muda’. Tapi dia menjadi pemain kebangsaan negaranya ketika berusia 20 tahun. Apabila melihat kembali prestasinya, saya dapati dia mungkin hanya membuat 10 kesilapan dalam tempoh enam tahun lalu.

S: Kenapa anda berpendapat City tidak akan berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas?

AF: Saya tidak kata mereka tidak mampu menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik. Apa yang saya kata ialah mereka akan berdepan kesukaran menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik dan keadaan itu berkemungkinan berlaku. Contohnya, Aston Villa bermula dengan baik musim lalu tapi gagal mempertahankan kedudukan. Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, bukan mudah untuk mengekalkan prestasi.

S: Apabila anda melihat senarai pemain, anda tidak lagi nampak nama Cristiano Ronaldo. Apa perasaan anda?

AF: Tidak dinafikan pemergiannya satu kehilangan besar. Saya fikir keadaan itu satu cabaran buat kami. Keadaan pastinya tidak sama lagi tanpa Ronaldo. Pada saya, dia pemain terbaik dunia. Dia lebih baik daripada Lionel Messi dan Kaka.

S: Anda jarang kehilangan pemain kecuali jika anda benar-benar mahukan mereka pergi. Dalam kes Ronaldo, apakah kehilangannya menyukarkan anda?

AF: Memang tidak mudah. Saya berbincang dengan Ronaldo mengenai perpindahan itu. Dia sudahpun membuat keputusan untuk berpindah. Tahun lalu, dia merayu kepada saya dan tahun ini kami berbincang semula. Saya fikir kali ini masa yang tepat. Saya beritahunya bahawa saya akan melepaskannya dengan satu syarat iaitu kami mesti mendapat yuran perpindahan paling besar. Katanya: “Saya setuju”.

S: Sejak perpindahannya, pernahkah dia datang berjumpa anda?

AF: Ya, dia bertemu saya dan kami makan malam bersama.

S: Anda fikir dia mungkin kembali ke United jika segalanya tidak menjadi di Real Madrid?

AF: Bukan semata-mata kerana tidak menjadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Dia cintakan United, sayang kelab kami. Jika anda lihat kembali sepanjang enam tahun dia bersama kami, dia tidak pernah terlepas latihan. Satu kelebihannya berbanding pemain lain ialah dia tidak pernah cedera. Dia fantastik.

S: Apakah ketiadaan Ronaldo akan membuka pintu lebih luas untuk Wayne Rooney menyinar?

AF: Kami pasukan yang berbeza kali ini dan susunan kami juga berlainan. Kami akan lebih padat di bahagian tengah, tapi kami juga mempunyai pemain yang semakin matang seperti Darren Fletcher. Owen Hargreaves akan kembali beraksi manakala persembahan Anderson, Nani dan Rooney bakal meningkat. Saya juga fikir Dimitar Berbatov akan lebih menyinar. Jadi, kami tidaklah berhadapan masalah sangat dengan ketiadaan Ronaldo.

S: Bagaimana perasaan anda mempunyai wang yang banyak untuk dibelanjakan bagi mendapat pemain baru?

AF: Kami cuba membelanjakannya dengan membeli Karim Benzema. Tapi apabila harganya sampai £42 juta (RM235.2 juta), pada saya itu terlebih nilai. Kami menawarkan £35 juta (RM196 juta) dan saya fikir itu adalah harga paling adil buatnya.

S: Apakah anda tidak cuba dapatkan Franck Ribery?

AF: Kami mencubanya sekali dan dalam satu perbincangan Mac lalu, Bayern Munich memberitahu mereka tidak akan melepaskannya.

S: United juara bertahan. Apakah anda akan memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris sebagai pilihan utama?

AF: Saya tidak tahu, tapi saya suka untuk ambil tahu apa pandangan kaki pertaruhan.

Khamis, 30 Julai 2009

Harapan Ferguson


LONDON: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengakui beliau sukar untuk menyaksikan persembahan terbaik Dimitar Berbatov (gambar) musim lalu tetapi menegaskan penyerang Bulgaria itu perlu lebih menyinar musim ini.

Berbatov gagal meyakinkan peminat ketika musim pertamanya di Old Trafford selepas berpindah ke kelab itu dengan nilai perpindahan sebanyak £30 juta (RM174 juta) dari Tottenham, September lalu.

Malah Ferguson pernah mengakui silap menurunkan Berbatov yang hanya menjaringkan 14 gol sepanjang 43 kemunculan.

Tetapi bekas bintang Bayer Leverkusen itu kelihatan lebih mantap ketika pra-musim dan ketiadaan Cristiano Ronaldo serta Carlos Tevez membuatkan Berbatov berpeluang untuk menguasai bahagian tengah.

“Saya jangka dia akan lebih menyinar hasil aksi pra-musim,” kata Ferguson. “Musim lalu memang serba tidak menjadi buat pemain itu dan mungkin kami tidak menggunakannya dengan betul.

“Kami sudah tahu di mana untuk meletakkannya - di posisi lebih atas dan beraksi sebagai penyerang tengah. Dia akan meningkat dan akan mencipta musim lebih gemilang.” - AFP

Ferguson puji Valencia


BERLIN - Bintang baru Manchester United, Antonio Valencia mula mencuri tumpuan.

Semalam, pemain sayap dari Ecuador itu menjaringkan gol dalam aksi sulungnya bersama United ketika membenam Boca Juniors 2-1 pada separuh akhir Piala Audi 2009.

"Saya rasa dia akan memainkan watak penting dalam banyak perlawanan selepas ini. Saya sangat berpuas hati dengan prestasinya pada aksi pertama ini," kata pengurus United, Alex Ferguson.

Valencia yang menggantikan Cristiano Ronaldo, menjaringkan gol kedua United pada minit ke-42 menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Roberto Abbondanzieri.

Terdahulu, Anderson membuka tirai jaringan buat United pada minit ke-23 dan Boca hanya mampu membalas satu gol menerusi Federico Insua pada minit ke-55.

"Dia (Valencia) seorang pemain yang bagus, memiliki kekuatan dan kemampuan dari segi larian seperti yang kita dapat lihat cara dia mencipta gol tersebut.

"Mungkin ia juga berpunca daripada kesilapan penjaga gol tetapi dia berjaya mencipta peluang dan membuka ruang untuk dirinya," jelas Ferguson. - Reuters

Sir Alex Ferguson


Pengurus Sejak : 06 Nov 1986
Kejayaan :
Premier League - 1993, 1994, 1996, 1997, 1999, 2000, 2001, 2003, 2007,
2008, 2009
FA Cup - 1990, 1994, 1996, 1999, 2004
League Cup - 1992, 2006, 2009
UEFA Champions League - 1999,2008
FIFA Club World Cup - 2008
UEFA Super Cup - 1992
UEFA Cup Winners Cup - 1991
Inter-Continental Cup - 1999
FA Charity / Community Shield - 1990 (shared), 1993, 1994, 1996, 1997,
2003, 2007, 2008