Isnin, 31 Ogos 2009

Sindiran Wenger tentang Old Trafford



AKSI Wenger menendang botol air yang menyebabkan dia diperintah meninggalkan padang oleh pengadil ketika aksi menentang Man United di Old Trafford, kelmarin.

'Pemain United laku 20 kekasaran tetapi tidak dilayang kad kuning'
______________________________________________
MANCHESTER: Arsene Wenger masih termangu-mangu sama ada ingin ketawa atau mahu meratapi kekalahan pasukannya, Arsenal 2-1 di Manchester United.

Minggu penuh dramatik Arsenal berakhir dalam suasana haru-biru di Old Trafford kelmarin dengan Wenger diarahkan meninggalkan bangku simpanan oleh pengadil Mike Dean kerana menendang botol akibat terlalu kecewa selepas jaringan Robin van Persie pada saat genting dibatalkan kerana rakan sepasukannya, William Gallas sudah ofsaid.

Sebelum itu, Dean menafikan penalti untuk Arsenal selepas Andrei Arshavin dibentes keras oleh Darren Fletcher; menghadiahkan penalti kontroversi terhadap Wayne Rooney selepas penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia, kelihatan menerpa kakinya.

Malah, Emmanuel Eboue yang dibentes sebaliknya dilayangkan kad kuning kerana didakwa sengaja menjatuhkan diri.

Selang beberapa hari selepas Eduardo didakwa oleh UEFA kerana sengaja menjatuhkan badan untuk meraih penalti dalam saingan Liga Juara-Juara sewaktu menentang Celtic, terlalu banyak rentetan luar biasa Arsenal sebelum kemuncaknya mereka tewas kepada United akibat jaringan sendiri, Abou Diaby.

“Saya menendang botol air apabila gol itu dibatalkan. Kecewa sangat,” jelas Wenger. “Pegawai keempat memanggil pengadil dan mengusir saya. Saya hilang kata-kata, masa hanya tinggal 30 saat dan jaringan itu pastinya suatu yang paling menakjubkan.”

Malah, Wenger turut acuh tidak acuh menjawab soalan mengenai penalti untuk Rooney pada separuh masa bagi membolehkan penyerang England itu menjaringkan gol penyamaan United.

“Itulah di Old Trafford,” sindir Wenger sambil berkata, Arshavin seharusnya diberikan penalti pada separuh masa pertama. “Pernah saya lihat sebelum ini, pemain United melakukan 20 kekasaran tetapi tidak dilayangkan kad kuning. Memang takjub.” - AFP

Amaran kebangkitan United

________________________________________________
LONDON - Alex Ferguson percaya kemenangan 2-1 yang dicapai oleh Manchester United ke atas Arsenal, kelmarin merupakan amaran awal kepada pasukan utama lain yang memasang impian merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

Meskipun United memenangi liga musim lalu, kelab ternama itu menerima hakikat mereka terpaksa melalui pengalaman perit bersemuka Liverpool dan Arsenal.

Musim lalu, Liverpool menumpaskan anak didik Ferguson sebanyak dua kali manakala Arsenal masih sempat mencuri empat mata daripada kelab juara tersebut.

Apa pun, Ferguson begitu gembira apabila menyaksikan pasukan bimbingannya itu menunjukkan aksi kebangkitan, kelmarin.

Meskipun ketinggalan satu gol pada satu ketika, United masih mampu menumpaskan Gunners di Old Trafford, kelmarin.

"Ketika ketinggalan 0-1 kepada sebuah pasukan yang hebat seperti Arsenal, sudah tentu ia memberi tugas berat untuk digalas pada pertemuan seperti ini.

"Kami terpaksa bekerja keras. Namun begitu, pasukan ini berjaya bermain dengan cemerlang pada separuh masa kedua dan berhak mencatat kemenangan.

"Pemain tahu bahawa mencatat kemenangan pada pertemuan besar adalah sangat penting. Musim lalu, kami kehilangan empat mata kepada Arsenal dan enam mata lagi kepada Liverpool.

"Kini kami telah melakukan permulaan yang lebih baik apabila menentang pasukan-pasukan ternama. Oleh yang demikian, ia memberi kami peluang melakukan perbezaan," kata Ferguson.

Pasukan bimbingan Arsene Wenger dilihat selesa mendahului pertemuan kelmarin menerusi jaringan mengkagumkan oleh Andrey Arshavin pada minit akhir separuh masa pertama.

Namun pasukan juara, United memperoleh kembali semangat juang pada separuh masa kedua apabila penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia tidak mampu menafikan jaringan penalti yang disempurnakan oleh Wayne Rooney.

Lima minit selepas tendangan penalti tersebut, keadaan menjadi bertambah buruk buat Arsenal.

Pemain tengah Arsenal dari Perancis, Abou Diaby menanduk masuk ke gawang sendiri apabila cuba menghalang tendangan percuma yang diambil oleh pemain sayap United, Ryan Giggs. - AFP

'Jangan cabar United'


PEMAIN United meraikan kejayaan mereka menewaskan Arsenal pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford kelmarin. United menang 2-1.
_______________________________________________________
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengingatkan pasukan lain agar tidak mencabar kewibawaan anak buahnya dalam kempen Liga Perdana England musim ini.

Keyakinan Ferguson itu disuarakan selepas The Red Devils menewaskan musuh tradisi, Arsenal 2-1 di Old Trafford kelmarin.

Musim lalu, United yang muncul juara buat kali ketiga berturut-turut berdepan kesukaran ketika menghadapi dua seteru utama, Liverpool dan Arsenal.

Mereka tewas dua kali kepada Liverpool manakala Arsenal pula mengutip empat mata ketika bertemu mereka.

Namun, berbeza pada musim ini apabila Ferguson tersenyum riang menyaksikan kebangkitan anak buahnya sebelum menumbangkan The Gunners 2-1.

"Apabila kami ketinggalan 0-1 kepada pasukan kelas dunia seperti Arsenal, ia satu tugas yang mencabar," kata Ferguson.

"Kami perlu berusaha dengan keras, tapi berjaya bermain dengan baik pada babak kedua dan layak menikmati kemenangan ini.

"Pemain sedar memenangi perlawanan penting seperti ini sangat penting. Musim lepas kami kehilangan empat mata kepada Arsenal dan enam mata kepada Liverpool.

"Sekarang kami berjaya menang ke atas pasukan ini pada awal saingan dan ia akan memberikan perbezaan kepada kempen musim ini." - AFP

Wenger ke Old Trafford buka buku baru


__________________________________________________
MANCHESTER: Arsenal berkunjung ke Old Trafford untuk berdepan Manchester United tengah malam ini bagi memenuhi jadual yang mungkin mampu menghidupkan semula memori perseteruan paling sengit dalam kancah bola sepak Inggeris.

Selepas sedekad bertarung sengit merebut kejuaraan utama, imej perbalahan Roy Keane dan Patrick Vieira di terowong pemain, sambutan melampau Martin Keown selepas Ruud van Nistelrooy gagal menyempurnakan sepakan penalti dan cerita-cerita sebalik tabir yang diraikan United selepas kemenangan ke atas Gunners, semuanya terpahat dalam memori.

Persengketaan di antara dua kelab itu semakin mengendur sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila permainan Arsenal agak hambar.

Tetapi pertemuan dua pasukan yang bersaing di separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu - saingan yang mudah dimenangi United - dan permulaan cemerlang Arsenal dalam kempen musim ini meletakkan perlawanan kali ini cukup mendebarkan.

Ramai pemerhati bola sepak memberitahu pengurus Gunners, Arsene Wenger bahawa tempoh paling cemerlang kelab itu sudah lama berlalu - ketika barisan ‘kebal’ musim 2003-2004 - tetapi pengendali berbangsa Perancis itu cuba meyakinkan skuad kali ini juga mampu merebut kejuaraan Liga Perdana.

Sekalipun gagal memenangi sebarang kejuaraan sejak 2005, Wenger enggan mengalah dan memberi sokongan terhadap barisan muda kali ini yang dirasakannya mampu menjulang Arsenal.

“Sebuah pasukan dengan purata umur 28 dan 29 mungkin boleh meningkat sebanyak lima peratus tetapi pasukan kami yang dengan purata 22 tahun, ia boleh meningkat sehingga 30 peratus,” katanya.

Sir Alex Ferguson adalah antara nama yang disebut-sebut cuba menghalang impian Wenger untuk memenangi kejuaraan liga tetapi kempen United setakat musim ini tidak bermula dengan baik menjelang kunjungan Arsenal itu, apabila tewas 1-0 kepada skuad kerdil, Burnley. - AFP

Ferguson jangka saingan getir


United diundi bersama Besiktas, CSKA Moscow dan Wolfsburg dalam Kumpulan B
________________________________________________
MANCHESTER: Sir Alex Ferguson percaya kunjungan sukar Manchester United dalam Liga Juara-Juara ke kelab juara Turki, Besiktas dan wakil Russia, CSKA Moscow menjadikan kumpulan itu antara yang paling sukar.

United digandingkan bersama Besiktas, CSKA Moscow dan juara Jerman, Wolfsburg dalam undian peringkat kumpulan kejohanan elit Eropah itu.

Besiktas menjuarai gelaran Turki buat pertama kali dalam tempoh enam tahun. musim lalu manakala CSKA adalah penyandang juara liga dan Piala Russia.

Ketika tiada pasukan memiliki pengalaman bertemu United dalam Liga Juara-Juara, naib juara 2009 itu tidak resah menanti dua perjalanan jauh dan berdepan pula saingan peringkat domestik selepas masih lesu dari perjalanan pulang.

“Ini ialah pertembungan yang sukar terutama kunjungan ke Russia dan Turki,” kata Ferguson dalam laman web United.

United yang tewas 2-0 kepada Barcelona dalam saingan final musim lalu, berjaya mengelak dari bertemu semula dengan Cristiano Ronaldo, yang meninggalkan Old Trafford ke Real Madrid dengan rekod dunia 80 juta pound (RM464 juta) Jun lalu.

Namun Ferguson tidak memandang rendah setiap pasukan dalam kumpulan berkenaan dengan Wolfsburg, yang menjuarai gelaran Jerman buat pertama kali musim lalu, menjadi kebimbangan utama juara Liga Perdana Inggeris itu. - AFP

Owen bakal tersisih lagi


Nama tiada dalam perkiraan jadi penyerang skuad England
___________________________________________
LONDON: Michael Owen - penyerang yang kini seperti sudah mendapat angin kedua dalam kerjayanya tampak akan terlepas sekali lagi aksi bersama skuad bola sepak England.

Pengurus pasukan, Fabio Capello akan mengumumkan senarai pemain, Ahad ini bagi siri persahabatan antarabangsa menentang Slovenia yang menjadi perlawanan memanas badan sebelum menentang Croatia dalam kelayakan Piala Dunia di Stadium Wembley, awal bulan depan.

Namun, Owen, 29, masih kekal dalam situasi ‘belum diperlukan lagi’ dalam perancangan Capello walaupun sudah menyumbat satu gol ketika membantu Manchester United menewaskan Wigan 5-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.

Capello merancang untuk memilih empat penyerang sahaja dengan Wayne Rooney, Emile Heskey, Carlton Cole dan Jermain Defoe jelas berada di hadapan Owen pada kaca mata pengurus berasal dari Itali itu.

Pengendali berkenaan tidak dijangka akan berada di Old Trafford untuk menyaksikan kelibat Owen - jika dia bermain - apabila menentang Arsenal, Sabtu ini.

Tiga minggu lagi: Ferdinand


Pertahanan MU mahu segera kembali beraksi sejak cedera awal Julai
_________________________________________________
MANCHESTER: Kepulangan pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand daripada kecederaan paha tampak lebih awal daripada apa dijangkakan dan dia berharap akan pulang semula ke gelanggang dalam tempoh tiga minggu.

Tatkala bek tengah itu akan terlepas kelayakan Piala Dunia membantu England menentang Croatia pada 9 September ini, dia mensasarkan perlawanan United tiga hari selepas itu menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham untuk membuat kemunculan semula.

Ferdinand yang berusia 30 tahun itu mengalami masalah otot paha koyak sewaktu latihan menjelang perlawanan pembukaan saingan pembukaan EPL menentang Birmingham.

“Ia semakin pulih, saya berada di depan jadual,” kata Ferdinand, kelmarin.

“Saya sudah berlatih bersungguh-sungguh sejak beberapa hari. Saya tidak berada pada tempat sepatutnya, tetapi dalam beberapa minggu saya akan kembali berada di atas padang.

“Diharapkan selepas perlawanan sejurus saingan antarabangsa, saya akan kembali cergas, itulah yang saya sasarkan,” kata Ferdinand.

“Pada ketika ini, saya menumpukan terhadap itu.”

Tanpa Ferdinand, the Red Devils memulakan musim dengan menewaskan Birmingham dan Wigan, tetapi tewas kepada pasukan yang baru dinaikkan, Burnley. - AP

Vidic lafaz kesetiaan


VIDIC (kiri) bersaing dengan penyerang Wigan, Hugo Rodallega pada aksi Liga Perdana England di Stadium DW, Sabtu lalu.
_____________________________________________________
LONDON - Nemanja Vidic berjanji akan membuktikan komitmennya bersama Manchester United dengan menampilkan persembahan terbaik musim ini.

Minggu lalu, penasihat kepada pemain Serbia itu, Paolo Fabbri mengesahkan bahawa Vidic bersedia untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Berita itu menghadirkan desas-desus hangat di Old Trafford berdasarkan status Vidic sebagai salah seorang pertahanan terbaik di Eropah sejak dia menyertai United tiga tahun lalu.

Spekulasi bertambah hangat apabila isteri Vidic juga dilaporkan kurang gembira berada di England.

Namun Vidic menegaskan, fokusnya kini hanya untuk memastikan United berjaya mempertahan- kan kejuaraan musim lalu.

"Saya tidak pernah mengatakan apa-apa mengenai Barcelona, Real Madrid, AC Milan atau mana-mana kelab.

"Saya tidak pernah bercakap mengenai masa depan saya. Jadi saya tidak tahu kenapa seseorang berbuat demikian.

"Saya telah menunjukkan komitmen saya pada aksi bertemu Wigan dan saya gembira berada bersama kelab ini," kata Vidic.

Kemenangan besar 5-0 ke atas Wigan pada kempen Liga Perdana England, Sabtu lalu merupakan aksi pertama Vidic selepas dia pulih daripada kecederaan buku lali.

"Saya tidak mahu ia memberi kesan. Saya akan terus memberikan komitmen saya di sini. Adalah tidak benar isteri saya tidak gembira di England.

"Saya tidak tahu bagaimana khabar angin itu timbul," jelasnya. - Agensi

Arsenal, United berpesta gol


Rooney Meraikan jaringan keempat M.U
_________________________________________________
LONDON – Arsenal dan Manchester United berpesta gol pada kempen minggu kedua Liga Perdana England semalam.

Tatkala Arsenal membelasah Portsmouth 4-1, United pula mudah menjinakkan Wigan Athletic 5-0.

Kemenangan yang dilakar Arsenal semalam menyaksikan skuad The Gunners itu telah merekodkan 12 gol dalam tempoh lapan hari.

Minggu lalu, Arsenal mencipta kemenangan 6-1 ke atas Everton di Goodison Park sebelum menewaskan kelab Scotland, Celtic 2-0 pada aksi kelayakan Liga Juara-Juara.

United pula kembali mempamerkan rentak terbaik mereka selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada kelab kerdil, Burnley Rabu lalu.

Pada aksi di Emirates semalam, gol-gol Arsenal dihasilkan menerusi Abou Diaby pada minit ke-18 dan 21, William Gallas (51) dan Aaron Ramsey (68).

Younes Kaboul menjaringkan gol tunggal Portsmouth pada minit ke-37.

Di Stadium DW, penyerang sensasi United, Wayne Rooney meledakkan gol pada minit ke-56 dan 65 manakala Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Nani masing-masing menyumbang satu gol.

Manchester City turut meraih kemenangan selepas menewaskan Wolverhampton 1-0 hasil jaringan Emmanuel Adebayor.

Sunderland pula menang 2-1 ke atas Blackburn Rovers, Bolton Wanderers tewas 0-1 kepada Hull City manakala Birmingham City seri tanpa jaringan dengan Stoke City.

Kembalikan maruah United


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson yakin anak-anak buahnya mampu mengembalikan maruah skuad The Red Devils itu apabila berkunjung ke Wigan pada aksi Liga Perdana England malam ini.

Rabu lalu, juara bertahan itu tewas mengejut kepada Burnley selepas pendatang baru liga itu mencatat kemenangan bersejarah 1-0 di Turf Moor hasil jaringan tunggal Robbie Blake.

Kekalahan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada barisan pemain bintang United yang kehilangan sentuhan dua tonggak utama, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez musim ini.

Dengan Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Edwin van der Sar masih berada dalam senarai kecederaan, Ferguson menyedari akan kerapuhan di bahagian pertahanannya.

Kini, Wigan berharap dapat mengikut jejak Burnley pada aksi di Stadium DW, namun Ferguson tetap tenang dan yakin dengan kebangkitan yang bakal disaji- kan anak-anak buahnya.

"Semua pemain saya kecewa dan ini adalah keputu- san yang teruk buat mereka. Begitupun, saya pasti kami akan memberi respons yang baik pada aksi menentang Wigan esok (hari ini)," ujar Ferguson.

"Kami sebenarnya tidak serius untuk menggunakan semua peluang yang ada. Jadi, saya harap pemain-pemain dapat menggunakan kesempatan yang ada apabila berdepan Wigan."

Dalam pada itu, Chelsea yang masih mengekalkan rekod bersih di bawah kendalian Carlo Ancelotti bakal berdepan ujian sebenar apabila berkunjung ke Fulham esok.

Menurut pemain tengahnya, Frank Lampard, cabaran The Blues musim ini masih panjang biarpun berjaya mempamerkan permainan terbaik dalam dua aksi pembukaan menentang Hull dan Sunderland sebelum ini.

"Perjalanan kami dalam liga masih panjang, namun ia cukup menggembirakan apabila dapat bermula dengan baik," jelas Lampard.

Dalam pada itu, Liverpool akan melayan kunjungan Aston Villa di Anfield, Selasa ini selepas dimalukan Tottenham Hotspur minggu lalu.

"Beraksi di kelab seperti Liverpool, kamu pasti tidak mahu mengalami sebarang kekalahan.

"Jadi, tewas pada perlawanan pertama musim ini adalah sesuatu yang mengecewa- kan," tambah Benitez. - Reuters

Jumaat, 21 Ogos 2009

Ferguson tak panik


BURNLEY: Sir Alex Ferguson berkata beliau tidak bimbang dengan keupayaan Manchester United untuk menjaringkan gol walaupun hanya mampu menghasilkan satu gol sepanjang dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.

Juara bertahan itu menewaskan Birmingham 1-0, Ahad lalu tetapi mendapat keputusan memalukan apabila tewas 1-0 di tangan Burnley pada perlawanan kedua, semalam.

Ferguson masih cuba menyesuaikan diri tanpa khidmat Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez ketika United gagal pamer aksi meyakinkan pada awal kempen.

Pengurus United itu berasakan pemainnya masih mencipta banyak peluang ketika menentang Clarets dan percaya mereka akan membinasakan Wigan, Sabtu ini jika mempunyai peluang sedemikian.

Ferguson yang menyaksikan sepakan penalti Michael Carrick diselamatkan di Turf Moor, tegas mengatakan pasukannya akan bangkit daripada kekalahan di tangan Burnley.

Beliau berkata: “Saya yakin kami akan mendapat jawapannya Sabtu ini. Kami semua kecewa kerana ia adalah keputusan yang buruk.

“Padang dalam keadaan baik dan itu bukan alasan bagi kami. Kami sepatutnya bertindak lebih bijak.

“Kami biasanya mengambil sedikit masa untuk berjaya. Ada kalanya kami memerlukan beberapa bulan untuk mendapatkan prestasi sebenar. Tetapi kami tidak sepatutnya tewas pada perlawanan ini.

“Burnley berhak mendapat pujian. Ia malam yang hebat buat mereka. Peminat mereka cukup hebat dan padang juga baik. Semua yang ada di sini dapat melihat aksi yang menghiburkan.

“Ia bukanlah satu masalah jika anda melihat kepada peluang yang kami cipta. Dua atau tiga pemain berpeluang untuk menjaringkan gol. Michael Owen terlepas satu peluang di babak pertama manakala Ryan Giggs pula di babak kedua.

“Michael Carrick mempunyai peluang terbaik tetapi dia terlepas. Kami berharap dapat memiliki peluang sebegitu Sabtu ini.” - AFP

Khamis, 20 Ogos 2009

Burnley kejutkan MU


LONDON: Burnley meraikan kejayaan bersejarah pertama di tempat sendiri dalam masa 33 tahun apabila menumpaskan penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United 1-0, di Stadium Turf Moor, awal pagi tadi.

Robbie Blake menjadi wira Burnley apabila menjaringkan gol tunggal pasukannya pada minit ke-19.

United bangkit dan hampir menyamai kedudukan menerusi Michael Carrick tetapi sepakan penaltinya diselamatkan Brian Jensen sebelum permainan separuh masa pertama tamat.

United menggandakan asakan pada separuh masa kedua dengan beberapa kali Jensen menyelamatkan gawangnya.

Rabu, 19 Ogos 2009

MU azam terajui EPL sejak awal musim


BURNLEY: Manchester United kebiasaannya akan mengambil alih teraju perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada babak kedua kempen sesuatu musim.

Musim lalu, mereka terpaksa menanti sehingga pulang daripada Kejohanan Piala Kelab Dunia untuk memintas Liverpool dalam laluan memenangi piala buat kali ketiga berturut-turut.

Namun, selepas menundukkan Birmingham 1-0 pada aksi pembukan di Old Trafford, tonggak benteng, John O’Shea bertegas United kini berazam mendahului sejak awal musim ini.

United akan menentang kelab baru dinaikkan ke liga utama, Burnley, hari ini.

“Kami tidak mahu hanya mengejar, biarpun selepas satu perlawanan. Pasukan lain nampak mantap kali ini, jadi amat penting untuk kami membuktikan kemampuan sejak awal musim ini.

“Kami memulakan dua musim liga sebelumnya dengan keputusan seri, jadi kami gembira dapat meraih tiga mata di Birmingham. Kini kami mampu menangani cabaran lebih getir di Burnley.” - AFP

United masih belum panas


BURNLEY, England - Manchester United secara tradisinya akan mula menguasai saingan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana England apabila memasuki pertengahan musim saingan.

Musim lalu, mereka terpaksa menunggu sehingga pulang dari kejohanan Kelab Piala Dunia untuk memintas Liverpool dalam laluan untuk memenangi kejuaraan tiga kali berturut-turut.

Namun, hanya mengalahkan Birmingham 1-0 pada perlawanan pembukaan di Old Trafford, pemain pertahanan John O'Shea menegaskan, United merancang untuk mengemudi liga mulai awal musim.

United akan berdepan satu lagi kelab yang dinaikkan ke Liga Perdana di Turf Moor untuk berdepan Burnley, yang kembali ke saingan liga utama selepas 33 tahun.

Dan O'Shea yakin United akan terus memperlihatkan hasrat mereka itu pada minggu pembukaan musim ini, walaupun pasukan itu bergelut dengan masalah kecederaan pemain.

Pemain antarabangsa Republik Ireland itu gembira kerana United bermula dengan kemenangan dan berazam untuk meneruskannya apabila berdepan skuad Claret.

Katanya: "Kami tidak mahu menjadi pasukan yang menghambat pasukan lain, walaupun hanya selepas satu perlawanan.

"Lain-lain pasukan kelihatan semakin kuat ketika ini, jadi adalah penting untuk kami mengukuhkan penguasaan di awal musim.

"Kami memulakan kempen dua musim sebelum ini dengan keputusan seri, jadi kami amat gembira kerana meraih tiga mata ke atas Birmingham. Kini kami berdepan satu lagi perlawanan sukar di Burnley."

United diramal akan menguatkan lagi bahagian pertahanan apabila beraksi di Turf Moor esok kerana Jonny Evans dijangka tidak beraksi akibat kecederaan pergelangan kaki.

Dengan Nemanja Vidic juga dijangka tidak akan kembali beraksi sehinggalah perlawanan di tempat lawan dengan Wigan pada Sabtu ini, Rio Ferdinand tidak beraksi selama dua minggu, Wes Brown dijangka akan beraksi.

''Saya pasti Michael (Owen) akan mendapatkan semula sentuhan gol tidak lama lagi, seperti mana Wayne (Rooney), yang telah pun menjaringkan gol.

"Bagi Wayne, saya rasa persediaan pramusim amat penting untuk dia mendapat penyudah tajam yang diperlukannya," kata O'Shea lagi. - AFP

Selasa, 18 Ogos 2009

Fergie cabar Rooney gegar lebih 20 gol


'Dia ada keupayaan untuk lakukan tugas itu musim ini'
__________________________________________________
MANCHESTER: Sir Alex Ferguson mencabar Wayne Rooney untuk mengatasi jumlah jaringan musim lalu iaitu 20 gol selepas penyudahan penyerang United itu sudah mencukupi untuk memberikan Manchester United kemenangan 1-0 ke atas Birmingham City di Old Trafford, kelmarin.

Jaringan Rooney pada minit ke-34 menjadi perbezaannya tatkala United melupakan ketiadaan tonggak pertahanannya, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic akibat kecederaan, untuk merekodkan kemenangan pada hari pembukaan musim baru.

“Dia mengambil peluangnya dengan baik,” kata Ferguson. “Tandukannya bagus dan tindakan susulan yang dilakukan untuk bola muntah itu adalah pantas dan dia bertindak melalui cara yang betul.

“Harap-harap gol itu akan meletakkan dirinya untuk menjaringkan lebih banyak gol, selepas jaringannya minggu lalu. Adalah baik jika anda mendapat dua atau tiga penyerang yang boleh memberikan anda lebih 20 gol.

“Dia ada keupayaan untuk melaksanakan tugasan itu tetapi kami tidak mahu membebankan budak ini.

United, yang mencari kejuaraan keempatnya berturut-turut musim ini, bermula dengan nada positif tatkala mereka tampak berhasrat untuk membuktikan kelab itu masih mempunyai jentera serangan berbisa tanpa Cristiano Ronaldo berikutan perpindahannya ke Real Madrid, Jun lalu.

Dimitar Berbatov gagal menyempurnakan peluang terbaik awal permainan dalam petak tatkala penjaga gol, Joe Hart meluru keluar dan Rooney turut berpeluang daripada bola muntah itu tetapi digagalkan oleh pertahanan Birmingham.

Hart sekali lagi bertindak cemerlang apabila rembatan melencong Rooney dari jarak 25 meter tampak menuju ke penjuru kiri gawang sehingga penjaga gol itu melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Birmingham, cuba mengatur serangan beberapa kali tatkala James McFadden meluru di sayap kiri tetapi dia kekurangan sokongan daripada rakan sepasukan dalam petak penalti United yang berjaya menghalang gerakan lawan. - AFP

Fergie rela menang 1-0


ROONEY (kanan) meraikan jaringannya dengan rakan sepasukannya pada aksi menentang Birmingham kelmarin.
____________________________________________________
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengakui, beliau akan tetap gembira jika The Red Devils mencatat lapan kemenangan tipis 1-0 musim ini.

Bagi Ferguson, ia sudah memadai jika keputusan itu dapat membantu United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

United tidak mempamerkan kemampuan sebenar ketika menewaskan pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Birmingham City 1-0 di Old Trafford kelmarin.

Wayne Rooney meledak gol tunggal United pada minit ke-34 bagi memastikan The Red Devils mengutip tiga mata penting di gelanggang sendiri.

United juga terpaksa mengharapkan kecemerlangan penjaga golnya, Ben Foster yang banyak menafikan percubaan Birmingham.

Begitupun, Ferguson tetap gembira apabila pasukannya berjaya menghalang kubu mereka daripada dibolosi.

"Apabila kamu dapat kekalkan rekod bersih di bahagian pertahanan, ia adalah petunjuk bahawa pasukan kamu ada kesungguhan.

"Saya tetap terima sekiranya kami menang 1-0 sebanyak lapan kali setiap musim. Ia mungkin satu kemenangan tipis tetapi itulah apa yang membuatkan kelab ini terkenal seperti sekarang.

"Tiada seorang pun yang akan bersenang-lenang di sini, tidak kira sama ada mereka adalah peminat, pegawai, pemain mahu pun saya sendiri.

"Kami sentiasa mampu menuju ke landasan yang betul," kata Ferguson

Isnin, 17 Ogos 2009

MU lega, Liverpool kecundang


PEMAIN United, Dimitar Berbatov (jersi merah) bergelut dengan penjaga gol Birmingham, Joe Hart dalam aksi EPL di Old Trafford, malam tadi yang berkesudahan United menang 1-0.
____________________________________________________
DUA jaringan pertahanan, masing-masing yang pertama buat Assou-Ekotto dan Sebastian Bassong untuk Tottenham Hotspur menjelmakan duka pembukaan musim buat Liverpool dalam kemenangan 2-1 di White Hart Lane semalam.

Spurs yang sepatutnya mendahului menerusi tiga percubaan awal Robbie Keane akhirnya memperoleh habuan daripada penguasaan babak pertama apabila bek kiri, Ekotto melepaskan rembatan kaki kiri daripada lantunan sepakan percuma, Tom Huddlestone seminit sebelum rehat.

Liverpool kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi penalti Steven Gerrard tetapi kedudukan itu tidak kekal lama dengan Luka Modric melambungkan sepakan percuma untuk Bassong melonjak tinggi untuk menanduk melepasi penjaga gol, Pepe Reina.

Terdahulu, Wayne Rooney memulakan kempen Manchester United untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut dengan langkah kemenangan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk kejayaan 1-0 ke atas Birmingham City, di Old Trafford.

Penyerang England itu bertindak pantas 12 minit sebelum rehat, menolak bola masuk dari jarak dekat selepas tandukan pertamanya hasil hantaran lintang Nani, terkena palang.

Ia bukan persembahan cemerlang United, dengan Birmingham berjaya mencipta beberapa peluang, terutama sekali apabila pemain gantian, Christian Benitez memaksa penjaga gol, Ben Foster bertindak pantas menyelamatkan keadaan. - Agensi

Sabtu, 15 Ogos 2009

Ferguson 'lega' City jadi tumpuan


MANCHESTER: Rafael Benitez mungkin mendakwa Sir Alex Ferguson bimbang dengan 'kuasa membeli' Manchester City tetapi pengendali itu tampak langsung tidak peduli menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Manchester United menentang Birmingham, hari ini.

Ramai pihak, termasuk Benitez selaku pengurus Liverpool, meramalkan City akan mencabar gelaran liga yang kini dipegang United selepas berbelanja lebih 100 juta pound (RM590 juta) ketika persiapan pra-musim.

Ferguson bagaimanapun bertegas kelab seperti City yang mahu memecahkan dominasi empat kelab utama dalam bola sepak Inggeris sejak beberapa tahun lalu bakal berdepan laluan sukar.

Ferguson, akan memberi penampilan pertama buat pembelian baru, Antonio Valencia di Old Trafford hujung minggu ini, berkata: "Di sinilah tumpuan ketika ini. City sudah mengambil alih tempat kami di muka belakang akhbar dan saya agak gembira kerana ada kalanya saya bosan membaca mengenai kami.

"Apa yang akan berlaku? Apa yang penting ialah keputusan di tengah padang.

"Saya tidak fikir akan ada ancaman kepada empat kelab utama. Mereka semua sudah membuktikannya. Ini adalah pasukan yang perlu ditumbangkan.

"Apa yang saya maksudkan ialah empat pasukan utama sudah terbukti dan memiliki kriteria tepat, pengalaman, kualiti, gelanggang dan barisan bagus. Jadi bagi saya, empat pasukan utama itu masih sukar untuk diatasi." - AFP

Lagenda Paul Scholes

Memori Final Liga Juara 1999

Separuh Akhir Piala FA 99'FA Man Utd vs Arsenal

Man Utd 2 - 1 Liverpool (FA Cup - 1999)

Jumaat, 14 Ogos 2009

Pemain M.U Dalam Jersi Kebangsaan


Anderson ( Brazil )

Dimitar Berbatov ( Bulgaria )

Park Ji Sung ( Korea Selatan )

Wayne Rooney ( England )

Antonio Valencia ( Ecuador )

Edwin Van Der Sar ( Belanda )

Nemanja Vidic ( Serbia )

Patrice Evra ( Perancis )

Darrent Fletcher ( scotland )

Ryan Giggs ( Wales )

Nani ( Portugal )

John O Shea ( Ireland )

Khamis, 13 Ogos 2009

Buru sejarah baru




FERGUSON mahu membimbing United meraih trofi Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut.
_____________________________________________________
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson kini fokus untuk memenangi trofi Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut.

Untuk rekod, belum ada kelab yang berjaya melakukannya di England sebelum ini.

Musim lalu, Ferguson berjaya membawa United menyamai rekod kemenangan tiga musim berturut-turut yang pernah dicatatkan Arsenal, Liverpool dan Huddersfield Town.

Kini pengurus veteran itu berasakan skuad The Red Devils mampu untuk melakukan lebih daripada itu.

Pada Disember tahun lalu, United ke Jepun dan menjuarai Piala Kelab-Kelab Dunia sebelum kembali beraksi di pentas liga domestik untuk mengejar pendahulu ketika itu, Liverpool.

"Memenangi empat kejuaraan (berturut-turut) merupakan sesuatu yang kami mahu lakukan dan jika berjaya ia satu pencapaian terhebat.

"Kami sedar betapa sukarnya untuk menjuarai liga ini. Kami telah mendapat saingan yang cukup sengit musim lalu.

"Musim ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan saya harap kami dapat melakukannya lagi.

"Namun, percubaan menjulang kejuaraan buat kali keempat berturut-turut menjadi satu cabaran yang hebat buat kami," jelas Ferguson.

Rabu, 12 Ogos 2009

Old Trafford







Kapasiti : 76,100
Dibuka : 1910
Keluasan : 116 x 76 yards
Alamat : Sir Matt Busby Way,Manchester, M16 0RA

Selasa, 11 Ogos 2009

Rooney makin 'panas'


LONDON - Wayne Rooney sudah bersedia mengetuai cabaran Manchester United musim ini.

Dia turut berazam untuk merealisasikan sasaran menjaringkan 25 gol yang tetapkan oleh pengurusnya, Alex Ferguson.

Sebelum ini, Ferguson telah berjanji memberi peluang kepada penyerang England itu bermain di posisi kegemarannya iaitu di bahagian tengah serangan berikutan pemergian Cristiano Ronaldo.

Begitupun, Ferguson mahu Rooney membayar kepercayaannya dengan meledakkan seberapa banyak gol musim ini.

Rooney meledakkan 20 gol dalam semua kempen buat United musim lepas dan sedar dia perlu menambah koleksi jaringannya musim ini.

Bagaimanapun, bekas penyerang Everton itu percaya tanggungjawab besar yang dipikulnya setelah ketiadaan Ronaldo tidak sesekali merisaukannya.

"Sudah tentu 25 gol adalah sasaran yang saya harap dapat dicapai.

"Saya sentiasa kata yang saya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dan harapnya saya akan dapat melakukannya musim ini," kata Rooney.

"Saya telah dapat apa yang saya mahu. Saya mahu bermain di bahagian tengah serangan.

"Pengurus telah beritahu yang saya akan bermain di posisi tersebut musim ini, jadi saya gembira mendengarnya."

Ronaldo telah menyumbang 67 gol sepanjang dua musimnya di Old Trafford dan kini United perlu mencari pengganti kepada ketiadaannya.

"Dia (Ronaldo) adalah pemain terbaik di dunia dan banyak persoalan timbul apabila kami kehilangan dia," kata Rooney.

"Saya juga ada jangkaan tersendiri ke atas diri saya sejak tujuh tahun lalu.

"Sama ada Cristiano ada atau tidak, saya masih tetap mempunyai jangkaan saya sendiri." - Agensi

Fantastik Gol 3 : Peter Schmeichel

Fantastik Gol 2 : Nani

Fantastik Gol 1 : Rooney

Nani diketepi daripada aksi awal


LONDON: Pemain tengah Manchester United dari Portugal, Nani mungkin terlepas aksi permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas bahunya terkehel ketika perlawanan Perisai Komuniti menentang Chelsea di Wembley, kelmarin.

Nani, yang menjaringkan gol pembukaan perlawanan yang berakhir dengan seri 2-2, sebelum Chelsea menang menerusi penentuan penalti, meninggalkan padang apabila mengalami kesakitan sambil mencengkam lengannya selepas 60 minit dan digantikan dengan pemain baru, Antonio Valencia.

“Bahunya terkehel dan perkara yang merisaukan ialah kami tidak mungkin segera memulihkannya,” kata pengurus United, Alex Ferguson tanpa mengesahkan berapa lama Nani akan diketepikan.

“Yang pasti, dia tidak dapat beraksi untuk Portugal minggu ini.”

United memulakan usaha mempertahankan mahkota EPL hujung minggu ini menentang pasukan baru naik, Birmingham City. - Reuters

Fergie salahkan pengadil


FERGUSON (kiri) menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada Foy pada perlawanan Perisai Komuniti kelmarin.
_____________________________________________________
LONDON - Alex Ferguson menyelar keputusan pengadil perlawanan, Chris Foy yang tidak melayangkan kad merah kepada Michael Ballack pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley kelmarin.

Perancang Chelsea itu dilihat menyiku Patrice Evra sehingga menyebabkan pertahanan Manchester United terjatuh.

Foy bagaimanapun membiarkan permainan diteruskan dan situasi itu menyaksikan Frank Lampard meledakkan gol kedua Chelsea ketika kedudukan terikat 1-1.

"Jika pengadil melihatnya dengan teliti, ia satu kesalahan kad merah," kata Ferguson.

"Dia telah menyiku Evra dengan jelas. Pengadil berada berhampiran dan mempunyai pandangan yang jelas, jadi dia (Ballack) lebih bernasib baik. Begitupun, sekurang-kuranya pengadil patut menghentikan permainan."

Ferguson juga menuduh kalangan pemain bintang The Blues yang sengaja berpura-pura cedera untuk melambatkan permainan.

"Ketika gol kedua mereka, pengadil membuat keputusan untuk enggan menghentikan permainan. Dia telah pun menghentikan permainan sebanyak dua kali," kata Ferguson.

"Pengadil kata ia insiden yang serius walaupun Ballack terus bangun selepas itu. Apabila pemain berlakon untuk menghentikan permainan, itulah perkara yang saya bimbangkan.

"Perbuatan itu tidak betul. Sesuatu harus dilakukan untuk menanganinya. Jika pengadil denda pemain kerana menghentikan permainan, maka tidak mengapa. Tapi dia (pengadil) tidak membuat keputusan dengan baik hari ini." - Agensi

Isnin, 10 Ogos 2009

Final Piala Sumbangsih EPL 09

Capello terus sisih Owen


LONDON: Michael Owen sekali lagi disisihkan England, dengan jurulatih Fabio Capello (gambar kecil) memanjangkan penyisihan penyerang itu di pentas antarabangsa di sebalik aksi mantap pra-musim bersama kelab barunya, Manchester United.

Tetapi Capello membayangkan peluang Owen, 29, untuk kembali dipanggil kini tambah cerah selepas menyertai kelab juara Liga Perdana Inggeris itu daripada Newcastle, bulan lalu.

“Saya rasa (Manchester United) adalah peluang hebat untuk Owen beraksi kembali dengan pasukan yang amat penting dalam Liga Juara-juara Eropah. Ia satu lagi peluang dan ianya amat penting untuknya.

“Dia perlu beraksi baik dan menjaringkan gol. Dia perlu kembali ke tahap yang pernah dicapainya sebelum musim lalu. Amat penting untuk beraksi dengan pasukan yang penting. Dia masih muda, baru berusia 29 tahun. Dia tidak terlalu tua, jadi mengapa tidak (boleh kembali)?” katanya menjelang perlawanan persahabatan menentang Belanda, Rabu ini.

Owen, menjaringkan empat gol untuk pra-musim ketika jelajah Asia, membuat kemunculan terakhir kali ke-89 menentang Perancis pada Mac 2008, pada awal tempoh kendalian Capello. Dia kemudiannya dibelenggu kecederaan selain prestasi kurang meyakinkan di Newcastle.

Rakan sepasukan Owen, Wayne Rooney, adalah antara penyerang dalam skuad 23 pemain England, bersama-sama Emile Heskey, Jermain Defoe dan Carlton Cole.

“Rooney ketika ini di tahap aksi yang membanggakan,” akui Capello.

Penyerang Tottenham Hotspur, Peter Crouch - yang meninggalkan Portsmouth, bulan lalu - yang kerap masuk dan keluar sejak pengendali Itali itu mengemudi cabaran pasukan, sekali lagi disisihkan.

SKUAD ENGLAND

Penjaga gol: Ben Foster (Manchester United), Robert Green (West Ham), Paul Robinson (Blackburn).

Pertahanan: Wayne Bridge (Manchester City), Ashley Cole (Chelsea), Rio Ferdinand (Manchester United), Glen Johnson (Liverpool), Joleon Lescott (Everton), John Terry (Chelsea), Matthew Upson (West Ham).

Tengah: Gareth Barry (Manchester City), David Beckham (Los Angeles Galaxy), Michael Carrick (Manchester United), Steven Gerrard (Liverpool), Frank Lampard (Chelsea), James Milner (Aston Villa), Theo Walcott (Arsenal), Shaun Wright-Phillips (Manchester City), Ashley Young (Aston Villa).

Penyerang: Carlton Cole (West Ham), Emile Heskey (Aston Villa), Jermain Defoe (Tottenham), Wayne Rooney (Manchester United).

Penalti Musnahkan United


WEMBLEY, England - Chelsea merangkul kejuaraan pembuka tirai bola sepak England, Perisai Komuniti selepas menundukkan Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 apabila masa penuh berakhir seri 2-2, semalam.

Ia merupakan kemenangan bermakna buat pengurus baru mereka, Carlo Ancelotti yang membimbing pasukan Blues itu dalam perlawanan kompetitif pertamanya.

Perlawanan tradisi itu juga sekali gus membuka tirai musim baru England, namun ia berlangsung agak panas, terutama selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Nani meletakkan United di depan hanya 10 minit selepas perlawanan bermula, manakala Ricardo Carvalho menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Ketika kedudukan terikat 1-1, pemain United, Patrice Evra terbaring di atas padang selepas dikasari Michael Ballack, dan ketika itu pemain tengah Chelsea, Frank Lampard merembat bola untuk kedudukan 2-1.

Jaringan tersebut mencetus kemarahan pemain-pemain United, namun pada ketika permainan hampir ditamatkan, Wayne Rooney berjaya menyamakan kedudukan 2-2, biarpun ulang tayang televisyen menunjukkan dia berada pada posisi ofsaid.

Bayangan awal kekalahan United muncul selepas sepakan penalti pertama yang diambil Ryan Giggs diselamatkan penjaga gol, Peter Cech, yang turut mudah menepis sepakan lemah Evra.

Chelsea mengesahkan kemenangan mereka menerusi sepakan terakhir yang disempurnakan oleh Salomon Kalou. - AP

Sabtu, 8 Ogos 2009

Amaran buat Chelsea


LONDON - Rio Ferdinand memberi amaran kepada Chelsea bahawa Manchester United akan menjadikan perlawanan Perisai Komuniti di Wembley malam ini sebagai bukti mereka mampu mencipta kejayaan tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez.

Pengurus United, Alex Ferguson dan pengendali Chelsea, Carlo Ancelotti mungkin tidak begitu risau terhadap keputusan yang bakal tercipta pada aksi pembuka tirai Liga Perdana England itu, namun fokus utama pastinya terarah kepada United sama ada mampu atau tidak menguasai perlawanan tanpa kelibat Ronaldo dan Tevez.

Jaringan dan kelincahan Ronaldo banyak membantu United mencatat kejayaan di pentas domestik dan Eropah sebelum ini manakala aset berharga Tevez yang kerap meledakkan gol setiap kali masuk sebagai pemain gantian, banyak menyelamatkan maruah skuad Red Devils itu.

BARISAN United akan tampil tanpa kelibat Ronaldo dan Tevez musim ini.

Begitupun, Ferdinand percaya barisan Red Devils tidak begitu merasai kehilangan Ronaldo dan Tevez.

"Ramai antara kami telah berada di sini sejak beberapa tahun lalu," kata Ferdinand yang dijangka mengetuai United pada aksi malam ini.

"Kelab ini masih tetap hebat walaupun ada beberapa pemain keluar dan masuk. Kerjasama di antara pemain dalam pasukan ini lebih penting daripada seorang pemain."

Anderson turut tidak meragui kemampuan pasukannya untuk memberi cabaran dalam saingan musim ini.

"Untuk menjuarai Perisai Komuniti akan memberi bukti kepada dua perkara utama.

"Pertama ia akan memberi malu kepada Chelsea dan kedua ia akan menunjukkan yang kami masih boleh menang walaupun tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez," kata Anderson. - AFP