Isnin, 31 Ogos 2009
Arsenal, United berpesta gol
Rooney Meraikan jaringan keempat M.U
_________________________________________________
LONDON – Arsenal dan Manchester United berpesta gol pada kempen minggu kedua Liga Perdana England semalam.
Tatkala Arsenal membelasah Portsmouth 4-1, United pula mudah menjinakkan Wigan Athletic 5-0.
Kemenangan yang dilakar Arsenal semalam menyaksikan skuad The Gunners itu telah merekodkan 12 gol dalam tempoh lapan hari.
Minggu lalu, Arsenal mencipta kemenangan 6-1 ke atas Everton di Goodison Park sebelum menewaskan kelab Scotland, Celtic 2-0 pada aksi kelayakan Liga Juara-Juara.
United pula kembali mempamerkan rentak terbaik mereka selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada kelab kerdil, Burnley Rabu lalu.
Pada aksi di Emirates semalam, gol-gol Arsenal dihasilkan menerusi Abou Diaby pada minit ke-18 dan 21, William Gallas (51) dan Aaron Ramsey (68).
Younes Kaboul menjaringkan gol tunggal Portsmouth pada minit ke-37.
Di Stadium DW, penyerang sensasi United, Wayne Rooney meledakkan gol pada minit ke-56 dan 65 manakala Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Nani masing-masing menyumbang satu gol.
Manchester City turut meraih kemenangan selepas menewaskan Wolverhampton 1-0 hasil jaringan Emmanuel Adebayor.
Sunderland pula menang 2-1 ke atas Blackburn Rovers, Bolton Wanderers tewas 0-1 kepada Hull City manakala Birmingham City seri tanpa jaringan dengan Stoke City.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan