Rabu, 5 Ogos 2009
Fergie buat 'serangan' awal ke atas Liverpool
LONDON: Sekian lama menyepi, perang psikologi membabitkan dua gergasi bola sepak - Manchester United dan Liverpool kembali bergelora.
Semalam, pengurus The Red Devils, Sir Alex Ferguson tampil bersuara seperti mahu mengundang perbalahan semula dengan Rafael Benitez apabila berkata peluang lawan dari Anfield itu memburu mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) tipis, sebaliknya mentakrif Chelsea sebagai ancaman terbesar mereka mempertahankan gelaran semusim lagi.
Pengurus berasal dari Scotland itu tidak beranggapan pemergian Xabi Alonso ke Real Madrid akan menggugat Liverpool dengan berkata barisan didik BenÃtez lebih banyak bergantung kepada gandingan Steven Gerrard dan Fernando Torres. Tetapi dia melihat hanya sedikit peluang untuk skuad di Anfield memperbaiki persembahan tempat kedua musim lalu.
"Liverpool mungkin mempunyai musim terbaik mereka untuk 20 tahun, musim lalu, menamatkan saingan dengan 86 mata dan masih tertinggal empat mata di belakang," katanya. "Adalah sukar buat mereka untuk mengulanginya, apatah lagi memperbaikinya. Pasukan lain akan dapat membaca Liverpool dengan lebih baik."
Dia lebih bimbang dengan Chelsea, yang mempunyai pengurus baru Carlo Ancelotti, pemenang dua kejuaraan Piala Eropah dan mahkota Serie A bersama Milan.
"Chelsea adalah ancaman utama," katanya. "Ancelotti akan mengubah cara Chelsea bermain. Ada banyak fleksibiliti dalam apa yang dimiliki dan dia akan mendapat gol melalui Didier Drogba dan Nicolas Anelka.
"Mereka akan bermain cara Milan," kata Ferguson yang terus akur United akan terasa kehilangan Cristiano Ronaldo yang menyertai Madrid.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan