Isnin, 31 Ogos 2009

Amaran kebangkitan United

________________________________________________
LONDON - Alex Ferguson percaya kemenangan 2-1 yang dicapai oleh Manchester United ke atas Arsenal, kelmarin merupakan amaran awal kepada pasukan utama lain yang memasang impian merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

Meskipun United memenangi liga musim lalu, kelab ternama itu menerima hakikat mereka terpaksa melalui pengalaman perit bersemuka Liverpool dan Arsenal.

Musim lalu, Liverpool menumpaskan anak didik Ferguson sebanyak dua kali manakala Arsenal masih sempat mencuri empat mata daripada kelab juara tersebut.

Apa pun, Ferguson begitu gembira apabila menyaksikan pasukan bimbingannya itu menunjukkan aksi kebangkitan, kelmarin.

Meskipun ketinggalan satu gol pada satu ketika, United masih mampu menumpaskan Gunners di Old Trafford, kelmarin.

"Ketika ketinggalan 0-1 kepada sebuah pasukan yang hebat seperti Arsenal, sudah tentu ia memberi tugas berat untuk digalas pada pertemuan seperti ini.

"Kami terpaksa bekerja keras. Namun begitu, pasukan ini berjaya bermain dengan cemerlang pada separuh masa kedua dan berhak mencatat kemenangan.

"Pemain tahu bahawa mencatat kemenangan pada pertemuan besar adalah sangat penting. Musim lalu, kami kehilangan empat mata kepada Arsenal dan enam mata lagi kepada Liverpool.

"Kini kami telah melakukan permulaan yang lebih baik apabila menentang pasukan-pasukan ternama. Oleh yang demikian, ia memberi kami peluang melakukan perbezaan," kata Ferguson.

Pasukan bimbingan Arsene Wenger dilihat selesa mendahului pertemuan kelmarin menerusi jaringan mengkagumkan oleh Andrey Arshavin pada minit akhir separuh masa pertama.

Namun pasukan juara, United memperoleh kembali semangat juang pada separuh masa kedua apabila penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia tidak mampu menafikan jaringan penalti yang disempurnakan oleh Wayne Rooney.

Lima minit selepas tendangan penalti tersebut, keadaan menjadi bertambah buruk buat Arsenal.

Pemain tengah Arsenal dari Perancis, Abou Diaby menanduk masuk ke gawang sendiri apabila cuba menghalang tendangan percuma yang diambil oleh pemain sayap United, Ryan Giggs. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan