Isnin, 17 Ogos 2009

MU lega, Liverpool kecundang


PEMAIN United, Dimitar Berbatov (jersi merah) bergelut dengan penjaga gol Birmingham, Joe Hart dalam aksi EPL di Old Trafford, malam tadi yang berkesudahan United menang 1-0.
____________________________________________________
DUA jaringan pertahanan, masing-masing yang pertama buat Assou-Ekotto dan Sebastian Bassong untuk Tottenham Hotspur menjelmakan duka pembukaan musim buat Liverpool dalam kemenangan 2-1 di White Hart Lane semalam.

Spurs yang sepatutnya mendahului menerusi tiga percubaan awal Robbie Keane akhirnya memperoleh habuan daripada penguasaan babak pertama apabila bek kiri, Ekotto melepaskan rembatan kaki kiri daripada lantunan sepakan percuma, Tom Huddlestone seminit sebelum rehat.

Liverpool kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi penalti Steven Gerrard tetapi kedudukan itu tidak kekal lama dengan Luka Modric melambungkan sepakan percuma untuk Bassong melonjak tinggi untuk menanduk melepasi penjaga gol, Pepe Reina.

Terdahulu, Wayne Rooney memulakan kempen Manchester United untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut dengan langkah kemenangan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk kejayaan 1-0 ke atas Birmingham City, di Old Trafford.

Penyerang England itu bertindak pantas 12 minit sebelum rehat, menolak bola masuk dari jarak dekat selepas tandukan pertamanya hasil hantaran lintang Nani, terkena palang.

Ia bukan persembahan cemerlang United, dengan Birmingham berjaya mencipta beberapa peluang, terutama sekali apabila pemain gantian, Christian Benitez memaksa penjaga gol, Ben Foster bertindak pantas menyelamatkan keadaan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan