Sabtu, 15 Ogos 2009

Ferguson 'lega' City jadi tumpuan


MANCHESTER: Rafael Benitez mungkin mendakwa Sir Alex Ferguson bimbang dengan 'kuasa membeli' Manchester City tetapi pengendali itu tampak langsung tidak peduli menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Manchester United menentang Birmingham, hari ini.

Ramai pihak, termasuk Benitez selaku pengurus Liverpool, meramalkan City akan mencabar gelaran liga yang kini dipegang United selepas berbelanja lebih 100 juta pound (RM590 juta) ketika persiapan pra-musim.

Ferguson bagaimanapun bertegas kelab seperti City yang mahu memecahkan dominasi empat kelab utama dalam bola sepak Inggeris sejak beberapa tahun lalu bakal berdepan laluan sukar.

Ferguson, akan memberi penampilan pertama buat pembelian baru, Antonio Valencia di Old Trafford hujung minggu ini, berkata: "Di sinilah tumpuan ketika ini. City sudah mengambil alih tempat kami di muka belakang akhbar dan saya agak gembira kerana ada kalanya saya bosan membaca mengenai kami.

"Apa yang akan berlaku? Apa yang penting ialah keputusan di tengah padang.

"Saya tidak fikir akan ada ancaman kepada empat kelab utama. Mereka semua sudah membuktikannya. Ini adalah pasukan yang perlu ditumbangkan.

"Apa yang saya maksudkan ialah empat pasukan utama sudah terbukti dan memiliki kriteria tepat, pengalaman, kualiti, gelanggang dan barisan bagus. Jadi bagi saya, empat pasukan utama itu masih sukar untuk diatasi." - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan