Isnin, 10 Ogos 2009

Capello terus sisih Owen


LONDON: Michael Owen sekali lagi disisihkan England, dengan jurulatih Fabio Capello (gambar kecil) memanjangkan penyisihan penyerang itu di pentas antarabangsa di sebalik aksi mantap pra-musim bersama kelab barunya, Manchester United.

Tetapi Capello membayangkan peluang Owen, 29, untuk kembali dipanggil kini tambah cerah selepas menyertai kelab juara Liga Perdana Inggeris itu daripada Newcastle, bulan lalu.

“Saya rasa (Manchester United) adalah peluang hebat untuk Owen beraksi kembali dengan pasukan yang amat penting dalam Liga Juara-juara Eropah. Ia satu lagi peluang dan ianya amat penting untuknya.

“Dia perlu beraksi baik dan menjaringkan gol. Dia perlu kembali ke tahap yang pernah dicapainya sebelum musim lalu. Amat penting untuk beraksi dengan pasukan yang penting. Dia masih muda, baru berusia 29 tahun. Dia tidak terlalu tua, jadi mengapa tidak (boleh kembali)?” katanya menjelang perlawanan persahabatan menentang Belanda, Rabu ini.

Owen, menjaringkan empat gol untuk pra-musim ketika jelajah Asia, membuat kemunculan terakhir kali ke-89 menentang Perancis pada Mac 2008, pada awal tempoh kendalian Capello. Dia kemudiannya dibelenggu kecederaan selain prestasi kurang meyakinkan di Newcastle.

Rakan sepasukan Owen, Wayne Rooney, adalah antara penyerang dalam skuad 23 pemain England, bersama-sama Emile Heskey, Jermain Defoe dan Carlton Cole.

“Rooney ketika ini di tahap aksi yang membanggakan,” akui Capello.

Penyerang Tottenham Hotspur, Peter Crouch - yang meninggalkan Portsmouth, bulan lalu - yang kerap masuk dan keluar sejak pengendali Itali itu mengemudi cabaran pasukan, sekali lagi disisihkan.

SKUAD ENGLAND

Penjaga gol: Ben Foster (Manchester United), Robert Green (West Ham), Paul Robinson (Blackburn).

Pertahanan: Wayne Bridge (Manchester City), Ashley Cole (Chelsea), Rio Ferdinand (Manchester United), Glen Johnson (Liverpool), Joleon Lescott (Everton), John Terry (Chelsea), Matthew Upson (West Ham).

Tengah: Gareth Barry (Manchester City), David Beckham (Los Angeles Galaxy), Michael Carrick (Manchester United), Steven Gerrard (Liverpool), Frank Lampard (Chelsea), James Milner (Aston Villa), Theo Walcott (Arsenal), Shaun Wright-Phillips (Manchester City), Ashley Young (Aston Villa).

Penyerang: Carlton Cole (West Ham), Emile Heskey (Aston Villa), Jermain Defoe (Tottenham), Wayne Rooney (Manchester United).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan