Ahad, 2 Ogos 2009
Owen sasar Piala Dunia
LONDON - Michael Owen percaya, perpindahannya ke Manchester United dapat membantunya untuk kembali mendapat tempat dalam skuad Piala Dunia England bimbingan Fabio Capello.
Penyerang berusia 29 tahun itu yakin, dia masih boleh kembali menjadi penyerang terbaik, biarpun kerap dibelenggu kecederaan ketika beraksi buat Newcastle United, yang kini tersingkir ke divisyen bawah.
"Fikiran saya selalu memikirkan mengenainya (berada dalam skuad kebangsaan) sejak berusia tiga tahun lagi, dan tiada apa yang dapat merubah.
"Memenangi Piala Dunia merupakan destinasi terakhir, ia masih menjadi impian saya,'' kata Owen kepada majalah FourFourTwo.
Owen juga membidas para pengkritik yang menganggap zaman kegemilangannya sudah berakhir dan dia pasti akan bergelut di Old Trafford. Malah, mereka juga menjangkakan dia akan menerima tekanan tambahan di United ekoran pemergian Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez.
Boss Blackburn, Sam Allardyce dan pemilik Wigan, David Whelan masing-masing sebelum ini enggan mengambil bekas pemain antarabangsa England itu.
"Jika itu cara mereka menilai saya, maka tidak mengapalah kerana yang penting pada saya, Sir Alex Ferguson tidak berfikiran sama seperti mereka.
"Saya hanya mahu duduk diam di sini, lihat sekeliling di mana saya sekarang. Dan, jika orang lain tetap mahu melihat seperti mana yang mereka mahu, saya rasa, mereka akan malu sendiri suatu hari nanti.
"Saya hanya perlu membuktikan kemampuan saya kepada orang yang mempercayai saya. Saya mahu buktikan kepada Sir Alex, bahawa beliau membuat keputusan tepat dengan mempercayai saya,'' kata Owen lagi.
Owen juga tidak bimbang dengan cabaran yang terpaksa disahut, iaitu perlu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tevez dan Ronaldo.
"Pasukan ini kehilangan dua pemain - Tevez, yang banyak menjaringkan gol dan Ronaldo, yang banyak menyumbang kepada pasukan sejak dua musim lalu.
"Ia merupakan kehilangan yang besar yang perlu diisi, saya harap saya dapat membantu pasukan ini untuk mencari gol. Saya tidak boleh melakukannya sendirian, tetapi saya akan dibantu.
"Apabila anda menyertai United, anda akan teruja dalam banyak benda. Salah satu daripadanya, saya harap... dapat menjaringkan banyak gol kerana saya memperoleh lebih banyak peluang di sini, berbanding dengan pasukan lain,'' ujar Owen lagi. - AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan