Selasa, 18 Ogos 2009
Fergie rela menang 1-0
ROONEY (kanan) meraikan jaringannya dengan rakan sepasukannya pada aksi menentang Birmingham kelmarin.
____________________________________________________
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengakui, beliau akan tetap gembira jika The Red Devils mencatat lapan kemenangan tipis 1-0 musim ini.
Bagi Ferguson, ia sudah memadai jika keputusan itu dapat membantu United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
United tidak mempamerkan kemampuan sebenar ketika menewaskan pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Birmingham City 1-0 di Old Trafford kelmarin.
Wayne Rooney meledak gol tunggal United pada minit ke-34 bagi memastikan The Red Devils mengutip tiga mata penting di gelanggang sendiri.
United juga terpaksa mengharapkan kecemerlangan penjaga golnya, Ben Foster yang banyak menafikan percubaan Birmingham.
Begitupun, Ferguson tetap gembira apabila pasukannya berjaya menghalang kubu mereka daripada dibolosi.
"Apabila kamu dapat kekalkan rekod bersih di bahagian pertahanan, ia adalah petunjuk bahawa pasukan kamu ada kesungguhan.
"Saya tetap terima sekiranya kami menang 1-0 sebanyak lapan kali setiap musim. Ia mungkin satu kemenangan tipis tetapi itulah apa yang membuatkan kelab ini terkenal seperti sekarang.
"Tiada seorang pun yang akan bersenang-lenang di sini, tidak kira sama ada mereka adalah peminat, pegawai, pemain mahu pun saya sendiri.
"Kami sentiasa mampu menuju ke landasan yang betul," kata Ferguson
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan