Selasa, 18 Ogos 2009

Fergie cabar Rooney gegar lebih 20 gol


'Dia ada keupayaan untuk lakukan tugas itu musim ini'
__________________________________________________
MANCHESTER: Sir Alex Ferguson mencabar Wayne Rooney untuk mengatasi jumlah jaringan musim lalu iaitu 20 gol selepas penyudahan penyerang United itu sudah mencukupi untuk memberikan Manchester United kemenangan 1-0 ke atas Birmingham City di Old Trafford, kelmarin.

Jaringan Rooney pada minit ke-34 menjadi perbezaannya tatkala United melupakan ketiadaan tonggak pertahanannya, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic akibat kecederaan, untuk merekodkan kemenangan pada hari pembukaan musim baru.

“Dia mengambil peluangnya dengan baik,” kata Ferguson. “Tandukannya bagus dan tindakan susulan yang dilakukan untuk bola muntah itu adalah pantas dan dia bertindak melalui cara yang betul.

“Harap-harap gol itu akan meletakkan dirinya untuk menjaringkan lebih banyak gol, selepas jaringannya minggu lalu. Adalah baik jika anda mendapat dua atau tiga penyerang yang boleh memberikan anda lebih 20 gol.

“Dia ada keupayaan untuk melaksanakan tugasan itu tetapi kami tidak mahu membebankan budak ini.

United, yang mencari kejuaraan keempatnya berturut-turut musim ini, bermula dengan nada positif tatkala mereka tampak berhasrat untuk membuktikan kelab itu masih mempunyai jentera serangan berbisa tanpa Cristiano Ronaldo berikutan perpindahannya ke Real Madrid, Jun lalu.

Dimitar Berbatov gagal menyempurnakan peluang terbaik awal permainan dalam petak tatkala penjaga gol, Joe Hart meluru keluar dan Rooney turut berpeluang daripada bola muntah itu tetapi digagalkan oleh pertahanan Birmingham.

Hart sekali lagi bertindak cemerlang apabila rembatan melencong Rooney dari jarak 25 meter tampak menuju ke penjuru kiri gawang sehingga penjaga gol itu melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Birmingham, cuba mengatur serangan beberapa kali tatkala James McFadden meluru di sayap kiri tetapi dia kekurangan sokongan daripada rakan sepasukan dalam petak penalti United yang berjaya menghalang gerakan lawan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan