Jumaat, 21 Ogos 2009

Ferguson tak panik


BURNLEY: Sir Alex Ferguson berkata beliau tidak bimbang dengan keupayaan Manchester United untuk menjaringkan gol walaupun hanya mampu menghasilkan satu gol sepanjang dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.

Juara bertahan itu menewaskan Birmingham 1-0, Ahad lalu tetapi mendapat keputusan memalukan apabila tewas 1-0 di tangan Burnley pada perlawanan kedua, semalam.

Ferguson masih cuba menyesuaikan diri tanpa khidmat Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez ketika United gagal pamer aksi meyakinkan pada awal kempen.

Pengurus United itu berasakan pemainnya masih mencipta banyak peluang ketika menentang Clarets dan percaya mereka akan membinasakan Wigan, Sabtu ini jika mempunyai peluang sedemikian.

Ferguson yang menyaksikan sepakan penalti Michael Carrick diselamatkan di Turf Moor, tegas mengatakan pasukannya akan bangkit daripada kekalahan di tangan Burnley.

Beliau berkata: “Saya yakin kami akan mendapat jawapannya Sabtu ini. Kami semua kecewa kerana ia adalah keputusan yang buruk.

“Padang dalam keadaan baik dan itu bukan alasan bagi kami. Kami sepatutnya bertindak lebih bijak.

“Kami biasanya mengambil sedikit masa untuk berjaya. Ada kalanya kami memerlukan beberapa bulan untuk mendapatkan prestasi sebenar. Tetapi kami tidak sepatutnya tewas pada perlawanan ini.

“Burnley berhak mendapat pujian. Ia malam yang hebat buat mereka. Peminat mereka cukup hebat dan padang juga baik. Semua yang ada di sini dapat melihat aksi yang menghiburkan.

“Ia bukanlah satu masalah jika anda melihat kepada peluang yang kami cipta. Dua atau tiga pemain berpeluang untuk menjaringkan gol. Michael Owen terlepas satu peluang di babak pertama manakala Ryan Giggs pula di babak kedua.

“Michael Carrick mempunyai peluang terbaik tetapi dia terlepas. Kami berharap dapat memiliki peluang sebegitu Sabtu ini.” - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan