Rabu, 21 Oktober 2009

United tetap yakin menang walaupun tempang


MOSCOW – Manchester United kembali ke arena ketika memenangi perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2008 ke atas Chelsea dengan sasaran kemenangan ke atas CSKA Moscow yang akan membawa mereka selangkah ke peringkat kalah mati pertandingan musim ini.

Di sebalik persembahan tidak menentu dalam Liga Perdana England musim ini, United dilihat menyakinkan setakat ini di peringkat Eropah, merekodkan kemenangan ke atas Besiktas di Turki dan juara Jerman, Wolfsburg di Old Trafford.

Tambahan tiga mata lagi pada aksi di Stadium Luzhniki, di mana John Terry tergelincir dan gagal menyempurnakan sepakan penentuan penalti yang memberikan kejuaraan Eropah ketiga kelab itu meletakkan pasukan Alex Ferguson semakin kuat untuk mengawal Kumpulan B.

Namun, sejarah membuktikan ia bukan laluan mudah buat United.

Mereka tidak pernah menang di Rusia manakala CSKA yang kini dikendalikan oleh bekas jurulatih Sevilla, Tottenham dan Real Madrid Juande Ramos, menang enam perlawanan kejohanan Eropah di laman sendiri.

CSKA jauh daripada aksi tahap sebenar ketika seri 1-1 dengan kelab kerdil Nalchik dalam liga Rusia hujung minggu lalu dan kehilangan Marc Gonzalez, yang cedera pergelangan kaki ketika perlawanan antarabangsa dengan Chile minggu lalu.

Memburukkan keadaan, penyerang dari Brazil Guilherme belum pasti dapat beraksi.

United juga mengalami masalah kecederaan pemain dengan Wayne Rooney, masih bergelut dengan masalah pangkal paha.

Ryan Giggs yang cemerlang musim ini, tidak ikut serta ke Rusia bagi memastikan dia mendapat rehat secukupnya untuk pertembungan dengan Liverpool di Anfield, Ahad ini.

Pemain tengah Korea Selatan, Park Ji-Sung, ketua pasukan Scotland Darren Fletcher dan pertahanan kiri Perancis, Patrice Evra juga tidak beraksi kerana cedera.

Namun, Ferguson masih ada Nemanja Vidic, salah seorang pemain bintang ketika mewakili pasukan musuh ketat CSKA, Spartak Moscow, yang pulih dari kecederaan dan mungkin memilih untuk berganding dengan pertahanan tengah Serbia dan Jonny Evans, yang menggantikan Rio Ferdinand.

Minggu lalu, pengurus United itu mengakui kelemahan prestasi Ferdinand ketika ini menyebabkan dia bimbang, ketika dia tidak putus-putus memuji bakat pemain Ireland Utara Evan yang semakin memuncak, yang akhirnya merasakan dia berhak untuk mendapat tempat dalam barisan utama United.

“Musim lalu agak perlahan bagi saya. Ia musim pertama sebenar bagi saya dalam pasukan ini.

‘‘Saya terhad di bahagian pertahanan sahaja. Saya bermain dengan berhati-hati dan memastikan bukan salah saya di atas mana-mana gol yang dibolosi. Saya hanya menumpukan bahagian pertahanan sahaja.

“Tahun ini, saya perlu mencuba dan mendapatkan bola untuk menunjukkan siapa saya yang sebenarnya.

“Saya tidak katakan bahawa saya akan cuba untuk memegang bola di depan pemain lawan, saya hanya perlu lebih bergerak di padang dan lebih mengawal permainan,’’ kata Evans.

Di sebalik prestasinya ketika ini, Evans tetap menjangkakan dia akan menghabiskan lebih banyak masa di bangku simpanan musim ini dan dia tidak mahu terlalu mengharapkan pujian yang diterima dari Ferguson.

“Kadang kala pengurus mahu memberi sedikit semangat kepada pemain.

“Ada ketikanya dia mengetepikan saya musim ini dan dia memperkatakan perkara yang baik ketika dia mengetepikan anda.

“Adalah bagus dia berkata perkara yang baik dan jika dia berfikir begitu, ini menunjukkan saya telah melakukan perkara yang betul.

‘‘Ia bagus kerana Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic pemain yang hebat,’’ kata Evans. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan