Rabu, 7 Oktober 2009

Siasat Fergie: Pengadil


Alan Wiley
_____________________________________________
LONDON: Barisan pengadil kini bergandingan tenaga dan menggesa Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) agar mengenakan hukuman keras ke atas pengurus Manchester United, Alex Ferguson gara-gara kenyataan pedas olehnya yang menyebut pengadil, Alan Wiley tidak cergas mengadili perlawanan.

Pihak FA sudah menjalankan penyiasatan ke atas pengurus berasal dari Scotland itu yang menggunakan kata-kata kesat ke atas pengadil berkenaan selepas Red Devils itu seri 2-2 ketika menentang Sunderland dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, Sabtu lalu.

Bekas pengadil EPL, Dermot Gallagher, berkata dakwaan Ferguson menggelikan hati kerana Alan ialah antara pengadil terbaik yang FA miliki ketika ini.

“Ia adalah suatu perkara yang amat menghairankan kerana seorang pengadil yang bagus diberi kritikan seperti itu. Dia sudah memilih orang yang salah dan komen yang dilemparkan itu tidak dapat dibuktikan.” tambahnya.

Pada perlawanan Sabtu lalu, Alex melemparkan kata kesat kepada pengadil itu dengan mengatakan Wiley tidak secergas pengadil luar negara.

“Dia mengambil masa kira-kira 30 saat untuk menghukum pemain. Jelas sekali dia tidak cergas”.

Dalam pada itu, Setiausaha Pengadil, Alan Leighton memberi peringatan andai Ferguson terlepas daripada hukuman ia akan memberi ruang kepada pengurus pasukan lain bertindak sama pada masa depan.

“Pengurus Blackburn (Sam Allardyce) juga mengadu mengenai pengadil (Peter Walton) yang dikatakan tidak cukup cergas untuk menjadi pengadil. Jika perkara ini berterusan, tidak ada lagi pengadil yang layak untuk menjadi pengadil,” katanya.

Jurucakap dari FA berkata, pihaknya akan meneliti segala komen itu secara teliti. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan