Rabu, 21 Oktober 2009

MU tak gusar padang tiruan


MOSCOW: Manchester United tidak bimbang bermain di padang tiruan ketika pasukan itu berdepan CSKA Moscow, dalam perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Perlawanan itu akan diadakan di Stadium Luzhniki, gelanggang sama pengurus United, Alex Ferguson menjulang trofi kedua Liga Juara-Juara, 18 bulan lalu, apabila Red Devils menewaskan Chelsea menerusi penalti. Perlawanan itu diadakan di padang yang ditampal rumput sebenar, tetapi kali ini stadium itu akan menggunakan permukaan plastik.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan padang di Moscow,” kata Ferguson. “Bila Luton dan QPR menggunakannya beberapa tahun lalu, kami bermain dengan baik.

“Kami mempunyai rekod yang hebat di padang tiruan dan itu ketika padang terbabit tidak sebaik ketika ini. Padang di Moscow jauh lebih baik.”

Pasukan Ferguson yang meraih dua kemenangan dalam dua perlawanan kumpulan, akan kehilangan beberapa pemain utama pada perlawanan itu.

Penyerang, Wayne Rooney mengalami kecederaan otot betis ketika England tewas kepada Ukraine 1-0, minggu lalu, manakala pemain tengah, Ryan Giggs dan pemain bek kiri, Patrice Evra mengalami kecederaan ketika menentang Bolton, Sabtu lalu.

Park Ji-sung dan Darren Fletcher yang turut tercedera diketepikan ketika perlawanan liga menentang Liverpool semakin menghampiri Ahad ini.

Kebimbangan terhadap status Nemanja Vidic dan penyerang Dimitar Berbatov turut timbul ketika mereka dijangka berdepan bekas pengurus mereka di Tottenham, Juande Ramos yang kini mengendali CSKA. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan