Khamis, 8 Oktober 2009

Carrick harap Capello utama rekod


WATFORD: Andai diletakkan pingat di atas meja, Michael Carrick mampu melonggokkan hadiah yang jauh melebihi bintang tengah England yang lain, namun pemain Manchester United itu seakan tidak dipedulikan seumpama melukut di tepi gantang.

Carrick memenangi lebih banyak pingat Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara berbanding apa yang dikumpulkan oleh Steven Gerrard dan Frank Lampard sepanjang karier mereka.

Ketika Lampard sudah dua kali menjulang Liga Perdana, bintang Chelsea itu belum lagi mampu mengecapi nikmat kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara. Gerrard selaku kapten Liverpool sudah menjulang Piala Eropah pada 2005. namun belum merasa gelaran liga.

Malah, Gareth Barry jauh di depan Carrick dalam senarai pemain tengah ternama, walaupun gagal memenangi sebarang piala utama sepanjang kariernya sehingga hari ini.

Carrick sebaliknya, tidak pernah kurang daripada kutipan piala. Sejak menyertai United pada 2006, pemain 28 tahun itu sudah mengumpul tiga kemenangan berturut-turut gelaran Liga Perdana serta membantu United menewaskan Chelsea yang dikemudi Lampard pada final Liga Juara-Juara 2008.

Bekas pemain Tottenham itu bukan setakat melakukan tugasnya dalam mencipta kemenangan itu, namun sayangnya, menjadi bintang dalam kelab terbesar dunia dalam saingan tertinggi kelab Eropah, masih belum dapat menarik perhatian pengurus England.

Carrick baru mendapat 19 cap antarabangsa untuk negaranya sejak kali pertama diturunkan pada 2001 dan apa yang pelik, dia belum pernah diturunkan dalam perlawanan penting di bawah jurulatih England ketika ini, Fabio Capello.

“Saya harus dapat lebih tapi perlu merenung jauh. Mungkin ditakdirkan saya tidak bersama England sedangkan hakikatnya, anda perlu menjadi pemain terkemuka untuk beraksi di United. Harapnya pengalaman dengan United membantu saya ketika peluang tiba kelak,” katanya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan