Jumaat, 2 Oktober 2009
United bangkit
MANCHESTER: Ryan Giggs menjaringkan gol ke-150 bersama Manchester United dan membantu Michael Carrick meledak gol kemenangan ketika juara Inggeris itu menewaskan Wolfsburg, 2-1, awal pagi semalam untuk menghuni takhta Kumpulan B Liga Juara-Juara Eropah.
Bagaimanapun, juara Jerman itu terlebih dulu di depan apabila Edin Dzeko menanduk masuk gol pada minit ke-56 namun, Giggs, 35, menyamakan kedudukan buat United, tiga minit kemudian apabila sepakan percuma diambilnya terkena benteng lawan.
Giggs, yang mencatat penampilan pertama buat United pada 1991, selepas itu membantu jaringan Carrick, m-78. dalam perlawanan diganggu hujan renyai di Old Trafford.
“Perkara hebat mengenai Ryan ialah aksinya menakjubkan umpama pemain muda. Keupayaannya seperti dia baru memulakan karier bola sepak.
“Dia terus beraksi seperti pemain muda dan ia suasana hebat untuk disaksikan,” kata pengurus United, Alex Ferguson.
Sekalipun muncul pemain bola sepak Inggeris paling banyak mencatat kejayaan, Giggs tidak menghiraukan setiap pencapaian diraihnya.
“Secara jujur, ia sepakan percuma yang buruk tapi, nasib agak menyebelahi kami. (Jaringan) tidak mewakili apa-apa.
“Sudah tentu saya bangga berjaya melaksanakannya, namun apa yang lebih penting ialah kami kembali mencabar sejurus mereka meraih gol pembukaan. Kami membuktikan karakter hebat untuk bangkit,” kata pemain tengah antarabangsa Wales itu.
Hasil dua kemenangan aksi pembukaan, skuad Red Devils kini mendahului tiga mata ke atas Wolfsburg dan CSKA Moscow, yang menewaskan Besiktas, 2-1 pada satu lagi perlawanan kumpulan sama, semalam.
Ferguson membuat beberapa kejutan apabila menurunkan Tomasz Kuszczak selaku penjaga gawang menggantikan Ben Foster dan menyenaraikan penyerang, Michael Owen dalam kesebelasan utama berbanding Dimitar Berbatov. - AP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan