Rabu, 30 September 2009

O'Shea, Terry bawa misi berbeza


MANCHESTER: Manchester United dan Chelsea - dua finalis dalam Liga Juara-Juara Eropah 2008 - boleh menghala ke fasa kedua saingan musim ini andai masing-masing dapat mengulangi nota kemenangan daripada perlawanan pertama.

Apapun, dua gergasi bola sepak Inggeris itu, masing-masing akan berdepan kelab dari Jerman, Wolfsburg dan Apoel Nicosia dari Cyprus, selepas menempuh situasi amat berbeza, minggu lalu.

Sambil United menewaskan Stoke dalam Liga Perdana Inggeris untuk merakamkan kemenangan ketujuh berturut-turut sejak tewas mengejut kepada Burnley, Chelsea melepaskan peluang untuk berada tiga mata di tangga teratas carta liga selepas kecundang mengejut di Wigan.

Kekalahan itu sekadar mengundang rasa marah kapten pasukan, John Terry yang melenting dan menuntut setiap rakan sepasukan bangkit segera memadamkan duka itu, hari ini.

United membuka kempen mereka untuk mara ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut dengan kemenangan 1-0 ke atas Besiktas dalam perlawanan pertama dan Wolfsburg mengalahkan CSKA Moscow untuk mengatur pertemuan yang mungkin mempunyai kesan penting dalam kedudukan Kumpulan B.

John O’Shea yang menjaringkan salah satu gol ketika menewaskan Stoke tempoh hari melaungkan tekad mahu membantu pasukan mengejar angka lapan dengan satu lagi kemenangan berharga menentang Wolfsburg.

“Kami tahu kami perlu menampilkan aksi cemerlang selepas kekalahan kepada Burnley yang di luar jangkaan,” katanya. “Kami sentiasa memberi reaksi baik kepada keputusan seperti itu dengan rentetan kemenangan.”

Pemain kelahiran Brazil, Grafite dan Edin Dzeko dari Bosnia sudah menjaringkan 54 gol di antara mereka musim lalu untuk membantu Wolfsburg memenangi Bundesliga buat kali pertama dan United harus berwaspada dengan kelibat mereka nanti. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan