Sabtu, 26 September 2009
Hughes tak puas hati keputusan Atkinson
MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Mark Hughes tidak berpuas hati dengan pengadil Martin Atkinson selepas pasukannya tewas 3-4 kepada Manchester United malam kelmarin.
Hughes cukup bengang dengan pegawai perlawanan itu kerana membenarkan masa kecederaan berlarutan selama tujuh minit sehingga membolehkan Michael Owen menjaringkan gol kemenangan United."Pengadil keempat cuba memberikan penjelasan kepada saya kerana saya telah mempersoalkan jumlah masa kecederaan yang diberi ketika perlawanan belum berakhir lagi."Tetapi penjelasannya tidak memuaskan hati saya. Dia cuba beritahu yang tambahan masa lagi seminit itu disebabkan sambutan gol ketiga kami."Kami sebenarnya menjaringkan gol tepat pada minit ke-90 dan masa kecederaan empat minit sudah diangkat. Kami merekodkan masa kami meraikan gol, hanya 45 saat. Jadi di situ mereka sudah silap. "United hanya menjaringkan gol keempat mereka selepas 95 minit dan 26 saat. Jadi jelas pengadil terlalu memberi tambahan masa dan dia sebenarnya menjadikan masa perlawanan adalah 97 minit," kata Hughes. Hughes menegaskan, dia bukan mempersoalkan integriti pengadil kerana dia hanya mahu tahu mengapa tambahan masa selama tujuh minit itu diberikan.
"Jika dia (pengadil) dapat memberikan saya alasan yang kukuh, saya tiada masalah tetapi saya tak nampak daripada mana dia boleh beri tambahan masa itu," ujarnya. Hughes cukup terkilan dengan kekalahan sulung City itu untuk musim ini kerana menganggap pasukannya telah berjaya menunjukkan kualiti dan watak sebenar pada perlawanan tersebut. "Pada ketika kami menyangka akan mendapat ganjaran daripada segala usaha kami, akhirnya kami pulang dengan sesuatu yang sukar diterima," jelasnya. Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson ringkas berkata: "Empat minit masa kecederaan diberi dan kemudian City menjaringkan gol. Saya rasa dari situ datangnya tambahan masa itu." - Agensi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan