Sabtu, 12 September 2009
Firasat Ferguson
LONDON: Sir Alex Ferguson percaya Tottenham adalah antara empat pencabar terkuat musim ini dan pasukannya akan diuji Spurs di White Hart Lane.
Skuad bimbingan Harry Redknapp itu memulakan musim ini dengan empat kemenangan berturut-turut serta mempamerkan aksi membanggakan.
Sementara itu, United pula mencatat kemenangan kurang meyakinkan ke atas Arsenal, Birmingham serta Wigan dan mereka tewas mengejut di tangan Burnley.
Banyak diperkatakan mengenai peluang Manchester City untuk layak ke Liga Juara-Juara tetapi ketika Ferguson berasakan Everton dan Aston Villa akan sekali lagi memberikan saingan, beliau berasakan pembelian yang dilakukan Redknapp baru-baru ini mampu membawa Tottenham ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata: “Mereka memulakan musim dengan baik dan selepas melihat dua rakaman aksi pasukan itu, ia pasti memberikan kami pengetahuan yang berguna.
“Memulakan aksi dengan baik amat penting bagi setiap pasukan. Harry membawa masuk beberapa pemain berkualiti dan pemain yang biasa dengannya seperti (Peter) Crouch dan (Jermain) Defoe.
“Dia kini membeli (Nico) Kranjcar dari Portsmouth dan (Wilson) Palacios dari Wigan dan saya berasakan ia adalah pembelian yang baik untuk menguatkan bahagian tengah.
“Mereka benar-benar dapat membuktikan keupayaan sejak awal musim dan mereka mempunyai pemain yang berpengalaman dan mereka berpeluang untuk mencelah masuk ke dalam empat pasukan teratas.
“Mereka dan Manchester City dilihat sebagai pencabar terkuat dan keupayaan mereka melebihi pasukan lain ketika ini.
“Everton memulakan aksi dengan sedikit hambar tetapi mereka akan bangkit dan David (Moyes) akan menjadi pencabar kuat. Aston Villa juga sering dilabel sebagai pasukan yang mampu mencabar. Saya tidak melihat ada pasukan lain yang mampu mengatasi pasukan berkenaan.” - AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan