Isnin, 28 September 2009
Inspirasi Giggs
STOKE: Sir Alex Ferguson memuji Ryan Giggs kerana mencurahkan inspirasinya ketika membantu Manchester United menewaskan Stoke 2-0 sekali gus membawa pasukan itu menghuni takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama musim ini, kelmarin.
Ferguson, pengurus United, percaya bahawa Giggs, pemain tengah antarabangsa Wales memainkan peranan penting buat juara bertahan itu dalam misi mempertahankan kejuaraan EPL musim ini selepas kemenangan penting di Stadium Britannia.
Giggs sudah menjulang 11 gelaran EPL sepanjang kariernya, tapi pemain berusia 35 tahun itu membuktikan fizikal dan mentalnya masih tajam ketika beraksi selama 20 minit selepas masuk menggantikan pemain sayap antarabangsa Portugal, Nani.
Dia yang mencapai usia 36 tahun, November depan dan mendapat faedah daripada dikecualikan daripada perlawanan menentang Manchester City, minggu lalu, mencipta peluang kepada jaringan Dimitar Berbatov dan John O’Shea menerusi penampilan ke-350 buat United.
“Ryan pemain penting bagi kami dan dia amat bijak. Gol pertama menyaksikan gerakan hebat daripada Ryan menerusi hantaran kepada Dimitar.
“Dia mengalami kesukaran dalam beberapa perlawanan sebelum ini kerana mengerah begitu banyak tenaga dan terdesak mencapai prestasi terbaik.
“Saya fikir, suatu tindakan bijak menyenaraikannya di bangku simpanan tapi dia memberi sesuatu yang berbeza apabila berada dalam padang,” kata Ferguson.
Chelsea terpaksa menunggu hingga masa kecederaan untuk menewaskan Stoke, awal bulan ini. Jadi, kemenangan selesa itu meyakinkan Ferguson bahawa mereka memiliki kelebihan berbanding musuh utama untuk perebutan trofi musim ini.
Kemenangan di Stadium Britannia sempena Boxing Day musim lalu adalah masa di mana Ferguson mengambil keputusan menetapkan laluan United memburu kejuaraan dan sekalipun kemenangan ini terlalu awal, pengendali kelahiran Scotland itu gembira apabila pasukannya kembali menghuni takhta liga. - AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan