Sabtu, 5 September 2009

Rooney sedia pikul beban di MU, England


'Tekanan dan harapan bukan satu masalah'
______________________________________________
LONDON: Wayne Rooney membayangkan dia sudah sedia memikul beban menjadi tonggak utama pasukan England dan Manchester United dalam musim yang dianggap terbesar dalam hidupnya.

Rooney mengharungi musim lalu di sebalik bayangan Cristiano Ronaldo di United dan sering dikerah ke sayap kiri oleh Alex Ferguson untuk membolehkan rakan sepasukannya mendapat kebebasan untuk mencetuskan huru-hara di depan.

Bagaimanapun, dengan ketiadaan Ronaldo selepas dia berpindah ke Real Madrid, Rooney meraih peluang untuk kembali menyerang dari tengah, posisi yang sering menjadi kegemarannya.

Sebarang keraguan sama ada Rooney mampu memikul beban mengetuai serangan United, sudah pun terjawab apabila dia sudah menghasilkan lima gol dalam kelima-lima perlawanan pasukan juara itu setakat ini.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu tidak saja memikul beban berat di United dan Rooney dijangka menggunakan kesempatan saingan England menentang Slovania di Wembley hari ini menjelang kelayakan Piala Dunia menentang Croatia, Rabu ini, sebagai medan membuktikan kepada jurulatih Fabio Capello mengenai kemampuan bekas bintang Everton itu.

Menang ke atas Croatia akan menjamin tempat untuk England dalam kancah saingan akhir tahun depan dan kembali melancarkan kempen membawa pulang Piala Dunia selepas kali terakhir England mengucup piala itu pada 1966.

“Bila Cristiano dan Carlos (Tevez) keluar, ia memberi cabaran besar di United untuk kekal dalam liga dan secara peribadi, saya tekad untuk menjaring lebih banyak gol. Ia diikuti dengan Piala Dunia pada hujung tahun, jadi saya fikir, ia akan menjadi tahun paling getir.

“Saya bermain pada usia 16 tahun dan sejak itu berdepan segala tekanan dan harapan. Saya tidak menganggapnya sebagai masalah kerana melihatnya sebagai cabaran. Saya beraksi baik untuk England sebelum ini dan gembira bermain untuk United.

“Diharapkan England dan United mendapat manfaat,” kata Rooney. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan