Rabu, 16 September 2009

Scholes selamatkan maruah Man. United


SCHOLES (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Besiktas kelmarin. United menang 1-0.
_________________________________________________

ISTANBUL - Jaringan tunggal Paul Scholes berjaya memastikan Manchester United memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan noktah kejayaan setelah menang 1-0 ke atas kelab Turki, Besiktas kelmarin.

Scholes menanduk masuk gol tunggal tersebut pada minit ke-77 selepas penjaga gol Besiktas, Hakan Arikan menampan percubaan pemain sayap Portugal, Nani.

Sekalipun anak buahnya dilihat gagal menampilkan persembahan bertenaga, pengurus United, Alex Ferguson menegaskan, dia tetap berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan barisan Red Devils itu.

"Sejak beberapa tahun, Paul Scholes telah menyumbang banyak gol seperti itu dan ia memang gol yang penting bagi kami," kata Ferguson.

"Suasana di sini sangat hebat dan ia satu ujian bagi konsentrasi dan keberanian kamu, jadi ini adalah keputusan yang bagus bagi kami.

"Nani agak tidak bernasib baik gagal menyumbang gol buat dirinya tetapi Paul Scholes telah jalankan tugasnya dengan baik. Ia memang satu jaringan yang biasa daripada Paul Scholes."

Kebanyakan gerakan United termasuk jaringan kemenangan itu banyak melibatkan pemain baru, Antonio Valencia dan aksi bekas pemain sayap Wigan itu turut mendapat pujian Ferguson.

"Antonio sentiasa mendatangkan ancaman kepada pasukan lawan," kata Ferguson.

"Dia banyak menjana gerakan dan kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi. Dia ada potensi menjadi pemain yang baik. Dia kuat, bertenaga dan penuh semangat." - AFP

1 ulasan: