Isnin, 14 September 2009

Anderson puas akhiri kemarau gol


LONDON - Anderson menamatkan penantian selama dua tahun untuk menjaringkan gol buat Manchester United selepas penyandang juara Liga Perdana England itu mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Tottenham, kelmarin.

Dua tahun selepas menyertai United, pemain tengah Brazil berusia 21 tahun itu merembat deras pada minit ke-41 bagi memberi kekalahan pertama Spurs musim ini.

"Sebagai pemain muda dia selalu berkeinginan untuk menjaringkan gol dan berharap ia adalah dorongan untuk melihat dia melakukan lebih dari itu," kata pengurus, Alex Ferguson mengenai bekas pemain FC Porto itu.

Spurs mengejutkan pasukan pelawat pada minit awal melalui sepakan akrobatik, Jermaine Defoe tetapi Ryan Giggs menyamakan kedudukan minit ke-25 melalui sepakan percuma.

Selain itu, Red Devils juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-30 selepas Paul Scholes dilayangkan kad merah, Wayne Rooney menambah gol ketiga pada minit ke-78 melalui satu gerakan balas pantas.

Kemenangan itu membolehkan pasukan Ferguson melonjak ke tangga kedua, di atas Manchester City dan Spurs dengan perbezaan gol. Chelsea mengatasi dengan perbezaan tiga mata selepas mencatatkan lima kemenangan berturut-turut musim ini.

"Perlawanan di White Hart Lane sentiasa memberikan kesukaran buat kami terutama selepas tugasan antarabangsa," kata Giggs.

Spurs sebelum ini menikmati kegembiraan di permulaan musim sejak kali terakhir memenangi gelaran pada 1960-61 dan mereka hanya memerlukan 52 saat untuk mengejutkan United. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan