Ahad, 27 September 2009

Ferguson sanjung aksi Giggs


GIGGS (tengah) sentiasa menggerunkan pertahanan lawan setiap kali bola berada di kakinya dalam kawasan penalti
________________________________________________
Mampu beraksi baik pada usia 35 tahun

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson memuji sikap profesional milik Ryan Giggs yang membolehkannya menampilkan aksi bola sepak terbaik dalam kerjayanya pada usia 35 tahun.

Pemain sayap Wales itu adalah pemain terbaik Manchester United musim ini dengan persembahan hebat menentang Tottenham dan Manchester City dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menentang City, Giggs mencipta tiga gol United, termasuk jaringan masa kecederaan yang disempurnakan Michael Owen untuk mengesahkan kemenangan 4-3, manakala sepakan percuma menakjubkan menentang Spurs — gol ke-99 dalam Liga Perdana buat United — bermakna dia sudah menjaringkan gol dalam setiap musim sejak liga itu dilancarkan pada 1992.

Dengan tiada apa yang mahu dicapai dalam permainan domestik, Giggs boleh dimaafkan jika mengambil mudah, namun semangat dan keazamannya kekal utuh dan Ferguson menyedari ia adalah tugas sukar untuk menggantikan pemain itu selepas dia akhirnya mengumumkan persaraan.

“Perkara paling buruk menjadi pemain bola sepak ialah pada peringkat anda bersara - ia adalah saat yang menyentap semua,” kata Ferguson.
Alex Ferguson

“Apabila seseorang seperti Ryan bermain pada peringkat tertinggi sekarang, dia menyedari untuk kekal di sana, dia perlu mempersiapkan diri dengan cara betul. Dia perlu menjaga dirinya dan melakukan perkara dengan betul.”

Bagi Ferguson, ia bukan saja mengenai usaha Giggs untuk mengatasi umur yang semakin meningkat tetapi lebih mengenai tahap permainannya yang tidak merosot sama sekali.

“Saya tidak tahu apa lagi untuk memperkatakan mengenainya! Prestasinya adalah sama seperti musim lalu.

“Dia tidak pernah memiliki masalah berat badan. Dia sentiasa atlit yang kurus. Itu banyak membantu. Keadaan fizikalnya banyak membantunya.”

Sementara itu, Ferguson membidas media kerana cuba mengapi-apikan hubungannya dengan pengurus Manchester City, Mark Hughes selepas kontroversi perlawanan setempat di Old Trafford hujung minggu lalu.

“Ia adalah normal untuk media membangkitkan sehingga menjadi sebegitu,” katanya. “Saya menonton sidang akhbar Mark Hughes dan saya rasa dia melakukan tugas yang hebat kerana semua soalan anda memalukan.

“Itu saja yang saya mampu katakan. Anda cuba mengumpan dia ke pelbagai kontroversi dan saya fikir dia menanganinya dengan baik. Saya fikir Mark Hughes menjawab dengan baik pada sidang akhbar itu dan saya fikir ia seharusnya berakhir di sana.

“Kami perlu bergerak ke depan, kami mempunyai perlawanan sehingga akhir musim. Anda boleh mengulangi semuanya sekali lagi apabila kami menentang (City) selepas ini, tetapi pada ketika ini, saya fikir ia baik dibiarkan begitu saja.” - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan