Rabu, 9 September 2009
Fergie percaya Rooney
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya Wayne Rooney (gambar) mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada- nya musim ini.
Ferguson kini terpaksa menyandarkan harapan kepada Rooney selepas ayam tambatannya, Cristiano Ronaldo berhijrah ke Real Madrid awal musim ini.
Sebelum ini, timbul pertanyaan sama ada Rooney mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo yang merekodkan 84 gol dalam 196 perlawanan bersama The Red Devils.
Namun, Ferguson optimis penyerang sensasinya berusia 23 tahun itu mampu memikul tanggungjawab yang diberi dalam misi United memburu gelaran Liga Perdana England buat kali ke-19 musim ini.
"Wayne sentiasa mahukan yang terbaik dan dia telah membuktikannya. Dia sentiasa berazam untuk menampilkan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Ferguson kepada majalah Inside United.
"Kadangkala dia memiliki tenaga yang cukup luar biasa. Dia boleh bergerakdi setiap penjuru padang, baik di atas mahupun di bahagian bawah.
"Tetapi dia masih muda dan pemain muda kadangkala perlu lebih banyak bersabar.
"Jika dia mampu mengekalkan konsentrasi seperti yang ditunjukkan ketika menentang Wigan, dia mampu menjaringkan lebih banyak gol."
Ferguson juga tidak menolak kemungkinan bahawa Rooney mampu mengatasi rekod legenda, Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak United.
Untuk rekod, Rooney telah merekodkan 102 gol dalam 243 perlawanan sejak berhijrah dari Everton pada 2004.
"Sir Bobby menjaringkan 249 gol, jadi pada peringkat ini, saya yakin Wayne yang masih muda mampu mengatasi rekod itu suatu hari nanti," tambah Ferguson. - Agensi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan