Khamis, 30 Julai 2009

Harapan Ferguson


LONDON: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengakui beliau sukar untuk menyaksikan persembahan terbaik Dimitar Berbatov (gambar) musim lalu tetapi menegaskan penyerang Bulgaria itu perlu lebih menyinar musim ini.

Berbatov gagal meyakinkan peminat ketika musim pertamanya di Old Trafford selepas berpindah ke kelab itu dengan nilai perpindahan sebanyak £30 juta (RM174 juta) dari Tottenham, September lalu.

Malah Ferguson pernah mengakui silap menurunkan Berbatov yang hanya menjaringkan 14 gol sepanjang 43 kemunculan.

Tetapi bekas bintang Bayer Leverkusen itu kelihatan lebih mantap ketika pra-musim dan ketiadaan Cristiano Ronaldo serta Carlos Tevez membuatkan Berbatov berpeluang untuk menguasai bahagian tengah.

“Saya jangka dia akan lebih menyinar hasil aksi pra-musim,” kata Ferguson. “Musim lalu memang serba tidak menjadi buat pemain itu dan mungkin kami tidak menggunakannya dengan betul.

“Kami sudah tahu di mana untuk meletakkannya - di posisi lebih atas dan beraksi sebagai penyerang tengah. Dia akan meningkat dan akan mencipta musim lebih gemilang.” - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan