Isnin, 14 September 2009

Anderson puas akhiri kemarau gol


LONDON - Anderson menamatkan penantian selama dua tahun untuk menjaringkan gol buat Manchester United selepas penyandang juara Liga Perdana England itu mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Tottenham, kelmarin.

Dua tahun selepas menyertai United, pemain tengah Brazil berusia 21 tahun itu merembat deras pada minit ke-41 bagi memberi kekalahan pertama Spurs musim ini.

"Sebagai pemain muda dia selalu berkeinginan untuk menjaringkan gol dan berharap ia adalah dorongan untuk melihat dia melakukan lebih dari itu," kata pengurus, Alex Ferguson mengenai bekas pemain FC Porto itu.

Spurs mengejutkan pasukan pelawat pada minit awal melalui sepakan akrobatik, Jermaine Defoe tetapi Ryan Giggs menyamakan kedudukan minit ke-25 melalui sepakan percuma.

Selain itu, Red Devils juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-30 selepas Paul Scholes dilayangkan kad merah, Wayne Rooney menambah gol ketiga pada minit ke-78 melalui satu gerakan balas pantas.

Kemenangan itu membolehkan pasukan Ferguson melonjak ke tangga kedua, di atas Manchester City dan Spurs dengan perbezaan gol. Chelsea mengatasi dengan perbezaan tiga mata selepas mencatatkan lima kemenangan berturut-turut musim ini.

"Perlawanan di White Hart Lane sentiasa memberikan kesukaran buat kami terutama selepas tugasan antarabangsa," kata Giggs.

Spurs sebelum ini menikmati kegembiraan di permulaan musim sejak kali terakhir memenangi gelaran pada 1960-61 dan mereka hanya memerlukan 52 saat untuk mengejutkan United. - AP

United tetap hebat - Fergie


LONDON - Alex Ferguson yakin Manchester United akan menutup mulut pengkritiknya dan memenangi kejuaraan Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut musim ini.

United dilihat semakin lemah tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez musim ini dan mula dikritik hebat selepas mempamer prestasi hambar pada awal saingan termasuk kekalahan 0-1 kepada pendatang baru, Burnley.

Begitupun, anak buah Ferguson itu sudah mula menemui rentak dan selepas membelasah Wigan 5-0 dua minggu lepas, mereka sekali lagi membuktikan kualiti sebenar apabila mencalar rekod tanpa kalah Tottenham Hotspur dengan kemenangan 3-1 di White Hart Lane kelmarin.

"Saingan musim ini baru bermula dan masih terlalu awal untuk memperkatakannya, tapi saya rasa kami akan berada pada tahap terbaik," kata Ferguson.

"Kami telah katakan sebelum musim ini bahawa kami memiliki pemain yang hebat dan mereka semakin menunjukkan peningkatan setiap masa.

"Cuba lihat Darren Fletcher sekarang dan cara dia bermain dan kami juga ada tiga pemain berpengalaman, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Gary Neville.

"Tiada sebab mengapa kami gagal memenangi gelaran dengan memiliki pemain seperti ini. Saya meletakkan kepercayaan kepada mereka, tapi jelas sekali cabaran musim ini bukanlah mudah."

Spurs mendahului 1-0 selepas 52 saat permainan dimulakan menerusi jaringan Jermain Defoe, namun respons yang dipamerkan oleh United lebih hebat.

Giggs menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada minit ke-24, sebelum Anderson dan Wayne Rooney menambah gol kedua dan ketiga buat Red Devils. - AFP

Ahad, 13 September 2009

EPL 09/10 Totenham Hotspurs 1 - 3 Manchester United (12 Sept 09 )





Tottenham: Cudicini, Corluka (Hutton 69), King, Bassong, Assou-Ekotto, Lennon, Huddlestone, Palacios (Jenas 46), Defoe, Crouch, Keane (Kranjcar 72). Simpanan tidak bermain: Gomes, Bentley, Pavlyuchenko, Naughton. kad kuning: Palacios, King, Jenas. penjaring: Defoe 1.

Man Utd: Foster, O'Shea, Ferdinand, Vidic, Evra, Fletcher, Scholes, Anderson (Nani 81), Giggs, Berbatov (Carrick 62), Rooney. Simpanan tidak bermain: Kuszczak, Owen, Fabio Da Silva, Jonathan Evans, Valencia. kad merah: Scholes (59). kad kuning: Vidic, Scholes. penjaring: Giggs 25, Anderson 41, Rooney 78.

Sabtu, 12 September 2009

Rooney cipta rekod


LONDON - Tanpa disedari, Wayne Rooney telah mencipta rekod baru dalam skuad kebangsaan England.

Selepas meledak satu gol ketika membantu England menang 5-1 ke atas Croatia, Rabu lalu, Rooney sebenarnya mencipta rekod jaringan baru buat England iaitu sembilan gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Ia mengatasi rekod lapan gol yang dibuat oleh legenda Manchester United, Tommy Taylor ketika membantu England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 1958.

"Pada mulanya saya langsung tidak tahu tentang rekod itu tetapi sekarang ada sesuatu yang membuatkan saya berasa bangga.

"Saya berharap dapat menambah jumlah jaringan itu dalam dua baki perlawanan kelayakan selepas ini.

"Saya tahu jurulatih pasti akan mencuba sesuatu yang berbeza tetapi saya berharap dapat menjaringkan beberapa gol lagi," jelas Rooney. - Agensi

Firasat Ferguson


LONDON: Sir Alex Ferguson percaya Tottenham adalah antara empat pencabar terkuat musim ini dan pasukannya akan diuji Spurs di White Hart Lane.

Skuad bimbingan Harry Redknapp itu memulakan musim ini dengan empat kemenangan berturut-turut serta mempamerkan aksi membanggakan.

Sementara itu, United pula mencatat kemenangan kurang meyakinkan ke atas Arsenal, Birmingham serta Wigan dan mereka tewas mengejut di tangan Burnley.

Banyak diperkatakan mengenai peluang Manchester City untuk layak ke Liga Juara-Juara tetapi ketika Ferguson berasakan Everton dan Aston Villa akan sekali lagi memberikan saingan, beliau berasakan pembelian yang dilakukan Redknapp baru-baru ini mampu membawa Tottenham ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata: “Mereka memulakan musim dengan baik dan selepas melihat dua rakaman aksi pasukan itu, ia pasti memberikan kami pengetahuan yang berguna.

“Memulakan aksi dengan baik amat penting bagi setiap pasukan. Harry membawa masuk beberapa pemain berkualiti dan pemain yang biasa dengannya seperti (Peter) Crouch dan (Jermain) Defoe.

“Dia kini membeli (Nico) Kranjcar dari Portsmouth dan (Wilson) Palacios dari Wigan dan saya berasakan ia adalah pembelian yang baik untuk menguatkan bahagian tengah.

“Mereka benar-benar dapat membuktikan keupayaan sejak awal musim dan mereka mempunyai pemain yang berpengalaman dan mereka berpeluang untuk mencelah masuk ke dalam empat pasukan teratas.

“Mereka dan Manchester City dilihat sebagai pencabar terkuat dan keupayaan mereka melebihi pasukan lain ketika ini.

“Everton memulakan aksi dengan sedikit hambar tetapi mereka akan bangkit dan David (Moyes) akan menjadi pencabar kuat. Aston Villa juga sering dilabel sebagai pasukan yang mampu mencabar. Saya tidak melihat ada pasukan lain yang mampu mengatasi pasukan berkenaan.” - AFP

Rabu, 9 September 2009

Fergie percaya Rooney


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya Wayne Rooney (gambar) mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada- nya musim ini.

Ferguson kini terpaksa menyandarkan harapan kepada Rooney selepas ayam tambatannya, Cristiano Ronaldo berhijrah ke Real Madrid awal musim ini.

Sebelum ini, timbul pertanyaan sama ada Rooney mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo yang merekodkan 84 gol dalam 196 perlawanan bersama The Red Devils.

Namun, Ferguson optimis penyerang sensasinya berusia 23 tahun itu mampu memikul tanggungjawab yang diberi dalam misi United memburu gelaran Liga Perdana England buat kali ke-19 musim ini.

"Wayne sentiasa mahukan yang terbaik dan dia telah membuktikannya. Dia sentiasa berazam untuk menampilkan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Ferguson kepada majalah Inside United.

"Kadangkala dia memiliki tenaga yang cukup luar biasa. Dia boleh bergerakdi setiap penjuru padang, baik di atas mahupun di bahagian bawah.

"Tetapi dia masih muda dan pemain muda kadangkala perlu lebih banyak bersabar.

"Jika dia mampu mengekalkan konsentrasi seperti yang ditunjukkan ketika menentang Wigan, dia mampu menjaringkan lebih banyak gol."

Ferguson juga tidak menolak kemungkinan bahawa Rooney mampu mengatasi rekod legenda, Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak United.

Untuk rekod, Rooney telah merekodkan 102 gol dalam 243 perlawanan sejak berhijrah dari Everton pada 2004.

"Sir Bobby menjaringkan 249 gol, jadi pada peringkat ini, saya yakin Wayne yang masih muda mampu mengatasi rekod itu suatu hari nanti," tambah Ferguson. - Agensi

Sabtu, 5 September 2009

Rooney sedia pikul beban di MU, England


'Tekanan dan harapan bukan satu masalah'
______________________________________________
LONDON: Wayne Rooney membayangkan dia sudah sedia memikul beban menjadi tonggak utama pasukan England dan Manchester United dalam musim yang dianggap terbesar dalam hidupnya.

Rooney mengharungi musim lalu di sebalik bayangan Cristiano Ronaldo di United dan sering dikerah ke sayap kiri oleh Alex Ferguson untuk membolehkan rakan sepasukannya mendapat kebebasan untuk mencetuskan huru-hara di depan.

Bagaimanapun, dengan ketiadaan Ronaldo selepas dia berpindah ke Real Madrid, Rooney meraih peluang untuk kembali menyerang dari tengah, posisi yang sering menjadi kegemarannya.

Sebarang keraguan sama ada Rooney mampu memikul beban mengetuai serangan United, sudah pun terjawab apabila dia sudah menghasilkan lima gol dalam kelima-lima perlawanan pasukan juara itu setakat ini.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu tidak saja memikul beban berat di United dan Rooney dijangka menggunakan kesempatan saingan England menentang Slovania di Wembley hari ini menjelang kelayakan Piala Dunia menentang Croatia, Rabu ini, sebagai medan membuktikan kepada jurulatih Fabio Capello mengenai kemampuan bekas bintang Everton itu.

Menang ke atas Croatia akan menjamin tempat untuk England dalam kancah saingan akhir tahun depan dan kembali melancarkan kempen membawa pulang Piala Dunia selepas kali terakhir England mengucup piala itu pada 1966.

“Bila Cristiano dan Carlos (Tevez) keluar, ia memberi cabaran besar di United untuk kekal dalam liga dan secara peribadi, saya tekad untuk menjaring lebih banyak gol. Ia diikuti dengan Piala Dunia pada hujung tahun, jadi saya fikir, ia akan menjadi tahun paling getir.

“Saya bermain pada usia 16 tahun dan sejak itu berdepan segala tekanan dan harapan. Saya tidak menganggapnya sebagai masalah kerana melihatnya sebagai cabaran. Saya beraksi baik untuk England sebelum ini dan gembira bermain untuk United.

“Diharapkan England dan United mendapat manfaat,” kata Rooney. - AFP

Rabu, 2 September 2009

Ferguson yakin tak perlu beli pemain baru


LONDON: Penyokong Manchester United yang mengharapkan Sir Alex Ferguson mungkin memasuki pasaran perpindahan pemain pada saat-saat akhir, pastinya akan berasa kecewa.

Permulaan sederhana juara bola sepak Liga Perdana Inggeris itu musim ini mungkin mengukuhkan kepercayaan kepada segelintir peminat bahawa Ferguson perlu melabur ke atas pemain bertaraf dunia daripada sejumlah besar 80 juta pound (RM472 juta) yang diterima atas penjualan Cristiano Ronaldo, tetapi pengurus itu sekali lagi menolak gesaan untuk berbelanja dan menegaskan bahawa keyakinannya terhadap barisan pemain tidak berubah.

"Saya tahu kami mempunyai skuad yang sempurna dan saya percaya pada mereka," katanya. "Ia satu penghinaan jika mencadangkan saya tidak yakin terhadap pemain dengan cepat."

Selepas gagal dalam usaha mendapatkan Karim Benzema, penyerang Perancis, dan memilih untuk tidak meneruskan minat mendapatkan Franck Ribéry dan David Silva - pemain sayap Bayern Munich dan Valencia - pasaran perpindahan United musim ini agak hambar.

United memberi tindak balas terhadap kekalahan 1-0 di tempat lawan di Burnley dengan membelasah Wigan Athletic, sebelum menang nasib ketika mengatasi Arsenal 2-1 di Old Trafford, Sabtu lalu, walaupun ia musim penting bagi pemain seperti Dimitar Berbatov, Anderson dan Nani, tidak seorang daripada mereka meyakinkan ketika menyarung jersi merah United.

"Kami dibidas selepas perlawanan Burnley, timbul banyak cadangan mengenai apa yang harus saya lakukan - sebagai contoh, mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli nama besar," kata Ferguson.
Sir Alex Ferguson

"Tetapi kita tidak harus secara tiba-tiba mengubah dasar perpindahan hanya kerana satu kekalahan, sekalipun ia sangat buruk. Saya sudah jelaskan strategi kami, berdasarkan kepada keyakinan terhadap beberapa pemain baru, pemain sedia ada semakin matang dan pemain muda semakin meningkat naik.

"Dan saya tidak berhasrat untuk mengubahnya," kata jurulatih berbangsa Scotland itu.

Owen Hargreaves, pemain tengah United, akhirnya dijangka kembali ke kelab itu dari Amerika Syarikat pada 23 September ini tetapi dia harus meningkatkan kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut yang menghalangnya beraksi selama 10 bulan. - Agensi

Selasa, 1 September 2009

Saya janji - Rooney


ROONEY (tengah) mahu terus menabur bakti di Old Trafford. _______________________________________________
LONDON - Penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney berjanji kepada peminat The Red Devils bahawa dia tidak akan mengikut jejak Cristiano Ronaldo.

Janji tersebut pastinya sesuatu yang amat bermakna bagi peminat United tatkala bintang England itu meraikan ulang tahunnya yang kelima di Old Trafford.

Rooney, 23, kini menjadi tonggak paling utama United sejak Ronaldo menyertai Real Madrid awal musim ini.

Setelah meledakkan lima gol buat United musim ini, Rooney menegaskan, dia akan terus menyumbang lebih banyak gol buat The Red Devils.

"Saya selalu katakan bahawa saya sayangkan kelab ini dan selagi saya diperlukan di sini, saya akan terus bermain di sini. Tiada satu sebab pun untuk saya meninggalkan kelab ini.

"Saya telah dapat segalanya yang saya mahu. Keluarga saya tinggal hanya 30 minit dari sini, saya juga selesa di sini dan secara jujurnya saya sendiri tidak dapat gambaran yang saya akan pergi melainkan pengurus mahukan saya pergi," kata Rooney.

Untuk rekod, Rooney telah meledakkan 102 gol buat United sejak pengurus, Alex Ferguson membawanya dari Everton pada Ogos 2004.

Owen disingkir


LONDON – Karier bola sepak antarabangsa Michael Owen berakhir?
Itu spekulasi yang semakin hangat diperkatakan di kalangan peminat skuad England ketika ini selepas bekas bintang mereka itu disingkirkan oleh pengurus, Fabio Capello.

Semalam, Capello mengumumkan senarai 24 pemain yang akan menggalas cabaran England pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.

Penyingkiran Owen itu bagaikan sudah menutup ruang untuk penyerang Manchester United itu beraksi pada Piala Dunia.

England akan menentang Croatia pada aksi kelayakan terakhir bulan depan.

Owen yang meledakkan gol sulungnya dalam Liga Perdana England musim ini ketika United menewaskan Wigan 4-0 minggu lepas merupakan penjaring keempat terbanyak dalam sejarah negaranya.

Begitupun, itu masih belum cukup meyakinkan Capello untuk kembali menyenaraikan Owen ke dalam skuad kebangsaan England. – AFP