Rabu, 30 September 2009

O'Shea, Terry bawa misi berbeza


MANCHESTER: Manchester United dan Chelsea - dua finalis dalam Liga Juara-Juara Eropah 2008 - boleh menghala ke fasa kedua saingan musim ini andai masing-masing dapat mengulangi nota kemenangan daripada perlawanan pertama.

Apapun, dua gergasi bola sepak Inggeris itu, masing-masing akan berdepan kelab dari Jerman, Wolfsburg dan Apoel Nicosia dari Cyprus, selepas menempuh situasi amat berbeza, minggu lalu.

Sambil United menewaskan Stoke dalam Liga Perdana Inggeris untuk merakamkan kemenangan ketujuh berturut-turut sejak tewas mengejut kepada Burnley, Chelsea melepaskan peluang untuk berada tiga mata di tangga teratas carta liga selepas kecundang mengejut di Wigan.

Kekalahan itu sekadar mengundang rasa marah kapten pasukan, John Terry yang melenting dan menuntut setiap rakan sepasukan bangkit segera memadamkan duka itu, hari ini.

United membuka kempen mereka untuk mara ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut dengan kemenangan 1-0 ke atas Besiktas dalam perlawanan pertama dan Wolfsburg mengalahkan CSKA Moscow untuk mengatur pertemuan yang mungkin mempunyai kesan penting dalam kedudukan Kumpulan B.

John O’Shea yang menjaringkan salah satu gol ketika menewaskan Stoke tempoh hari melaungkan tekad mahu membantu pasukan mengejar angka lapan dengan satu lagi kemenangan berharga menentang Wolfsburg.

“Kami tahu kami perlu menampilkan aksi cemerlang selepas kekalahan kepada Burnley yang di luar jangkaan,” katanya. “Kami sentiasa memberi reaksi baik kepada keputusan seperti itu dengan rentetan kemenangan.”

Pemain kelahiran Brazil, Grafite dan Edin Dzeko dari Bosnia sudah menjaringkan 54 gol di antara mereka musim lalu untuk membantu Wolfsburg memenangi Bundesliga buat kali pertama dan United harus berwaspada dengan kelibat mereka nanti. - AFP

Impian besar United


MANCHESTER - Manchester United kini dalam misi meneruskan momentum kemenangan mereka kepada lapan perlawanan berturut-turut.

Awal pagi esok, skuad The Red Devils itu akan turun berdepan juara Liga Jerman, Wolfsburg pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford.

United membuka kempen Eropah musim ini dengan kejayaan 1-0 ke atas Besiktas manakala Wolfsburg pula mengalahkan CSKA Moscow untuk menjadikan pertemuan ini sebagai penentu kepada pasukan yang bakal bergelar pendahulu Kumpulan B.

Selepas mencipta kemenangan ketujuh berturut-turut ketika membenam Stoke City 2-0 dalam aksi Liga Perdana England Sabtu lalu, John O'Shea yakin United mampu mengekalkan momentum mereka.

"Kami tahu kami perlu mengekalkan rentak kemenangan selepas kekalahan kepada Burnley (dalam aksi Liga Perdana England)," kata O'Shea mengenai kekalahan pertama United musim ini.

"Kami selalunya memberi reaksi yang baik selepas mengalami kekalahan seperti itu iaitu dengan mengekalkan rentak kemenangan.

"Tetapi persaingan akan menjadi lebih sengit dan kami perlu pastikan rentak ini di- teruskan."

Perlawanan terakhir United di Old Traf- ford ialah ketika menang 4-3 ke atas Manchester City dengan penjaga golnya, Ben Foster dipersalahkan ekoran gol pembukaan City kerana gagal me- ngeluarkan bola dari zon bahaya.

"Saya berasa selesa apabila Ben menjaga gol dan saya juga mempunyai keyakinan penuh kepadanya," kata pertahanan United, Nemanja Vidic.

"Lebih banyak perlawanan kamu bermain bersama penjaga gol yang sama atau pertahanan yang sama, kamu akan lebih banyak belajar lagi mengenai kemampuan sesama sendiri." - AFP

Isnin, 28 September 2009

Inspirasi Giggs


STOKE: Sir Alex Ferguson memuji Ryan Giggs kerana mencurahkan inspirasinya ketika membantu Manchester United menewaskan Stoke 2-0 sekali gus membawa pasukan itu menghuni takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama musim ini, kelmarin.

Ferguson, pengurus United, percaya bahawa Giggs, pemain tengah antarabangsa Wales memainkan peranan penting buat juara bertahan itu dalam misi mempertahankan kejuaraan EPL musim ini selepas kemenangan penting di Stadium Britannia.

Giggs sudah menjulang 11 gelaran EPL sepanjang kariernya, tapi pemain berusia 35 tahun itu membuktikan fizikal dan mentalnya masih tajam ketika beraksi selama 20 minit selepas masuk menggantikan pemain sayap antarabangsa Portugal, Nani.

Dia yang mencapai usia 36 tahun, November depan dan mendapat faedah daripada dikecualikan daripada perlawanan menentang Manchester City, minggu lalu, mencipta peluang kepada jaringan Dimitar Berbatov dan John O’Shea menerusi penampilan ke-350 buat United.

“Ryan pemain penting bagi kami dan dia amat bijak. Gol pertama menyaksikan gerakan hebat daripada Ryan menerusi hantaran kepada Dimitar.

“Dia mengalami kesukaran dalam beberapa perlawanan sebelum ini kerana mengerah begitu banyak tenaga dan terdesak mencapai prestasi terbaik.

“Saya fikir, suatu tindakan bijak menyenaraikannya di bangku simpanan tapi dia memberi sesuatu yang berbeza apabila berada dalam padang,” kata Ferguson.

Chelsea terpaksa menunggu hingga masa kecederaan untuk menewaskan Stoke, awal bulan ini. Jadi, kemenangan selesa itu meyakinkan Ferguson bahawa mereka memiliki kelebihan berbanding musuh utama untuk perebutan trofi musim ini.

Kemenangan di Stadium Britannia sempena Boxing Day musim lalu adalah masa di mana Ferguson mengambil keputusan menetapkan laluan United memburu kejuaraan dan sekalipun kemenangan ini terlalu awal, pengendali kelahiran Scotland itu gembira apabila pasukannya kembali menghuni takhta liga. - AFP

Ferguson mula pasang impian


LONDON: Sir Alex Ferguson sudah meletakkan sasaran untuk membawa Manchester United mencatat rekod rentetan empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pasukannya berada di persada dengan kemenangan 2-0 ke atas Stoke.

United akan menjadi pasukan pertama untuk memenangi mahkota England dalam empat musim berturut-turut jika mengekalkan gelaran tahun ini dan Ferguson yakin mereka mampu meneruskan prestasi itu selepas menyingkirkan Chelsea dari tempat teratas kelmarin.

Selepas bergelut selama sejam di Stadium Britannia, United akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-62 apabila Ryan Giggs, yang masuk sebagai pemain gantian, menolak bola kepada Dimitar Berbatov untuk mudah menampan masuk.

Pertahanan United, John O’Shea memastikan tiada ruang kebangkitan buat Stoke apabila dia menanduk sepakan percuma Giggs pada minit ke-77.

“Saya sebenarnya ingin untuk menyatakan (berada di atas liga) ia pada akhir Mei,” kata Ferguson. “Perjalanan masih jauh tetapi ia adalah hari baik buat kami.”

Pada masa sama, Ferguson memuji Giggs yang jelas memberi inspirasi kepada pasukannya apabila dimasukkan untuk menggantikan Nani.

Pengurus United itu percaya pemain tengah Wales itu akan menjadi tonggak dalam usaha kelab itu mengekalkan gelaran domestik selepas menampilkan persembahan hebat di Stadium Britannia, kelmarin.

Giggs sudah memiliki 11 pingat kejuaraan Liga Perdana tetapi pemain berusia 35 tahun itu masih tetap lincah dalam tempoh 20 minit dia dimasukkan, bagi memastikan United mengutip tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Dia akan genap berusia 36 pada November ini dan jelas sudah segar selepas diberikan rehat sesudah berdepan perlawanan sengit setempat Manchester, Ahad lalu, apabila hantarannya membuahkan jaringan untuk Berbatov dan O’Shea. Ia adalah penampilan Giggs yang ke-350 untuk United.

“Ryan adalah pemain yang penting untuk kami kerana dia cukup pintar. Hasil pergerakkan cantiknya membolehkan Dimitar menghasilkan gol pertama kami,” kata Ferguson. - Agensi

Ahad, 27 September 2009

Van der Sar tersisih


EDWIN van der Sar akan membuat keputusan mengenai masa depannya bersama Manchester United, Disember depan.

Penjaga gol berusia 39 tahun itu diketepikan berikutan kecederaan tangan dan mengakui dia mungkin memikirkan untuk mengakhiri kariernya musim panas depan.

Pemain Belanda itu mempamerkan aksi bertenaga dan menarik musim lalu ketika membantu United merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga.

Penjaga gol England, Ben Foster kini memikul tugas sebagai penjaga gol utama sementara bekas penjaga gol Juventus itu berusaha memulihkan semula kecergasannya.

Namun, beberapa kesilapan besar pada perlawanan menentang Manchester City baru-baru ini menyebabkan pengkritik mempersoalkan keupayaan Foster menjadi pengganti Van der Sar dalam tempoh yang lebih lama.

Bagaimanapun, Van der Sar menegaskan dia akan bersara jika persembahannya tidak menepati standard tinggi apabila kembali daripada kecederaan nanti.

Dia berkata: “Saya sudah perkatakannya buat beberapa tahun bahawa ia mungkin musim terakhir saya.

“Enam bulan sebelum kontrak saya bersama Manchester United tamat pada Disember 2006, ia dilanjutkan satu tahun lagi dan setakat ini keadaannya sama.

“Saya menanti setiap musim untuk melihat di mana saya berdiri, jika setiap orang gembira dan jika saya boleh mendapat motivasi.

“Namun saya tahu, kerana usia semakin meningkat, ia semakin jelas ini mungkin musim terakhir saya.

“Disember nanti, agak jelas bagaimana ia boleh berlaku. Ketika itu, saya akan mempunyai pemikiran yang jelas. Ia satu dilema yang mengerikan.

“Daripada satu segi, saya tidak pernah terlebih tidur, saya berasa bagus seperti beberapa tahun lalu.”

Perkembangan terbaru menyaksikan Van der Sar terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi.

Van der Sar yang patah tangan ketika menentang Bayern Munich pada perlawanan pra-musim, dijangka tidak akan diturunkan hinggalah pertengahan bulan depan.

“Dia masih tidak boleh diturunkan selama tiga minggu,” kata pengurus United, Alex Ferguson.

Gambar : 26 September 2009, Stoke 0 - 2 Man Utd




Ferguson sanjung aksi Giggs


GIGGS (tengah) sentiasa menggerunkan pertahanan lawan setiap kali bola berada di kakinya dalam kawasan penalti
________________________________________________
Mampu beraksi baik pada usia 35 tahun

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson memuji sikap profesional milik Ryan Giggs yang membolehkannya menampilkan aksi bola sepak terbaik dalam kerjayanya pada usia 35 tahun.

Pemain sayap Wales itu adalah pemain terbaik Manchester United musim ini dengan persembahan hebat menentang Tottenham dan Manchester City dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menentang City, Giggs mencipta tiga gol United, termasuk jaringan masa kecederaan yang disempurnakan Michael Owen untuk mengesahkan kemenangan 4-3, manakala sepakan percuma menakjubkan menentang Spurs — gol ke-99 dalam Liga Perdana buat United — bermakna dia sudah menjaringkan gol dalam setiap musim sejak liga itu dilancarkan pada 1992.

Dengan tiada apa yang mahu dicapai dalam permainan domestik, Giggs boleh dimaafkan jika mengambil mudah, namun semangat dan keazamannya kekal utuh dan Ferguson menyedari ia adalah tugas sukar untuk menggantikan pemain itu selepas dia akhirnya mengumumkan persaraan.

“Perkara paling buruk menjadi pemain bola sepak ialah pada peringkat anda bersara - ia adalah saat yang menyentap semua,” kata Ferguson.
Alex Ferguson

“Apabila seseorang seperti Ryan bermain pada peringkat tertinggi sekarang, dia menyedari untuk kekal di sana, dia perlu mempersiapkan diri dengan cara betul. Dia perlu menjaga dirinya dan melakukan perkara dengan betul.”

Bagi Ferguson, ia bukan saja mengenai usaha Giggs untuk mengatasi umur yang semakin meningkat tetapi lebih mengenai tahap permainannya yang tidak merosot sama sekali.

“Saya tidak tahu apa lagi untuk memperkatakan mengenainya! Prestasinya adalah sama seperti musim lalu.

“Dia tidak pernah memiliki masalah berat badan. Dia sentiasa atlit yang kurus. Itu banyak membantu. Keadaan fizikalnya banyak membantunya.”

Sementara itu, Ferguson membidas media kerana cuba mengapi-apikan hubungannya dengan pengurus Manchester City, Mark Hughes selepas kontroversi perlawanan setempat di Old Trafford hujung minggu lalu.

“Ia adalah normal untuk media membangkitkan sehingga menjadi sebegitu,” katanya. “Saya menonton sidang akhbar Mark Hughes dan saya rasa dia melakukan tugas yang hebat kerana semua soalan anda memalukan.

“Itu saja yang saya mampu katakan. Anda cuba mengumpan dia ke pelbagai kontroversi dan saya fikir dia menanganinya dengan baik. Saya fikir Mark Hughes menjawab dengan baik pada sidang akhbar itu dan saya fikir ia seharusnya berakhir di sana.

“Kami perlu bergerak ke depan, kami mempunyai perlawanan sehingga akhir musim. Anda boleh mengulangi semuanya sekali lagi apabila kami menentang (City) selepas ini, tetapi pada ketika ini, saya fikir ia baik dibiarkan begitu saja.” - AP

Man United rampas takhta liga



PENYERANG United, Dimitar Berbatov (kanan) berebut bola dengan pertahanan Stoke City, Glenn Whelan pada saingan EPL di Stadium Britannia, malam tadi. United menang 2-0.
_______________________________________________
LONDON: Chelsea kecundang buat kali pertama di bawah kendalian Carlo Ancelotti apabila Wigan mengejutkan mereka 3-1 ketika Manchester United mengatasi Stoke City 2-0 untuk naik ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Ancelotti sudah mengemudi Chelsea untuk enam kemenangan liga berturut-turut, selain dua kejayaan pada Piala Liga dan Liga Juara-Juara tetapi rekod sempurna itu berakhir dalam aksi yang menyaksikan penjaga gol, Petr Cech, dibuang padang.

Chelsea sebelumnya ketinggalan pada minit ke-16 kepada gol Titus Bramble tetapi Didier Drogba menyamakan kedudukan pada minit ke-48. Hugo Rodallega dan Paul Scharner menjaringkan dua lagi gol untuk kemenangan Wigan.

Ketika Chelsea tumbang, United akhirnya mengatasi tentangan kental Stoke di Stadium Britannia apabila Ryan Giggs, masuk sebagai pemain gantian, mengumpan untuk Dimitar Berbatov menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-62.

Bek United, John O’Shea memastikan Stoke tidak mampu bangkit apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Giggs untuk gol kedua pada minit ke-77.

Fernando Torres pula mencipta hatrik untuk Liverpool mengekori rapat pendahulu carta kedudukan selepas membelasah Hull 6-1 di Anfield. Ryan Babal menyumbang dua gol ketika Steven Gerrard turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring.

Robbie Keane pula menyumbat empat gol untuk menjulang Tottenham Hotspur menang 5-0 ke atas Burnley. Aksi lain menyaksikan Everton menang 1-0 ke atas Portsmouth, Blackburn mengatasi Aston Villa 2-1 manakala Bolton kalahkan Birmingham 2-1. - AFP

Sabtu, 26 September 2009

Video Foto M.U Vs M.City 20 Sept 2009

Ferguson beri amaran awal


PEMAIN United berjaya bangkit dengan permainan terbaik sejak kebelakangan ini.
_______________________________________________
MANCHESTER - "Kami belum mencapai tahap terbaik."

Demikian peringatan pengurus Manchester United, Alex Ferguson kepada semua pencabarnya dalam saingan Liga Perdana England musim ini.

United akan berkunjung ke Stoke hari ini dengan reputasi selaku pasukan tangga kedua liga, iaitu kedudukan yang pastinya memberi kegembiraan kepada mana-mana pengurus lain.

Begitupun, Ferguson mengakui beliau masih lagi merasai kekalahan kepada Burnley, Ogos lalu meskipun pasukannya berjaya bangkit dengan enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan selepas itu.

Setakat ini, masih tiada bukti kukuh menunjukkan United merasai kehilangan Cristiano Ronaldo dan Ferguson bertegas, anak- anak buahnya akan mencapai tahap sebenar Oktober depan.

"Kami mengalami permulaan yang hambar, tidak diragui lagi mengenainya. Namun prestasi pasukan kami semakin baik," kata Ferguson.

"Persembahan terbaik kami ialah di White Hart Lane (menang 3-1 ke atas Tottenham). Saya gembira dengan prestasi sekarang. Kami memiliki skuad yang bagus dan masalah saya ialah siapa yang patut diturunkan.

"Biasanya pada bulan Oktober, kami akan menjadi lebih konsisten dan harapnya ia akan berulang sekali lagi.

"Skuad ini adalah satu skuad yang kuat dan satu-satunya masalah bagi saya ialah memilih siapa yang akan diturunkan pada setiap perlawanan." - AFP