Rabu, 30 September 2009
O'Shea, Terry bawa misi berbeza
MANCHESTER: Manchester United dan Chelsea - dua finalis dalam Liga Juara-Juara Eropah 2008 - boleh menghala ke fasa kedua saingan musim ini andai masing-masing dapat mengulangi nota kemenangan daripada perlawanan pertama.
Apapun, dua gergasi bola sepak Inggeris itu, masing-masing akan berdepan kelab dari Jerman, Wolfsburg dan Apoel Nicosia dari Cyprus, selepas menempuh situasi amat berbeza, minggu lalu.
Sambil United menewaskan Stoke dalam Liga Perdana Inggeris untuk merakamkan kemenangan ketujuh berturut-turut sejak tewas mengejut kepada Burnley, Chelsea melepaskan peluang untuk berada tiga mata di tangga teratas carta liga selepas kecundang mengejut di Wigan.
Kekalahan itu sekadar mengundang rasa marah kapten pasukan, John Terry yang melenting dan menuntut setiap rakan sepasukan bangkit segera memadamkan duka itu, hari ini.
United membuka kempen mereka untuk mara ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut dengan kemenangan 1-0 ke atas Besiktas dalam perlawanan pertama dan Wolfsburg mengalahkan CSKA Moscow untuk mengatur pertemuan yang mungkin mempunyai kesan penting dalam kedudukan Kumpulan B.
John O’Shea yang menjaringkan salah satu gol ketika menewaskan Stoke tempoh hari melaungkan tekad mahu membantu pasukan mengejar angka lapan dengan satu lagi kemenangan berharga menentang Wolfsburg.
“Kami tahu kami perlu menampilkan aksi cemerlang selepas kekalahan kepada Burnley yang di luar jangkaan,” katanya. “Kami sentiasa memberi reaksi baik kepada keputusan seperti itu dengan rentetan kemenangan.”
Pemain kelahiran Brazil, Grafite dan Edin Dzeko dari Bosnia sudah menjaringkan 54 gol di antara mereka musim lalu untuk membantu Wolfsburg memenangi Bundesliga buat kali pertama dan United harus berwaspada dengan kelibat mereka nanti. - AFP
Impian besar United
MANCHESTER - Manchester United kini dalam misi meneruskan momentum kemenangan mereka kepada lapan perlawanan berturut-turut.
Awal pagi esok, skuad The Red Devils itu akan turun berdepan juara Liga Jerman, Wolfsburg pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford.
United membuka kempen Eropah musim ini dengan kejayaan 1-0 ke atas Besiktas manakala Wolfsburg pula mengalahkan CSKA Moscow untuk menjadikan pertemuan ini sebagai penentu kepada pasukan yang bakal bergelar pendahulu Kumpulan B.
Selepas mencipta kemenangan ketujuh berturut-turut ketika membenam Stoke City 2-0 dalam aksi Liga Perdana England Sabtu lalu, John O'Shea yakin United mampu mengekalkan momentum mereka.
"Kami tahu kami perlu mengekalkan rentak kemenangan selepas kekalahan kepada Burnley (dalam aksi Liga Perdana England)," kata O'Shea mengenai kekalahan pertama United musim ini.
"Kami selalunya memberi reaksi yang baik selepas mengalami kekalahan seperti itu iaitu dengan mengekalkan rentak kemenangan.
"Tetapi persaingan akan menjadi lebih sengit dan kami perlu pastikan rentak ini di- teruskan."
Perlawanan terakhir United di Old Traf- ford ialah ketika menang 4-3 ke atas Manchester City dengan penjaga golnya, Ben Foster dipersalahkan ekoran gol pembukaan City kerana gagal me- ngeluarkan bola dari zon bahaya.
"Saya berasa selesa apabila Ben menjaga gol dan saya juga mempunyai keyakinan penuh kepadanya," kata pertahanan United, Nemanja Vidic.
"Lebih banyak perlawanan kamu bermain bersama penjaga gol yang sama atau pertahanan yang sama, kamu akan lebih banyak belajar lagi mengenai kemampuan sesama sendiri." - AFP
Isnin, 28 September 2009
Inspirasi Giggs
STOKE: Sir Alex Ferguson memuji Ryan Giggs kerana mencurahkan inspirasinya ketika membantu Manchester United menewaskan Stoke 2-0 sekali gus membawa pasukan itu menghuni takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama musim ini, kelmarin.
Ferguson, pengurus United, percaya bahawa Giggs, pemain tengah antarabangsa Wales memainkan peranan penting buat juara bertahan itu dalam misi mempertahankan kejuaraan EPL musim ini selepas kemenangan penting di Stadium Britannia.
Giggs sudah menjulang 11 gelaran EPL sepanjang kariernya, tapi pemain berusia 35 tahun itu membuktikan fizikal dan mentalnya masih tajam ketika beraksi selama 20 minit selepas masuk menggantikan pemain sayap antarabangsa Portugal, Nani.
Dia yang mencapai usia 36 tahun, November depan dan mendapat faedah daripada dikecualikan daripada perlawanan menentang Manchester City, minggu lalu, mencipta peluang kepada jaringan Dimitar Berbatov dan John O’Shea menerusi penampilan ke-350 buat United.
“Ryan pemain penting bagi kami dan dia amat bijak. Gol pertama menyaksikan gerakan hebat daripada Ryan menerusi hantaran kepada Dimitar.
“Dia mengalami kesukaran dalam beberapa perlawanan sebelum ini kerana mengerah begitu banyak tenaga dan terdesak mencapai prestasi terbaik.
“Saya fikir, suatu tindakan bijak menyenaraikannya di bangku simpanan tapi dia memberi sesuatu yang berbeza apabila berada dalam padang,” kata Ferguson.
Chelsea terpaksa menunggu hingga masa kecederaan untuk menewaskan Stoke, awal bulan ini. Jadi, kemenangan selesa itu meyakinkan Ferguson bahawa mereka memiliki kelebihan berbanding musuh utama untuk perebutan trofi musim ini.
Kemenangan di Stadium Britannia sempena Boxing Day musim lalu adalah masa di mana Ferguson mengambil keputusan menetapkan laluan United memburu kejuaraan dan sekalipun kemenangan ini terlalu awal, pengendali kelahiran Scotland itu gembira apabila pasukannya kembali menghuni takhta liga. - AFP
Ferguson mula pasang impian
LONDON: Sir Alex Ferguson sudah meletakkan sasaran untuk membawa Manchester United mencatat rekod rentetan empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pasukannya berada di persada dengan kemenangan 2-0 ke atas Stoke.
United akan menjadi pasukan pertama untuk memenangi mahkota England dalam empat musim berturut-turut jika mengekalkan gelaran tahun ini dan Ferguson yakin mereka mampu meneruskan prestasi itu selepas menyingkirkan Chelsea dari tempat teratas kelmarin.
Selepas bergelut selama sejam di Stadium Britannia, United akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-62 apabila Ryan Giggs, yang masuk sebagai pemain gantian, menolak bola kepada Dimitar Berbatov untuk mudah menampan masuk.
Pertahanan United, John O’Shea memastikan tiada ruang kebangkitan buat Stoke apabila dia menanduk sepakan percuma Giggs pada minit ke-77.
“Saya sebenarnya ingin untuk menyatakan (berada di atas liga) ia pada akhir Mei,” kata Ferguson. “Perjalanan masih jauh tetapi ia adalah hari baik buat kami.”
Pada masa sama, Ferguson memuji Giggs yang jelas memberi inspirasi kepada pasukannya apabila dimasukkan untuk menggantikan Nani.
Pengurus United itu percaya pemain tengah Wales itu akan menjadi tonggak dalam usaha kelab itu mengekalkan gelaran domestik selepas menampilkan persembahan hebat di Stadium Britannia, kelmarin.
Giggs sudah memiliki 11 pingat kejuaraan Liga Perdana tetapi pemain berusia 35 tahun itu masih tetap lincah dalam tempoh 20 minit dia dimasukkan, bagi memastikan United mengutip tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Dia akan genap berusia 36 pada November ini dan jelas sudah segar selepas diberikan rehat sesudah berdepan perlawanan sengit setempat Manchester, Ahad lalu, apabila hantarannya membuahkan jaringan untuk Berbatov dan O’Shea. Ia adalah penampilan Giggs yang ke-350 untuk United.
“Ryan adalah pemain yang penting untuk kami kerana dia cukup pintar. Hasil pergerakkan cantiknya membolehkan Dimitar menghasilkan gol pertama kami,” kata Ferguson. - Agensi
Ahad, 27 September 2009
Van der Sar tersisih
EDWIN van der Sar akan membuat keputusan mengenai masa depannya bersama Manchester United, Disember depan.
Penjaga gol berusia 39 tahun itu diketepikan berikutan kecederaan tangan dan mengakui dia mungkin memikirkan untuk mengakhiri kariernya musim panas depan.
Pemain Belanda itu mempamerkan aksi bertenaga dan menarik musim lalu ketika membantu United merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga.
Penjaga gol England, Ben Foster kini memikul tugas sebagai penjaga gol utama sementara bekas penjaga gol Juventus itu berusaha memulihkan semula kecergasannya.
Namun, beberapa kesilapan besar pada perlawanan menentang Manchester City baru-baru ini menyebabkan pengkritik mempersoalkan keupayaan Foster menjadi pengganti Van der Sar dalam tempoh yang lebih lama.
Bagaimanapun, Van der Sar menegaskan dia akan bersara jika persembahannya tidak menepati standard tinggi apabila kembali daripada kecederaan nanti.
Dia berkata: “Saya sudah perkatakannya buat beberapa tahun bahawa ia mungkin musim terakhir saya.
“Enam bulan sebelum kontrak saya bersama Manchester United tamat pada Disember 2006, ia dilanjutkan satu tahun lagi dan setakat ini keadaannya sama.
“Saya menanti setiap musim untuk melihat di mana saya berdiri, jika setiap orang gembira dan jika saya boleh mendapat motivasi.
“Namun saya tahu, kerana usia semakin meningkat, ia semakin jelas ini mungkin musim terakhir saya.
“Disember nanti, agak jelas bagaimana ia boleh berlaku. Ketika itu, saya akan mempunyai pemikiran yang jelas. Ia satu dilema yang mengerikan.
“Daripada satu segi, saya tidak pernah terlebih tidur, saya berasa bagus seperti beberapa tahun lalu.”
Perkembangan terbaru menyaksikan Van der Sar terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi.
Van der Sar yang patah tangan ketika menentang Bayern Munich pada perlawanan pra-musim, dijangka tidak akan diturunkan hinggalah pertengahan bulan depan.
“Dia masih tidak boleh diturunkan selama tiga minggu,” kata pengurus United, Alex Ferguson.
Ferguson sanjung aksi Giggs
GIGGS (tengah) sentiasa menggerunkan pertahanan lawan setiap kali bola berada di kakinya dalam kawasan penalti
________________________________________________
Mampu beraksi baik pada usia 35 tahun
MANCHESTER: Sir Alex Ferguson memuji sikap profesional milik Ryan Giggs yang membolehkannya menampilkan aksi bola sepak terbaik dalam kerjayanya pada usia 35 tahun.
Pemain sayap Wales itu adalah pemain terbaik Manchester United musim ini dengan persembahan hebat menentang Tottenham dan Manchester City dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Menentang City, Giggs mencipta tiga gol United, termasuk jaringan masa kecederaan yang disempurnakan Michael Owen untuk mengesahkan kemenangan 4-3, manakala sepakan percuma menakjubkan menentang Spurs — gol ke-99 dalam Liga Perdana buat United — bermakna dia sudah menjaringkan gol dalam setiap musim sejak liga itu dilancarkan pada 1992.
Dengan tiada apa yang mahu dicapai dalam permainan domestik, Giggs boleh dimaafkan jika mengambil mudah, namun semangat dan keazamannya kekal utuh dan Ferguson menyedari ia adalah tugas sukar untuk menggantikan pemain itu selepas dia akhirnya mengumumkan persaraan.
“Perkara paling buruk menjadi pemain bola sepak ialah pada peringkat anda bersara - ia adalah saat yang menyentap semua,” kata Ferguson.
Alex Ferguson
“Apabila seseorang seperti Ryan bermain pada peringkat tertinggi sekarang, dia menyedari untuk kekal di sana, dia perlu mempersiapkan diri dengan cara betul. Dia perlu menjaga dirinya dan melakukan perkara dengan betul.”
Bagi Ferguson, ia bukan saja mengenai usaha Giggs untuk mengatasi umur yang semakin meningkat tetapi lebih mengenai tahap permainannya yang tidak merosot sama sekali.
“Saya tidak tahu apa lagi untuk memperkatakan mengenainya! Prestasinya adalah sama seperti musim lalu.
“Dia tidak pernah memiliki masalah berat badan. Dia sentiasa atlit yang kurus. Itu banyak membantu. Keadaan fizikalnya banyak membantunya.”
Sementara itu, Ferguson membidas media kerana cuba mengapi-apikan hubungannya dengan pengurus Manchester City, Mark Hughes selepas kontroversi perlawanan setempat di Old Trafford hujung minggu lalu.
“Ia adalah normal untuk media membangkitkan sehingga menjadi sebegitu,” katanya. “Saya menonton sidang akhbar Mark Hughes dan saya rasa dia melakukan tugas yang hebat kerana semua soalan anda memalukan.
“Itu saja yang saya mampu katakan. Anda cuba mengumpan dia ke pelbagai kontroversi dan saya fikir dia menanganinya dengan baik. Saya fikir Mark Hughes menjawab dengan baik pada sidang akhbar itu dan saya fikir ia seharusnya berakhir di sana.
“Kami perlu bergerak ke depan, kami mempunyai perlawanan sehingga akhir musim. Anda boleh mengulangi semuanya sekali lagi apabila kami menentang (City) selepas ini, tetapi pada ketika ini, saya fikir ia baik dibiarkan begitu saja.” - AP
Man United rampas takhta liga
PENYERANG United, Dimitar Berbatov (kanan) berebut bola dengan pertahanan Stoke City, Glenn Whelan pada saingan EPL di Stadium Britannia, malam tadi. United menang 2-0.
_______________________________________________
LONDON: Chelsea kecundang buat kali pertama di bawah kendalian Carlo Ancelotti apabila Wigan mengejutkan mereka 3-1 ketika Manchester United mengatasi Stoke City 2-0 untuk naik ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
Ancelotti sudah mengemudi Chelsea untuk enam kemenangan liga berturut-turut, selain dua kejayaan pada Piala Liga dan Liga Juara-Juara tetapi rekod sempurna itu berakhir dalam aksi yang menyaksikan penjaga gol, Petr Cech, dibuang padang.
Chelsea sebelumnya ketinggalan pada minit ke-16 kepada gol Titus Bramble tetapi Didier Drogba menyamakan kedudukan pada minit ke-48. Hugo Rodallega dan Paul Scharner menjaringkan dua lagi gol untuk kemenangan Wigan.
Ketika Chelsea tumbang, United akhirnya mengatasi tentangan kental Stoke di Stadium Britannia apabila Ryan Giggs, masuk sebagai pemain gantian, mengumpan untuk Dimitar Berbatov menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-62.
Bek United, John O’Shea memastikan Stoke tidak mampu bangkit apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Giggs untuk gol kedua pada minit ke-77.
Fernando Torres pula mencipta hatrik untuk Liverpool mengekori rapat pendahulu carta kedudukan selepas membelasah Hull 6-1 di Anfield. Ryan Babal menyumbang dua gol ketika Steven Gerrard turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring.
Robbie Keane pula menyumbat empat gol untuk menjulang Tottenham Hotspur menang 5-0 ke atas Burnley. Aksi lain menyaksikan Everton menang 1-0 ke atas Portsmouth, Blackburn mengatasi Aston Villa 2-1 manakala Bolton kalahkan Birmingham 2-1. - AFP
Sabtu, 26 September 2009
Ferguson beri amaran awal
PEMAIN United berjaya bangkit dengan permainan terbaik sejak kebelakangan ini.
_______________________________________________
MANCHESTER - "Kami belum mencapai tahap terbaik."
Demikian peringatan pengurus Manchester United, Alex Ferguson kepada semua pencabarnya dalam saingan Liga Perdana England musim ini.
United akan berkunjung ke Stoke hari ini dengan reputasi selaku pasukan tangga kedua liga, iaitu kedudukan yang pastinya memberi kegembiraan kepada mana-mana pengurus lain.
Begitupun, Ferguson mengakui beliau masih lagi merasai kekalahan kepada Burnley, Ogos lalu meskipun pasukannya berjaya bangkit dengan enam kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan selepas itu.
Setakat ini, masih tiada bukti kukuh menunjukkan United merasai kehilangan Cristiano Ronaldo dan Ferguson bertegas, anak- anak buahnya akan mencapai tahap sebenar Oktober depan.
"Kami mengalami permulaan yang hambar, tidak diragui lagi mengenainya. Namun prestasi pasukan kami semakin baik," kata Ferguson.
"Persembahan terbaik kami ialah di White Hart Lane (menang 3-1 ke atas Tottenham). Saya gembira dengan prestasi sekarang. Kami memiliki skuad yang bagus dan masalah saya ialah siapa yang patut diturunkan.
"Biasanya pada bulan Oktober, kami akan menjadi lebih konsisten dan harapnya ia akan berulang sekali lagi.
"Skuad ini adalah satu skuad yang kuat dan satu-satunya masalah bagi saya ialah memilih siapa yang akan diturunkan pada setiap perlawanan." - AFP
'Saya masih sayang United'
MADRID - "Saya masih sayangkan kelab Manchester United".
Demikian kenyataan terbaru bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
Pemain sayap Portugal itu berpindah dari Old Trafford ke Real Madrid pada musim panas lalu dengan rekod £80 juta (RM444 juta)
Walaupun perpindahan tersebut berjaya merealisasikan impiannya, Ronaldo mengakui, dia masih lagi ada rasa sayang terhadap bekas kelabnya itu.
"Saya akan cuba menyaksikan perlawanan United di tele- visyen selagi mana saya mampu," kata Ronaldo.
"Saya masih ada keinginan untuk mengetahui apa yang berlaku di Old Trafford dan walau- pun saya di Real, saya sentiasa gembira apabila tahu United menang."
Ronaldo tidak memerlukan banyak masa untuk mempamerkan kehebatannya di kelab baru- nya itu apabila muncul pemain Real Madrid pertama berjaya meledakkan gol pada penampi- lan sulung dalam empat perla- wanan liga kelab tersebut.
Dia juga mengakui ada pemain yang mampu mengganti tempatnya di England.
"Saya lihat Nani sudah kerap diturunkan berbanding musim lepas. Ia bagus buat dirinya dan akan banyak membantu dalam meningkatkan permainannya.
"Kini dia ada banyak peluang untuk bermain dan dia mampu membuktikan kepada peminat bahawa dia juga seorang pemain yang hebat," kata Ronaldo. - Agensi
Welbeck wira United
LONDON: Juara bertahan, Manchester United layak ke pusingan keempat kejohanan bola sepak Piala Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton, awal pagi semalam dengan bekalan 10 pemain.
Pengurus United, Sir Alex Ferguson, yang melakukan 11 perubahan kepada pasukan yang mengalahkan Manchester City, Ahad lalu, menyaksikan pertahanannya dari Brazil, Fabio Da Silva dibuang padang kerana kesalahan profesional dalam babak pertama di Old Trafford.
Michael Owen yang menjaringkan gol kemenangan menentang City menjadi penyumbang dengan hantarannya kepada Danny Welbeck membolehkan penyerang muda itu membocori gawang Wolves pada minit ke-66.
“Fabio tidak bernasib baik. Dia tergelincir dan cuba bangkit dan tatkala dia cuba melakukannya dia turut menjatuhkan pemain lawan,” kata Ferguson.
Sementara itu, Chelsea melebarkan rentetan kemenangan mereka di bawah jurulatih baru, Carlo Ancelotti kepada lapan permainan dalam semua pertandingan tatkala gol Salomon Kalou memberi kemenangan 1-0 ke atas Queen’s Park Rangers. - AFP
United pertaruh tenaga muda
MANCHESTER - Juara bertahan, Manchester United memulakan kempen Piala Liga 2009/10 dengan menentang Wolves pada pusingan ketiga awal pagi esok.Secara tradisinya, pengurus United, Alex Ferguson akan memberi peluang kepada pemain-pemain mudanya beraksi pada kempen tersebut. Ferguson dijangka bakal meletakkan Darron Gibson dan Michael Carrick yang jarang diturunkan dalam kesebelasan musim ini mengetuai jentera tengah. Gary Neville yang baru pulih daripada kecederaan pangkal paha pula bakal membentuk benteng pertahanan bersama Richie De Laet, Jonny Evans dan Fabio. Bagi jentera serangan, Michael Owen yang menjaringkan gol kemenangan United ketika menewaskan Manchester City 4-3 Ahad lalu bakal digandingkan sama ada dengan Danny Welbeck atau Federico Macheda. Seorang lagi pemain muda United, Zoran Tosic juga bakal diberi peluang menunjukkan kemampuannya.
Ferguson berkata, prestasi menggalakkan di kalangan pemain-pemain mudanya ketika ini menyebabkan dia tidak perlu membeli ramai pemain baru pada musim perpindahan kali ini. "Kami memiliki barisan yang telah menang Piala Liga musim lalu dan saya yakin mereka mampu beraksi lebih baik dan bertambah matang. "Pemain-pemain muda seperti Nani, Anderson, Fabio dan Rafael da Silva serta Jonny Evans telah menunjukkan peningkatan. "Saya berpuas hati dengan skuad yang saya ada ini dan dengan dua pemain baru saja dibawa masuk, tiada alasan untuk saya ubah sesuatu. Apa yang diperlukan hanyalah prestasi konsisten," kata Ferguson. - AFP
Jaringan bijak Owen buat Capello pening kepala
LONDON: Kini bicara hangat adalah merancakkan kempen Michael Owen ke Afrika Selatan, tahun depan - segalanya terjurus kepada jaringan bijak ketika membantu Manchester United mengatasi pasukan 'jiran yang bising' Manchester United, tempoh hari. Tidak dinafikan pengurus skuad England, Fabio Capello harus tertekan memberi pertimbangan tiket kepada bekas penyerang Liverpool itu ke Piala Dunia 2010 selepas jaringan kemenangan. Pengkritik berkata ia bukan jaringan biasa tetapi penyudah pada tahap tertinggi seperti mana Owen menjadi pakar dalam ledakan seperti itu sebelum dia dilanda kekerapan kecederaan yang nyaris menamatkan kerjayanya.
Penyerang itu dijangka akan diturunkan apabila United menentang Wolves dalam saingan Piala Liga, hari ini dan dengan semangat yang memuncak dia tampak sudah mula dahagakan jaringan - satu berita baik untuk pasukan barunya dan juga pengurus, Sir Alex Ferguson. Apapun, Owen tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan tempoh hari sebaliknya mahu terus menyengat dengan impian mewakili England dalam Piala Dunia tetap membara. "Ada kalanya anda mendapat empat peluang tetapi gagal menjaringkan gol dan ada kalanya anda hanya memiliki satu dan berjaya menyudahkan dengan baik. Ia bukan mudah menjadi penyerang kerana harus sentiasa tabah," katanya. - Agensi
Piala Liga: Bintang Muda Jadi Sandaran M.U
MANCHESTER - Manchester United akan memberi kepercayaan kepada bintang muda seperti Danny Welbeck dan Federico Macheda apabila memulakan kempen pusingan ketiga bola sepak Piala Liga menentang Wolves, hari ini. Pengurus United, Alex Ferguson biasanya menggunakan kejohanan itu sebagai peluang untuk menguji pemain-pemain muda berbakat yang akan bergandingan dengan pemain senior.Darron Gibson merupakan pemain tetap Piala Liga, dan dia sekali lagi dijangka membarisi skuad Ferguson bersama Michael Carrick yang tidak banyak mendapat tempat dalam pasukan utama musim ini. Perlawanan ini juga dijangka menjadi medan buat pemain senior seperti Gary Neville untuk menguji kecergasan selepas kembali daripada kecederaan pangkal paha manakala Richie De Laet, Jonny Evans serta Fabio bakal menjadi pilihan membantu gerakan serangan.
Baik Welbeck mahu pun Macheda gagal mendapat tempat dalam skuad utama Liga Perdana, biarpun kedua-duanya mempamer prestasi memberangsangkan, musim lalu.Bagaimanapun, jika tidak kedua-duanya diturunkan sekali hari ini, salah seorang hampir pasti beraksi, kemungkinan berganding bersama Michael Owen yang belum cukup meyakinkan dalam pentas liga utama meskipun menjadi penjaring gol kemenangan dramatik United ketika menewaskan Manchester City 4-3, Ahad lalu.Perlawanan hari ini juga dijangka memberi peluang kepada pemain muda Serbia, Zoran Tosic untuk menunjukkan kemampuan untuk bersaing dalam liga England. Walaupun Tosic, 22, sering mendapat pujian Ferguson, namun pemain sayap itu hanya diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan sebagai gantian.Walaupun Ferguson tidak boleh tidur lena jika pasukannya gagal memenangi kejuaraan, namun keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada mencuba pemain baru sebagai perancangan masa depan. Dua tahun lalu, United menerima tamparan apabila tumpas 2-0 kepada Coventry, tetapi barisan pemain muda yang dilahirkannya seperti Phil Bardsley, Lee Martin, Gerard Pique, Chris Eagles serta Danny Simpson semuanya disambar pasukan lain. "Kami memiliki ramai pemain muda ketika merangkul kejuaraan musim lalu, dan saya percaya mereka sudah bertambah baik serta matang seperti Nani, Anderson, Da Silva beradik (Fabio dan Raphael) serta Jonny Evans."Semua orang pasti terkejut jika tiada pemain dari Manchester United terlibat dengan dalam pasaran perpindahan.
"Saya gembira dengan skuad yang saya miliki, dan dengan beberapa tambahan pemain baru, tiada sebab untuk kami berubah sikap. Meskipun kalah mengejut kepada Burnley di awal musim, apa yang kami perlukan sekarang cuma konsistensi,'' ujar Ferguson.Sementara itu penyerang Wolves, Kevin Doyle menegaskan, pasukannya akan berkunjung ke Old Trafford tanpa rasa takut dan gentar.Wolves kini berada di tahap keyakinan tertinggi selepas mengalahkan Fulham 2-1, Ahad lalu dan turut menang di Wigan, musim ini. Doyle tidak nampak sebab mengapa mereka tidak boleh mengejutkan United."Kami kena terus bersaing dan bekerja keras seperti yang dilakukan ketika menentang Fulham. Kalau kami berjaya melakukannya, kami boleh ke mana saja dan mendapat keputusan yang baik."Saya dan semua rakan-rakan sepasukan tidak gentar beraksi di luar gelanggang sendiri. Kami sudahpun menang di tempat lawan musim ini, jadi kenapa kami tidak boleh melakukannya sekali lagi ?,'' kata Doyle.Doyle membuka jaringan Wolves menerusi tandukan ketika menentang Fulham dan dijangka mampu menjadi ancaman United hari ini. - AFP
Hughes tak puas hati keputusan Atkinson
MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Mark Hughes tidak berpuas hati dengan pengadil Martin Atkinson selepas pasukannya tewas 3-4 kepada Manchester United malam kelmarin.
Hughes cukup bengang dengan pegawai perlawanan itu kerana membenarkan masa kecederaan berlarutan selama tujuh minit sehingga membolehkan Michael Owen menjaringkan gol kemenangan United."Pengadil keempat cuba memberikan penjelasan kepada saya kerana saya telah mempersoalkan jumlah masa kecederaan yang diberi ketika perlawanan belum berakhir lagi."Tetapi penjelasannya tidak memuaskan hati saya. Dia cuba beritahu yang tambahan masa lagi seminit itu disebabkan sambutan gol ketiga kami."Kami sebenarnya menjaringkan gol tepat pada minit ke-90 dan masa kecederaan empat minit sudah diangkat. Kami merekodkan masa kami meraikan gol, hanya 45 saat. Jadi di situ mereka sudah silap. "United hanya menjaringkan gol keempat mereka selepas 95 minit dan 26 saat. Jadi jelas pengadil terlalu memberi tambahan masa dan dia sebenarnya menjadikan masa perlawanan adalah 97 minit," kata Hughes. Hughes menegaskan, dia bukan mempersoalkan integriti pengadil kerana dia hanya mahu tahu mengapa tambahan masa selama tujuh minit itu diberikan.
"Jika dia (pengadil) dapat memberikan saya alasan yang kukuh, saya tiada masalah tetapi saya tak nampak daripada mana dia boleh beri tambahan masa itu," ujarnya. Hughes cukup terkilan dengan kekalahan sulung City itu untuk musim ini kerana menganggap pasukannya telah berjaya menunjukkan kualiti dan watak sebenar pada perlawanan tersebut. "Pada ketika kami menyangka akan mendapat ganjaran daripada segala usaha kami, akhirnya kami pulang dengan sesuatu yang sukar diterima," jelasnya. Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson ringkas berkata: "Empat minit masa kecederaan diberi dan kemudian City menjaringkan gol. Saya rasa dari situ datangnya tambahan masa itu." - Agensi
Kami berhak menang - Ferguson
MANCHESTER - Manchester United berjaya membenam keangkuhan Manchester City selepas mencatat kemenangan 4-3 di Old Trafford malam kelmarin. Bagaimanapun, pengurus United, Alex Ferguson terpaksa berdepan perlawanan kelab berjiran itu dengan cukup mendebarkan. "Kadangkala kamu akan mendapat jiran yang bising dan kamu terpaksa terus tinggal bersama-sama mereka. "Kamu tidak dapat melakukan semuanya jika mereka terus mahu bising tetapi apa yang kamu boleh lakukan, seperti yang kami tunjuk hari ini (kelmarin) ialah teruskan dengan hidup kamu. "Pemain kami tahu tanggungjawab masing-masing dan mereka mempamerkan permainan bertenaga. Itulah jawapan kepada segala persoalan ini.
"Setiap kali kami menjaringkan gol, kami melakukan kesilapan. Namun, kesilapan tersebut telah menjadikan pertemuan setempat ini paling menarik setakat ini," kata Ferguson. Ditanya manakah lebih digemarinya sama ada menang pertemuan setempat itu dengan jaringan 6-0 atau menang menerusi pertemuan yang menarik, Ferguson berkata, dia lebih suka jika United mengatasi City dengan 6-0. "Kami telah beraksi cukup baik pada separuh masa kedua. Bagi saya, itu adalah kekuatan sebenar permainan United," katanya. Pada aksi kelmarin, United mendahului seawal minit kedua menerusi Wayne Rooney sebelum Gareth Barry menyamakan kedudukan pada minit ke-16. Gol kedua United menyusulhasil tandukan Darren Fletcher pada minit ke-49 tetapi Craig Bellamy menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.
Fletcher menanduk gol ketiga United pada minit ke-80 dan Bellamy sekali lagi mengikat kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-90. Michael Owen muncul wira apabila meledak gol kemenangan United pada minit terakhir masa kecederaan. "Kami melakukan tiga kesilapan paling teruk yang jarang berlaku pada pasukan kami tetapi akhirnya Owen menjaringkan gol kemenangan yang cukup menarik. Kami berhak menang perlawanan ini," jelas Ferguson.
Rabu, 16 September 2009
Scholes selamatkan maruah Man. United
SCHOLES (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Besiktas kelmarin. United menang 1-0.
_________________________________________________
ISTANBUL - Jaringan tunggal Paul Scholes berjaya memastikan Manchester United memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan noktah kejayaan setelah menang 1-0 ke atas kelab Turki, Besiktas kelmarin.
Scholes menanduk masuk gol tunggal tersebut pada minit ke-77 selepas penjaga gol Besiktas, Hakan Arikan menampan percubaan pemain sayap Portugal, Nani.
Sekalipun anak buahnya dilihat gagal menampilkan persembahan bertenaga, pengurus United, Alex Ferguson menegaskan, dia tetap berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan barisan Red Devils itu.
"Sejak beberapa tahun, Paul Scholes telah menyumbang banyak gol seperti itu dan ia memang gol yang penting bagi kami," kata Ferguson.
"Suasana di sini sangat hebat dan ia satu ujian bagi konsentrasi dan keberanian kamu, jadi ini adalah keputusan yang bagus bagi kami.
"Nani agak tidak bernasib baik gagal menyumbang gol buat dirinya tetapi Paul Scholes telah jalankan tugasnya dengan baik. Ia memang satu jaringan yang biasa daripada Paul Scholes."
Kebanyakan gerakan United termasuk jaringan kemenangan itu banyak melibatkan pemain baru, Antonio Valencia dan aksi bekas pemain sayap Wigan itu turut mendapat pujian Ferguson.
"Antonio sentiasa mendatangkan ancaman kepada pasukan lawan," kata Ferguson.
"Dia banyak menjana gerakan dan kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi. Dia ada potensi menjadi pemain yang baik. Dia kuat, bertenaga dan penuh semangat." - AFP
Selasa, 15 September 2009
Red Devils tekad tidak ulangi kesilapan di Rom
Menjelang kempen Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson yakin pasukannya tidak akan mengulangi kesilapan seperti yang dialami pada perlawanan akhir bertemu Barcelona di Rom musim lalu.
United seperti hilang taring ketika tewas 0-2 kepada Barcelona dan Ferguson mendakwa pasukannya telah belajar daripada kesilapan itu.
“Kami boleh melihat sebab dan alasan tetapi adalah lebih baik melihat kepada penyebabnya,” katanya.
The Red Devils dijangka berdepan laluan mudah ketika berkunjung ke Istanbul bertemu dengan Besiktas.
“Saya kagum dengan sikap fanatik mereka. Stadium mereka mampu penuh ketika jam 12 tengah hari. Kami perlu berhadapan dengannya,” katanya.
Ferguson perlu mengambil keputusan tepat memilih barisan pemainnya bagi memastikan kemenangan sebelum pertemuan penting hujung minggu ini bertemu seteru setempat, Manchester City di Old Trafford.
Kejayaan ke atas Tottenham Hotspur pada perlawanan sebelum ini memberi petanda Ryan Giggs dan Paul Scholes bakal direhatkan pertengahan minggu ini.
Besiktas yang masih segar dengan kekalahan 3-0 kepada musuh ketat, Galatasaray mendakwa persembahan pada Sabtu lalu, tidak akan menjejaskan persembahan pasukan itu ketika bertemu Manchester.
Jurulatih Kelab Turki itu, Mustafa Denizli dikritik ekoran tidak menyenaraikan wira Piala Turki, Bobo dalam kesebelasan utama.
“Ketika ini kami hanya fokus kepada Manchester United dan saya melihat sejauh mana usaha kami di atas padang nanti,” kata Denizli.
Label:
Berita,
Liga Juara -Juara Eropah 09/10
United elak buat silap
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson yakin anak-anak buahnya tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang berlaku ketika mereka tewas kepada Barcelona pada final Liga Juara-Juara musim lepas.
United mempamerkan aksi kurang bertenaga ketika tumpas 0-2 kepada juara Liga Sepanyol itu dan Ferguson mengakui kekalahan tersebut adalah satu pengajaran yang berguna menjelang pertemuan dengan Besiktas awal pagi esok.
"Kamu boleh cari punca dan alasan (atas kekalahan tersebut) tetapi lebih baik kamu cari sebab kekalahan itu," kata Ferguson.
"Mereka (Barca) jelas sekali sebuah pasukan hebat. Jika tiada sebab utama di atas kekalahan ini, maka kami perlu berasa risau. Tetapi saya rasa ada sebab yang kukuh, jadi kami akan melupakannya.
"Saya tidak mahu beritahu sebab-sebab tersebut tetapi saya telah melihat rakaman perlawanan itu dan menilainya semula. Ia membuatkan saya berasa lebih terperinci tentang persiapan dan semuanya dalam kempen ini.
"Adakah kami memiliki hotel yang sesuai? Atau perkara lain seperti itu, tentang latihan dan segala-galanya. Jadi saya sudah dapat gambaran jelas tentang setakat mana kemampuan kami.
"Saya rasa masalah tersebut boleh diselesaikan dan kejayaan juga pasti mampu dicapai." - Reuters
Label:
Berita,
Liga Juara -Juara Eropah 09/10
Isnin, 14 September 2009
Ferguson tidak puas hati, kecam pengadil
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengecam pengadil, Andre Marriner dan mempertahankan Paul Scholes tidak sewajarnya diperintah keluar padang dalam aksi perlawanan menentang Tottenham Hotspur.
Pemain veteran itu dan pemain Spurs, Tom Huddlestone berlaga semasa sendiri apabila cuba berebut bola, namun Scholes menerima padah apabila usahanya membuatkannya menerima kad kuning kedua.
“Ia keputusan yang teruk. Dia dibuang padang kerana namanya ialah Paul Scholes. Saya menonton ulang tayang itu sebanyak dua kali dan saya fikir pemain Spurs (Huddlestone) lebih cenderung menerjahnya.
“Saya tidak nampak mengapa dia perlu dibuang padang kerana tindakannya,” katanya.
Tottenham menunjukkan aksi garang dan mendahului gol perlawanan pada minit pertama hasil daripada sepakan gunting Jermain Defoe.
“Ianya perlawanan yang sukar. Tottenham berada di tahap terbaik dan memulakan dari awal permainan lagi.
Penyudah Defoe begitu menakjubkan tetapi ianya masih awal dan mempunyai 90 minit lagi untuk diharungi. Kami perlu memperkemaskan permainan kami dan memberi mereka tekanan,” katanya lagi.
Red Devils bagaimanapun berjaya merakamkan kemenangan 3-1 hasil jaringan Ryan Giggs, Anderson dan Wayne Rooney.
Anderson puas akhiri kemarau gol
LONDON - Anderson menamatkan penantian selama dua tahun untuk menjaringkan gol buat Manchester United selepas penyandang juara Liga Perdana England itu mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Tottenham, kelmarin.
Dua tahun selepas menyertai United, pemain tengah Brazil berusia 21 tahun itu merembat deras pada minit ke-41 bagi memberi kekalahan pertama Spurs musim ini.
"Sebagai pemain muda dia selalu berkeinginan untuk menjaringkan gol dan berharap ia adalah dorongan untuk melihat dia melakukan lebih dari itu," kata pengurus, Alex Ferguson mengenai bekas pemain FC Porto itu.
Spurs mengejutkan pasukan pelawat pada minit awal melalui sepakan akrobatik, Jermaine Defoe tetapi Ryan Giggs menyamakan kedudukan minit ke-25 melalui sepakan percuma.
Selain itu, Red Devils juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-30 selepas Paul Scholes dilayangkan kad merah, Wayne Rooney menambah gol ketiga pada minit ke-78 melalui satu gerakan balas pantas.
Kemenangan itu membolehkan pasukan Ferguson melonjak ke tangga kedua, di atas Manchester City dan Spurs dengan perbezaan gol. Chelsea mengatasi dengan perbezaan tiga mata selepas mencatatkan lima kemenangan berturut-turut musim ini.
"Perlawanan di White Hart Lane sentiasa memberikan kesukaran buat kami terutama selepas tugasan antarabangsa," kata Giggs.
Spurs sebelum ini menikmati kegembiraan di permulaan musim sejak kali terakhir memenangi gelaran pada 1960-61 dan mereka hanya memerlukan 52 saat untuk mengejutkan United. - AP
United tetap hebat - Fergie
LONDON - Alex Ferguson yakin Manchester United akan menutup mulut pengkritiknya dan memenangi kejuaraan Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut musim ini.
United dilihat semakin lemah tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez musim ini dan mula dikritik hebat selepas mempamer prestasi hambar pada awal saingan termasuk kekalahan 0-1 kepada pendatang baru, Burnley.
Begitupun, anak buah Ferguson itu sudah mula menemui rentak dan selepas membelasah Wigan 5-0 dua minggu lepas, mereka sekali lagi membuktikan kualiti sebenar apabila mencalar rekod tanpa kalah Tottenham Hotspur dengan kemenangan 3-1 di White Hart Lane kelmarin.
"Saingan musim ini baru bermula dan masih terlalu awal untuk memperkatakannya, tapi saya rasa kami akan berada pada tahap terbaik," kata Ferguson.
"Kami telah katakan sebelum musim ini bahawa kami memiliki pemain yang hebat dan mereka semakin menunjukkan peningkatan setiap masa.
"Cuba lihat Darren Fletcher sekarang dan cara dia bermain dan kami juga ada tiga pemain berpengalaman, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Gary Neville.
"Tiada sebab mengapa kami gagal memenangi gelaran dengan memiliki pemain seperti ini. Saya meletakkan kepercayaan kepada mereka, tapi jelas sekali cabaran musim ini bukanlah mudah."
Spurs mendahului 1-0 selepas 52 saat permainan dimulakan menerusi jaringan Jermain Defoe, namun respons yang dipamerkan oleh United lebih hebat.
Giggs menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada minit ke-24, sebelum Anderson dan Wayne Rooney menambah gol kedua dan ketiga buat Red Devils. - AFP
Ahad, 13 September 2009
EPL 09/10 Totenham Hotspurs 1 - 3 Manchester United (12 Sept 09 )
Tottenham: Cudicini, Corluka (Hutton 69), King, Bassong, Assou-Ekotto, Lennon, Huddlestone, Palacios (Jenas 46), Defoe, Crouch, Keane (Kranjcar 72). Simpanan tidak bermain: Gomes, Bentley, Pavlyuchenko, Naughton. kad kuning: Palacios, King, Jenas. penjaring: Defoe 1.
Man Utd: Foster, O'Shea, Ferdinand, Vidic, Evra, Fletcher, Scholes, Anderson (Nani 81), Giggs, Berbatov (Carrick 62), Rooney. Simpanan tidak bermain: Kuszczak, Owen, Fabio Da Silva, Jonathan Evans, Valencia. kad merah: Scholes (59). kad kuning: Vidic, Scholes. penjaring: Giggs 25, Anderson 41, Rooney 78.
Sabtu, 12 September 2009
Rooney cipta rekod
LONDON - Tanpa disedari, Wayne Rooney telah mencipta rekod baru dalam skuad kebangsaan England.
Selepas meledak satu gol ketika membantu England menang 5-1 ke atas Croatia, Rabu lalu, Rooney sebenarnya mencipta rekod jaringan baru buat England iaitu sembilan gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
Ia mengatasi rekod lapan gol yang dibuat oleh legenda Manchester United, Tommy Taylor ketika membantu England layak ke pusingan akhir Piala Dunia 1958.
"Pada mulanya saya langsung tidak tahu tentang rekod itu tetapi sekarang ada sesuatu yang membuatkan saya berasa bangga.
"Saya berharap dapat menambah jumlah jaringan itu dalam dua baki perlawanan kelayakan selepas ini.
"Saya tahu jurulatih pasti akan mencuba sesuatu yang berbeza tetapi saya berharap dapat menjaringkan beberapa gol lagi," jelas Rooney. - Agensi
Firasat Ferguson
LONDON: Sir Alex Ferguson percaya Tottenham adalah antara empat pencabar terkuat musim ini dan pasukannya akan diuji Spurs di White Hart Lane.
Skuad bimbingan Harry Redknapp itu memulakan musim ini dengan empat kemenangan berturut-turut serta mempamerkan aksi membanggakan.
Sementara itu, United pula mencatat kemenangan kurang meyakinkan ke atas Arsenal, Birmingham serta Wigan dan mereka tewas mengejut di tangan Burnley.
Banyak diperkatakan mengenai peluang Manchester City untuk layak ke Liga Juara-Juara tetapi ketika Ferguson berasakan Everton dan Aston Villa akan sekali lagi memberikan saingan, beliau berasakan pembelian yang dilakukan Redknapp baru-baru ini mampu membawa Tottenham ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata: “Mereka memulakan musim dengan baik dan selepas melihat dua rakaman aksi pasukan itu, ia pasti memberikan kami pengetahuan yang berguna.
“Memulakan aksi dengan baik amat penting bagi setiap pasukan. Harry membawa masuk beberapa pemain berkualiti dan pemain yang biasa dengannya seperti (Peter) Crouch dan (Jermain) Defoe.
“Dia kini membeli (Nico) Kranjcar dari Portsmouth dan (Wilson) Palacios dari Wigan dan saya berasakan ia adalah pembelian yang baik untuk menguatkan bahagian tengah.
“Mereka benar-benar dapat membuktikan keupayaan sejak awal musim dan mereka mempunyai pemain yang berpengalaman dan mereka berpeluang untuk mencelah masuk ke dalam empat pasukan teratas.
“Mereka dan Manchester City dilihat sebagai pencabar terkuat dan keupayaan mereka melebihi pasukan lain ketika ini.
“Everton memulakan aksi dengan sedikit hambar tetapi mereka akan bangkit dan David (Moyes) akan menjadi pencabar kuat. Aston Villa juga sering dilabel sebagai pasukan yang mampu mencabar. Saya tidak melihat ada pasukan lain yang mampu mengatasi pasukan berkenaan.” - AFP
Rabu, 9 September 2009
Fergie percaya Rooney
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya Wayne Rooney (gambar) mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada- nya musim ini.
Ferguson kini terpaksa menyandarkan harapan kepada Rooney selepas ayam tambatannya, Cristiano Ronaldo berhijrah ke Real Madrid awal musim ini.
Sebelum ini, timbul pertanyaan sama ada Rooney mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo yang merekodkan 84 gol dalam 196 perlawanan bersama The Red Devils.
Namun, Ferguson optimis penyerang sensasinya berusia 23 tahun itu mampu memikul tanggungjawab yang diberi dalam misi United memburu gelaran Liga Perdana England buat kali ke-19 musim ini.
"Wayne sentiasa mahukan yang terbaik dan dia telah membuktikannya. Dia sentiasa berazam untuk menampilkan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Ferguson kepada majalah Inside United.
"Kadangkala dia memiliki tenaga yang cukup luar biasa. Dia boleh bergerakdi setiap penjuru padang, baik di atas mahupun di bahagian bawah.
"Tetapi dia masih muda dan pemain muda kadangkala perlu lebih banyak bersabar.
"Jika dia mampu mengekalkan konsentrasi seperti yang ditunjukkan ketika menentang Wigan, dia mampu menjaringkan lebih banyak gol."
Ferguson juga tidak menolak kemungkinan bahawa Rooney mampu mengatasi rekod legenda, Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak United.
Untuk rekod, Rooney telah merekodkan 102 gol dalam 243 perlawanan sejak berhijrah dari Everton pada 2004.
"Sir Bobby menjaringkan 249 gol, jadi pada peringkat ini, saya yakin Wayne yang masih muda mampu mengatasi rekod itu suatu hari nanti," tambah Ferguson. - Agensi
Sabtu, 5 September 2009
Rooney sedia pikul beban di MU, England
'Tekanan dan harapan bukan satu masalah'
______________________________________________
LONDON: Wayne Rooney membayangkan dia sudah sedia memikul beban menjadi tonggak utama pasukan England dan Manchester United dalam musim yang dianggap terbesar dalam hidupnya.
Rooney mengharungi musim lalu di sebalik bayangan Cristiano Ronaldo di United dan sering dikerah ke sayap kiri oleh Alex Ferguson untuk membolehkan rakan sepasukannya mendapat kebebasan untuk mencetuskan huru-hara di depan.
Bagaimanapun, dengan ketiadaan Ronaldo selepas dia berpindah ke Real Madrid, Rooney meraih peluang untuk kembali menyerang dari tengah, posisi yang sering menjadi kegemarannya.
Sebarang keraguan sama ada Rooney mampu memikul beban mengetuai serangan United, sudah pun terjawab apabila dia sudah menghasilkan lima gol dalam kelima-lima perlawanan pasukan juara itu setakat ini.
Namun, pemain berusia 23 tahun itu tidak saja memikul beban berat di United dan Rooney dijangka menggunakan kesempatan saingan England menentang Slovania di Wembley hari ini menjelang kelayakan Piala Dunia menentang Croatia, Rabu ini, sebagai medan membuktikan kepada jurulatih Fabio Capello mengenai kemampuan bekas bintang Everton itu.
Menang ke atas Croatia akan menjamin tempat untuk England dalam kancah saingan akhir tahun depan dan kembali melancarkan kempen membawa pulang Piala Dunia selepas kali terakhir England mengucup piala itu pada 1966.
“Bila Cristiano dan Carlos (Tevez) keluar, ia memberi cabaran besar di United untuk kekal dalam liga dan secara peribadi, saya tekad untuk menjaring lebih banyak gol. Ia diikuti dengan Piala Dunia pada hujung tahun, jadi saya fikir, ia akan menjadi tahun paling getir.
“Saya bermain pada usia 16 tahun dan sejak itu berdepan segala tekanan dan harapan. Saya tidak menganggapnya sebagai masalah kerana melihatnya sebagai cabaran. Saya beraksi baik untuk England sebelum ini dan gembira bermain untuk United.
“Diharapkan England dan United mendapat manfaat,” kata Rooney. - AFP
Rabu, 2 September 2009
Ferguson yakin tak perlu beli pemain baru
LONDON: Penyokong Manchester United yang mengharapkan Sir Alex Ferguson mungkin memasuki pasaran perpindahan pemain pada saat-saat akhir, pastinya akan berasa kecewa.
Permulaan sederhana juara bola sepak Liga Perdana Inggeris itu musim ini mungkin mengukuhkan kepercayaan kepada segelintir peminat bahawa Ferguson perlu melabur ke atas pemain bertaraf dunia daripada sejumlah besar 80 juta pound (RM472 juta) yang diterima atas penjualan Cristiano Ronaldo, tetapi pengurus itu sekali lagi menolak gesaan untuk berbelanja dan menegaskan bahawa keyakinannya terhadap barisan pemain tidak berubah.
"Saya tahu kami mempunyai skuad yang sempurna dan saya percaya pada mereka," katanya. "Ia satu penghinaan jika mencadangkan saya tidak yakin terhadap pemain dengan cepat."
Selepas gagal dalam usaha mendapatkan Karim Benzema, penyerang Perancis, dan memilih untuk tidak meneruskan minat mendapatkan Franck Ribéry dan David Silva - pemain sayap Bayern Munich dan Valencia - pasaran perpindahan United musim ini agak hambar.
United memberi tindak balas terhadap kekalahan 1-0 di tempat lawan di Burnley dengan membelasah Wigan Athletic, sebelum menang nasib ketika mengatasi Arsenal 2-1 di Old Trafford, Sabtu lalu, walaupun ia musim penting bagi pemain seperti Dimitar Berbatov, Anderson dan Nani, tidak seorang daripada mereka meyakinkan ketika menyarung jersi merah United.
"Kami dibidas selepas perlawanan Burnley, timbul banyak cadangan mengenai apa yang harus saya lakukan - sebagai contoh, mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli nama besar," kata Ferguson.
Sir Alex Ferguson
"Tetapi kita tidak harus secara tiba-tiba mengubah dasar perpindahan hanya kerana satu kekalahan, sekalipun ia sangat buruk. Saya sudah jelaskan strategi kami, berdasarkan kepada keyakinan terhadap beberapa pemain baru, pemain sedia ada semakin matang dan pemain muda semakin meningkat naik.
"Dan saya tidak berhasrat untuk mengubahnya," kata jurulatih berbangsa Scotland itu.
Owen Hargreaves, pemain tengah United, akhirnya dijangka kembali ke kelab itu dari Amerika Syarikat pada 23 September ini tetapi dia harus meningkatkan kecergasannya selepas menjalani pembedahan lutut yang menghalangnya beraksi selama 10 bulan. - Agensi
Selasa, 1 September 2009
Saya janji - Rooney
ROONEY (tengah) mahu terus menabur bakti di Old Trafford. _______________________________________________
LONDON - Penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney berjanji kepada peminat The Red Devils bahawa dia tidak akan mengikut jejak Cristiano Ronaldo.
Janji tersebut pastinya sesuatu yang amat bermakna bagi peminat United tatkala bintang England itu meraikan ulang tahunnya yang kelima di Old Trafford.
Rooney, 23, kini menjadi tonggak paling utama United sejak Ronaldo menyertai Real Madrid awal musim ini.
Setelah meledakkan lima gol buat United musim ini, Rooney menegaskan, dia akan terus menyumbang lebih banyak gol buat The Red Devils.
"Saya selalu katakan bahawa saya sayangkan kelab ini dan selagi saya diperlukan di sini, saya akan terus bermain di sini. Tiada satu sebab pun untuk saya meninggalkan kelab ini.
"Saya telah dapat segalanya yang saya mahu. Keluarga saya tinggal hanya 30 minit dari sini, saya juga selesa di sini dan secara jujurnya saya sendiri tidak dapat gambaran yang saya akan pergi melainkan pengurus mahukan saya pergi," kata Rooney.
Untuk rekod, Rooney telah meledakkan 102 gol buat United sejak pengurus, Alex Ferguson membawanya dari Everton pada Ogos 2004.
Owen disingkir
LONDON – Karier bola sepak antarabangsa Michael Owen berakhir?
Itu spekulasi yang semakin hangat diperkatakan di kalangan peminat skuad England ketika ini selepas bekas bintang mereka itu disingkirkan oleh pengurus, Fabio Capello.
Semalam, Capello mengumumkan senarai 24 pemain yang akan menggalas cabaran England pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.
Penyingkiran Owen itu bagaikan sudah menutup ruang untuk penyerang Manchester United itu beraksi pada Piala Dunia.
England akan menentang Croatia pada aksi kelayakan terakhir bulan depan.
Owen yang meledakkan gol sulungnya dalam Liga Perdana England musim ini ketika United menewaskan Wigan 4-0 minggu lepas merupakan penjaring keempat terbanyak dalam sejarah negaranya.
Begitupun, itu masih belum cukup meyakinkan Capello untuk kembali menyenaraikan Owen ke dalam skuad kebangsaan England. – AFP
Langgan:
Catatan (Atom)